PORT-AU-PRINCE, 13 Januari - Gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter melanda Haiti, kira-kira 16 kilometer di sebelah barat ibu kota Port-au-Prince, tepat jam 4.53 petang waktu tempatan, semalam.
Menurut saksi, beberapa buah bangunan runtuh menyebabkan ramai penghuni tertimbus dan tercedera. Jumlah mereka yang terbunuh masih belum diumumkan, tetapi para petugas perubatan menganggarkan ratusan, bahkan mungkin ribuan penduduk dikhuatiri mati. Antara bangunan yang runtuh termasuk sebuah hospital dan sebuah bangunan lima tingkat, manakala bangunan parlimen, istana presiden dan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan serius.
Dengan jumlah penduduk 9 juta orang, Haiti dianggap antara negara termiskin dengan 80% penduduknya hidup di bawah aras kemiskinan. Negara ini juga mempunyai rekod sering dilanda bencana alam yang teruk. PBB mengerahkan kira-kira 9,000 orang anggota polis dan pasukan pengaman ditempatkan di sana bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Kejadian semalam menyebabkan gangguan kepada rangkaian talian telefon tetap dan telefon selular. Bagaimanapun, lapangan terbang ibu kota itu tidak terjejas dan masih beroperasi.
Menurut saksi lagi, kekuatan gempa bumi tersebut menyebabkan penduduk panik dan lari bertempiaran. Gegaran berlaku secara tiba-tiba, bangunan mula runtuh dan orang ramai menjerit. Sebahagian daripada mereka dilaporkan menjerit "Jesus, Jesus."
Kerajaan Amerika Syarikat berjanji akan menghantar bantuan kemanusiaan yang akan dibawa oleh pasukan tentera dan sukarelawan secepat mungkin.
| < Prev |
|---|


