Malaysia Harmoni

Friday
Mar 12th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Semangat 16 September dan Indeks Persepsi Rasuah

flag

Detik 31 Ogos secara automatiknya menghimbau kenangan rakyat Malaysia hari ini ke lebih setengah abad lampau (tahun 1957) ketika mana Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya daripada British. Kurang lebih enam tahun kemudiannya, iaitu pada 16 September 1963, negeri-negeri Sabah dan Sarawak menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat. Saat itulah Malaysia lahir.

Semalam, Perdana Menteri 1Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mengumumkan dalam persidangan Dewan Rakyat bahawa tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum untuk seluruh negara mulai tahun hadapan. Keputusan tersebut dianggap wajar kerana pembentukan Malaysia menjadi satu titik sejarah yang amat penting.

Maknanya, mulai 2010, seluruh rakyat Malaysia punya dua perayaan besar negara untuk disatukan, Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Menurut Najib, Hari Merdeka mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya, manakala Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara yang dapat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia.

Kalam Najib ada kebenarannya apabila mengatakan integrasi nasional yang wujud antara penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah mewujudkan perpaduan dan keamanan. Namun, keamanan, kemajuan dan perpaduan adalah wirid wajib setiap kerajaan yang memerintah. Bahkan ia bukan setakat wirid, tetapi harus disongsong oleh pelaksanaan dan bukti yang dapat dilihat, didengar dan dinikmati.

Meskipun keamanan di negara ini tampak masih utuh dan harmoni, kerana pembinaan negara Malaysia menurut kata Najib diasaskan kepada integrasi dan bukan asimilasi, namun sama ada kita sedar atau tidak, tamadun umat yang telah sekian lama dibangunkan boleh runtuh jua akibat onar seperti pengapian semangat perkauman, amalan tuduh-menuduh, fitnah dan paling menjengkelkan, rasuah.

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) bulan lalu menunjukkan kedudukan Malaysia merudum apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding ke-43 pada tahun sebelumnya. Fakta ini menjadi tamparan dan cabaran besar buat kepimpinan Najib yang sebelum ini mengumumkan akan bersungguh-sungguh memerangi gejala tersebut. Tidak perlu diukur setinggi mana gunung yang perlu didaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengangkat maruah Malaysia ke puncak awan.

Kedudukan yang diumumkan ini sebenarnya meletakkan Malaysia di tahap lebih buruk berbanding negara haram Israel (33) yang dilabel pengganas antarabangsa, bahkan di bawah negara-negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana (36) dan Bhutan (45).

Lebih mendukacitakan apabila indeks tersebut mendedahkan negara-negara umat Islam berada dalam kelompok bawah. Dalam kajiannya, TI mendapati Somalia berada di tangga tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173. Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti New Zealand, Sweden dan Singapura.

Tidakkah hal ini membuktikan bahawa apabila umat Islam tidak melaksanakan tuntutan agamanya sendiri, kedudukannya boleh menjadi lebih hina jika dibandingkan dengan orang lain yang menolak agama tauhid? Antara punca-punca rasuah yang dibangkitkan oleh TI ialah amalan keluar masuk yang berterusan antara bidang politik dan perniagaan, yakni pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau sebaliknya. Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Sebab itulah usaha memperkenalkan etika yang menghalang ahli politik terlibat secara langsung dalam perniagaan adalah sangat wajar. Lebih penting daripada itu adalah pelaksanaan dan ketelusannya.

Seorang ahli politik hanyalah pemegang amanah juga pemudah cara. Ia sepatutnya memandu rakyat di bawahnya melangkah di jalan yang betul, bukan ibarat ‘telunjuk lurus kelingking berkait’, nampak berjalan dengan baik, rupa-rupanya ada habuan di tepi-tepi jalanan itu yang dikautnya sama.

Jadilah pemimpin seperti Umar al-Khattab yang takut disoal di hadapan Allah walaupun disebabkan seekor baghal yang tersesat jalan untuk pulang, atau seperti Umar bin Abdul Aziz yang memadamkan api pelita apabila anaknya mula bercakap kepadanya tentang hal-hal peribadi sedangkan minyak pelita itu diwartakan sebagai milik negara.

Sementara Najib menegaskan gagasan 1Malaysia bukan memansuhkan, sebaliknya sebagai kesinambungan dasar-dasar Perdana Menteri sebelumnya termasuk Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah dan Wawasan 2020, adakah beliau akan turut sama melakar namanya sebagai pembawa legasi CPI terendah?

Dengan laporan demi laporan terhadap amalan rasuah dalam kalangan pemimpin mahupun badan-badan kerajaan, di manakah kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah tahun hadapan?

 

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor

Banner
Banner
Banner
Banner
Banner

Editorial

Ketua Editor
A Ralim M Yassen
ralim@malaysiaharmoni.com

Editor Kanan
Wan Muhammad Wan Ibrahim
wanam@malaysiaharmoni.com

Editor Penyelaras
Khadijah Azman
dija@malaysiaharmoni.com

Editor Teknikal
Abdul Aziz Nordin
webmaster@malaysiaharmoni.com

Wartawan Foto
Ariz Lokman
ariz@malaysiaharmoni.com