
Dengan berkumandangnya azan Maghrib semalam, umat Islam secara rasminya melangkahkan kaki ke dalam bulan yang sangat mulia, Ramadan. Bulan ini antara waktu yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t. Bulan ini dianggap bulan festival ibadah. Umat Islam yang yakin dengan janji Tuhannya selalu asyik dan terhibur melakukan amalan kebajikan sama ada wajib atau sunat sepanjang bulan ini.
Dalam zaman yang semakin ramai orang mabuk dengan teknologi maklumat dan komunikasi ini, saya sendiri kadang-kadang pening melihat betapa taksubnya pencinta teknologi ini khususnya remaja terhadap telefon bimbit. Tak perlu kita bincangkan kebaikan dan keburukan menggunakan alat komunikasi itu di sini. Memang sudah terang lagi bersuluh, ia ibarat sebilah pisau. Kalau kita menggunakan pisau itu dengan waras dan wajar, ia pasti akan banyak membantu. Sebaliknya kalau kita gagal mengawalnya, ia boleh mencederakan malah mampu membunuh. Sekali lagi jangan tanya saya kenapa pisau yang sering menjadi analoginya. Mungkin sebab ia tajam dan mudah menusuk ulu hati kita, menyebabkan kita cepat terasa dan berfikir. Mungkin.
Namun apa yang menarik perhatian saya ialah telefon bimbit selalu dikaitkan dengan kredit (untuk talian prabayar). Bagi pemilik tegar, mereka akan menggunakan telefon bimbit ini tanpa mengira sama ada perlu atau tidak. Mereka terlalu teruja dengan SMS, MMS, 3G, 3GS, muat turun lagu, video, undian program realiti dan entah apa-apa permainan lagi yang dipromosikan. Biasanya, penggunaan yang tidak berfaedahlah yang banyak mengikis kredit, disebabkan kemudahannya pelbagai dan kadarnya mahal. Jadi, ia perlu selalu diisi semula (topup) bagi mengelakkannya diganggu sindrom ‘tak ada kredit la...’.
Baik, apa kaitannya dengan Ramadan? Bayangkan kredit telefon bimbit itu sebagai kualiti hidup kita. Dengan kehidupan kita yang tidak tentu haluan, godaan dunia yang menghentam, usaha menuntut ilmu dan amalan pun tak keruan, apa yang kita harapkan dalam melihat graf iman kita? Daripada sepuluh, di takuk mana iman kita? Dua? Tiga? Mungkin tidak sampai satu pun.
Di sinilah indahnya Ramadan. Bulan keberkatan yang pahala amalan digandakan berlipat-lipat kali ini menjadi bulan untuk kita isi semula kredit hidup yang semakin sirna kualitinya. Dalam bulan ini kita bertemu solat tarawih yang tidak kita jumpa dalam bulan-bulan lain. Ada puasa, iftar (buka puasa), sahur, tadarus al-Quran, sedekah dan lain-lain. Paling mengujakan dan kalau diizinkan Tuhan, kita bertemu dengan ‘malam seribu bulan’ iaitu lailatulqadar. Kesemua perkara ini dijanjikan pahala yang amat besar. Bayangkan, amalan satu malam sewaktu lailatulqadar akan diberi ganjaran pahala menyamai amalan seribu bulan. Itu motivasi yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. Apakah perkara-perkara tersebut masih tidak mampu mengecas semula iman kita tahun ini?
Rebutlah peluang ini. Tahun hadapan masih samar sama ada kita sempat bertemu Ramadan sekali lagi atau tidak. Dengan peluang berada dalam bulan Ramadan sekarang, lakukanlah amalan-amalan fardu dan sunat sebanyak-banyaknya, dan seikhlas-ikhlasnya. Hinakanlah diri di hadapan Allah dan akuilah segala kesilapan kita selama ini. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Dan berpesan-pesanlah kita dengan kebenaran dan kesabaran.
"Selamat Menjalani Ibadah Puasa"
| < Prev | Next > |
|---|







