
Pagi, Khamis, 22 Oktober 2009. Ruang legar Balai Berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menyaksikan suasana sayu dan pilu apabila sekumpulan sahabat seakan tidak mahu melepaskan pemergian seorang saudaranya yang begitu disayangi. Namun atas dasar persahabatan dan persaudaraan juga, mereka cekalkan perasaan, menghentikan sementara alunan lagu perpisahan, menyimbah harapan serta doa atas segalanya...
Begitulah suasana sedih babak keberangkatan kolumnis Malaysia Harmoni, Prof Madya Dr Hafidzi bin Mohd Noor yang terbang ke negara China untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Beliau ditemani isteri tercinta, Puan Zuraidah Kornain dan meninggalkan sementara tiga anak jejaka, Mohd Qayyim, Muhammad Mawardi dan Amin Husaini.
Masalah buah pinggang beliau dikesan sejak tahun 2004, dan mulai saat itu beliau menjalani rawatan hemodialisis berterusan sehinggalah pertengahan tahun ini apabila doktor mendapati jantungnya bermasalah dan kurang berfungsi dengan baik. Atas nasihat pakar, beliau dicadangkan menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang.
Pensyarah Fakulti Perlindungan Tumbuhan, Universiti Putra Malaysia ini merupakan seorang pendakwah dan penulis yang gigih. Sebagai aktivis Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan pengarah Palestine Center of Exellence (PACE), nama beliau memang sinonim dengan perjuangan mengangkat isu pembebasan Palestin. Beliau telah terlibat memperjuangkan isu Palestin ini secara aktif sejak tahun 1999 lagi, dan sering dijemput berceramah di surau, masjid, pejabat, kilang, sekolah, jabatan dan institusi kerajaan, malah sudah beberapa kali diundang bersiaran dari konti radio dan televisyen.
Selain isu Palestin, anak Negeri Sembilan ini juga turut terlibat dalam isu-isu antarabangsa umat Islam lain. Beliau pernah menjadi ahli panel Kempen Bantah Serangan Afghanistan dan Kempen Anti Perang Iraq.
Minat yang mendalam terhadap isu-isu umat Islam Nusantara pula mendorong beliau menyertai misi kemanusiaan ke Mindanao dan melawat kem-kem pelarian umat Islam di Cotabatu dan Maguindanao. Setelah berlakunya kes pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Maluku pada tahun 2000, beliau mengetuai satu misi kemanusiaan ke sana. Dan apabila berlakunya bencana tsunami di Aceh beliau juga mengetuai misi Kasih Aceh pasca tsunami pada tahun 2005.
Dr Hafidzi juga merupakan seorang penulis yang prolifik. Antara karyanya termasuklah buku âCiri-ciri Pelajar Cemerlangâ, âIsrael: Kenapa Dunia Tidak Boleh Mengiktirafnyaâ, âBerdamai Dengan Israel: Berapa Harganyaâ dan âJejak Risalah di Nusantara 1: Dari Pra Islam Hingga Era Admiral Muhammad Cheng Hoâ. Buku âLambaian Kaabahâ pula merupakan hasil titipan pena beliau bersama isterinya. Selain itu, beliau pernah menulis dalam ruangan âBicara Kalbuâ Berita Harian, pojok yang beliau manfaatkan untuk memberi maklum balas kepada pelbagai persoalan hidup pembaca.
Dengan penglibatan beliau yang begitu luas serta dedikasi yang begitu tulus terhadap dakwah dan perjuangan, wajarlah kita mendoakan kesejahteraan beliau sepanjang menjalani tempoh kritikal ini. Mudah-mudahan pembedahan yang akan dijalankan nanti membuahkan kejayaan, seterusnya beliau diberikan kesembuhan serta lebih kekuatan untuk terus bergerak di jalan yang mulia ini.
Malaysia Harmoni mendoakan keselamatan dan apa sahaja yang terbaik buat Prof Madya Dr Hafidzi bin Mohd Noor. Semoga kita bertemu lagi. Amin...
| < Prev | Next > |
|---|







