Malaysia Harmoni

Friday
Mar 12th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Bergegar pula Manek Urai

manekurai

Seantero Malaysia sudah maklum bahawa Parti Islam Se-Malaysia akan ditentang Barisan Nasional secara ‘satu lawan satu’ dalam pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai 14 Julai ini. Calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 akan berentap dengan calon BN dari UMNO, Tuan Aziz bin Tuan Hamid @ Tuan Mat, 40.

Pertembungan orang muda dengan orang ‘lama’? Pada zahirnya begitulah... tetapi dalam politik, ‘junior’ atau ‘senior’ tidaklah dinisbahkan sangat kepada usia. Ia lebih bergantung kepada penglibatan, sumbangan dan kematangan seseorang dalam mengharungi dunia yang penuh cabaran itu.

Ada tokoh yang sudah diangkat menjadi Timbalan Menteri sebelum usianya mencecah 40 tahun, misalnya YB Dato’ Razali Ibrahim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada usia 38 tahun. Tetapi ada juga pemimpin yang sudah hampir 80 tahun namun kepimpinannya masih bertenaga dan didambakan, sebagaimana yang terserlah pada diri Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ada juga tokoh yang sudah masuk ‘geng veteran’ dan ‘sangat veteran’ tetapi idea dan pandangannya masih selalu dicungkil kerana dianggap bernilai oleh sesetengah orang. Siapa? Itulah Tengku Razaleigh Hamzah, 72 dan Tun Dr Mahathir Mohamad, 84.

Berbalik kepada PRK Manek Urai, bukanlah perbezaan usia calon yang mencuri perhatian pengundi, tetapi sebaik sahaja pintu penamaan calon ditutup, yang dapat disahkan ialah kali ini tiada seorang pun calon bebas ikut bertanding. Sama ada calon-calon bebas dalam beberapa PRK baru-baru ini mendapat tajaan pihak tertentu atau tidak, itu pun tidak menjadi soal. Yang pasti, kali ini BN dilihat ingin mengumpulkan seluruh kekuatannya untuk merampas kerusi Manek Urai daripada PAS. PRK kali ini diadakan berikutan penyandangnya, Hj Ismail Yaacob (PAS) meninggal dunia pada 22 Mei lalu.

Sebagaimana PRK di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, suasana di Manek Urai ini juga menyaksikan kehadiran pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Mereka dihantar atas tujuan keselamatan. Kehadiran mereka sangat perlu untuk memastikan ketenteraman awam terpelihara. Ketenteraman awam sebenarnya terpelihara jika tiada provokasi daripada penyokong parti-parti yang bertanding. Tetapi selalunya itulah yang berlaku dalam pilihan raya. Kejadian menurunkan poster, mencabut tiang bendera dan ejek-mengejek berlaku, malah ada yang sampai ke peringkat serang-menyerang antara petugas parti. Diharap perkara-perkara seperti itu tidak timbul di Manek Urai.

Di situlah pentingnya kehadiran pasukan keselamatan dalam satu-satu PRK. Namun begitu, jumlah anggota polis dan FRU yang ditugaskan janganlah pula berlebih-lebihan. Kehadiran mereka yang ramai, di samping menyedut biaya kerajaan yang besar, akan juga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk tempatan.

Ramai penduduk yang mengeluh kerana pergerakan kenderaan pasukan keselamatan yang kerap ke sana ke mari, diiringi pula bunyi siren, menyebabkan bertambahnya kesesakan lalu lintas.

Kita tidak pasti sejauh mana benarnya kenyataan itu, tetapi beberapa insiden yang berlaku ketika Pilihan Raya Bukit Gantang seolah-olah membenarkan kenyataan tersebut.

Tidak juga boleh disalahkan pasukan polis kerana menjaga ketenteraman awam memang tanggungjawab mereka. Cuma secebis harapan yang didengari daripada mulut rakyat ialah, bilangan anggota keselamatan itu biarlah diukur sesuai dengan keadaan ketenteraman pada masa itu. Kalau dikenang PRK Penanti baru-baru ini, boleh jadi tepat juga andaian rambang tersebut. PRK Penanti yang tidak disertai BN dan tanpa kehadiran anggota polis yang ramai boleh dianggap antara pilihan raya paling aman dalam sejarah negara.

Tempoh kempen lapan hari sehingga tarikh pembuangan undi, 14 Julai 2009 ini, pasti menarik. Menarik dan panas. Pelbagai isu akan diketengahkan di atas pentas-pentas ceramah. Sementelahan yang bertanding nanti terdiri daripada dua parti yang dianggap ‘musuh’ tradisi antara satu sama lain. Biar apa pun pendirian dan sejarahnya, diharap pihak-pihak yang bertanding akurlah dengan etika pertandingan melalui pilihan raya. Elakkanlah tuduh-menuduh, caci-mencaci dan serang-menyerang yang keterlaluan. Apatah lagi kedua-dua calon beragama Islam. Berdebatlah secara ilmiah dan dengan hujah agama. Kalau kedua-dua pihak mengatakan hendak memperjuangkan agama, buktikanlah dengan lisan dan amalan yang selari dengan tuntutan Ilahi.

Bergegar pula Manek Urai – menarik, panas, dan mudah-mudahan tidak ganas!

 

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor

Banner
Banner
Banner
Banner
Banner

Editorial

Ketua Editor
A Ralim M Yassen
ralim@malaysiaharmoni.com

Editor Kanan
Wan Muhammad Wan Ibrahim
wanam@malaysiaharmoni.com

Editor Penyelaras
Khadijah Azman
dija@malaysiaharmoni.com

Editor Teknikal
Abdul Aziz Nordin
webmaster@malaysiaharmoni.com

Wartawan Foto
Ariz Lokman
ariz@malaysiaharmoni.com