Tirai pilihan raya kecil Bagan Pinang telah dilabuhkan. Perlawanan satu lawan satu antara Tan Sri Isa Samad (BN) dan Zulkefly Mohamad Nor (PAS) telah diumumkan keputusannya. Isa menang dengan majoriti luar jangka 5,435 undi. Sini sana kedengaran pelbagai bicara yang masih tidak henti atas ketidakmenangan calon PAS. Sudah tentu lain pula ceritanya di pihak BN. 'Bertelur sebiji riuh sekampung'? Entahlah... yang pastinya, kemenangan Isa itu menghembus bayu baru buat UMNO dan BN.
Pelbagai dakwaan muluk diberikan oleh media arus perdana dengan kemenangan Isa itu. Namun nadanya tetap satu - UMNO telah diterima rakyat. Benarkah telahan tersebut? Sekiranya betul, kita akan saksikan dalam PRK lain sebelum pilihan raya umum ke-13 jika ada lagi wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka.
Di pihak PAS mahupun Pakatan Rakyat, tentunya angka perolehan dan majoriti undi terlalu jauh daripada jangkaan. Mungkinkah akan ada pengiraan undi semula atau mungkin undi tidak percaya terhadap Ketua Pemuda UMNO Kawasan Teluk Kemang itu? Yang ini pun kita tidak pasti. Setakat ini belum nampak apa-apa perkembangan ke arah itu. Walau apapun, kita tunggu dan lihat dalam tempoh beberapa hari ini berikutan kehangatan suasana PRK Bagan Pinang masih dirasai.
PAS pastinya wajar mengandaikan beberapa PRK yang dilalui sebelum ini umpama perang (ghazwah mahupun sarriyah) selepas perang besar yang pertama selepas Hijrah, Badar al- Kubra yang berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam perang-perang tersebut kemenangan ada kalanya memihak pada tentera Islam, ada kalanya hampir-hampir tewas seperti mana perang Ahzab dan Hunain (berlaku dalam bulan Syawal [umpama PRK Bagan Pinang]) dan perang Uhud (berlaku pada pertengahan Syawal tahun ketiga Hijrah) yang menyaksikan ramai sahabat gugur syahid. Peristiwa itu juga menyebabkan Rasulullah s.a.w. dan tentera Islam berasa sangat sedih, lalu Allah meniupkan semangat kepada umat Islam melalui surah an-Nisa' ayat 4 (maksudnya):
"Jangan kamu berasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu berasa sakit mereka juga berasa sakit seperti kamu merasainya, sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan."
Telah selesakah UMNO-BN atas kemenangan besar Isa Samad itu? Apa kesan keputusan PRK DUN Bagan Pinang itu kepada BN? Adakah mereka perlu kekal dalam prestasi yang sedia ada, iaitu sementara mendakwa membela rakyat menjadi tradisi mereka buat sekian lama, di mata PR dan sebahagian besar rakyat, mereka adalah pengamal rasuah yang dominan di Malaysia? Justeru, sebarang transformasi tidak perlu dilakukan oleh mereka?
UMNO punya Perhimpunan Agung Khas (EGM) untuk meminda perlembagaan bagi membendung gejala dan amalan rasuah yang sudah menjadi barah dalam institusi politik perkauman sempit di Malaysia. Namun, tidakkah usaha untuk melakukan perubahan dalam UMNO itu bagaikan retorik politik semata- mata, dan sementelahan pengundi di Bagan Pinang amat selesa dengan UMNO dan pemimpin mereka yang terang- terangan mengamalkan rasuah, adakah UMNO akan berubah?
| < Prev | Next > |
|---|







