“Saya sangat setuju dengan hukuman tersebut... sebab apa, ia dijalankan di khalayak ramai, jadi sudah tentu semua orang takut,” ujar seorang pendengar.
“Hukuman sebat ni mengingatkan kita kembali ke ‘zaman Jepun’ dulu. Masa tu, tentera Jepun mengenakan hukuman pancung, potong jari dan lain-lain terhadap pesalah. Hukuman itu pula dijalankan di hadapan orang ramai. Ia semacam memberi amaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan yang sama. Saya rasa, ia berjaya menimbulkan rasa gerun di hati rakyat. Jadi, saya setuju sangatlah dengan tindakan hakim tersebut, ” ulas pendengar selepasnya.
Pandangan-pandangan tersebut adalah antara puluhan komentar yang dapat saya hadami sewaktu sebuah stesen radio membuka peluang kepada pendengarnya untuk melontarkan pendapat. Ramai yang menelefon dan ada juga yang menghantar SMS. Isunya berdasarkan berita akhbar, iaitu seorang hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin yang telah mengenakan hukuman 10 kali sebatan ke atas seorang remaja, Muhammad Syafiq Abd Wahid atas kesalahan merompak seorang pelajar menggunakan pisau tahun lalu. Remaja berusia 20 tahun itu mengaku bersalah dan hukuman ke atasnya akan dilakukan di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur 15 Julai ini. Zainal memilih untuk melaksanakan sendiri hukuman tersebut dengan disaksikan ibu bapa remaja itu.
Kadar jenayah dalam negara yang terus meningkat membimbangkan semua orang. Rakyat sudah ada yang mula berasa tidak selamat untuk keluar rumah. Dulu, orang-orang kaya takut rumah mereka dirompak lalu mereka mengupah pengawal atau memasang sistem penggera. Tetapi penjenayah sekarang sudah tidak memilih mangsa. Sama ada mangsa nampak kaya atau miskin tidak menjadi soal. Penjenayah memang tidak berhati perut, sebab itulah dia dipanggil penjenayah.
Mei lalu, di Kelantan, seorang ibu yang sedang hamil maut selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya lalu dirempuh sebuah kereta. Kejadian berlaku apabila beg tangan mangsa diragut dua lelaki yang juga menaiki motosikal. Ketika kejadian, ibu beranak lima itu hanya mempunyai beberapa ringgit sahaja di dalam beg tangannya.
Dalam kejadian berasingan, seorang nenek berusia 86 tahun meninggal dunia apabila kepalanya terhantuk ke dinding akibat ditumbuk seorang pemuda yang meragut rantai emas anaknya. Kejadian berlaku di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Jenayah ragut yang kelihatan semakin sukar dibendung ini juga mengundang perdebatan dan polemik dalam masyarakat. Dalam banyak-banyak pendapat itu, terpacul juga suara yang mahu supaya peragut dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai. Menurut mereka, tindakan tersebut lebih dapat mendidik dan menginsafkan masyarakat, baik orang awam mahupun penjenayah sendiri.
Secara tidak langsung, rupa-rupanya malapetaka jenayah yang semakin merata dalam masyarakat hari ini menjentik hati manusia supaya mencuba sistem hukuman yang lain. Rupa-rupanya ia mengajak manusia kembali kepada fitrah. Kehidupan mesti fitrah dan sistem yang menunjangi kehidupan itu juga mesti fitrah. Apabila sistem yang telah dicuba sekian lama masih gagal, bak kata orang Pulau Pinang, “pi mai tang tu”, jadi buka-bukalah minda untuk mencari penyelesaian yang lebih baik.
Jika kesan baik daripada hukuman sebat di khalayak ramai ini lebih diyakini, apalah salahnya jika ia benar-benar dilaksanakan?
Mungkin saranan seorang lagi pendengar stesen radio terbabit menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) molek kita fikirkan:
“Kalau nak dikaitkan, nampak cantik dah hukuman syariah. Contohnya, hukuman sebat kepada penzina bujang dibuat secara terbuka. Orang ramai yang saksikan hukuman itu rasa insaf, masyarakat diberkati Allah.”
| < Prev | Next > |
|---|







