Alhamdulillah, genap 29 hari kita berpuasa mulai 22 Ogos lalu, akhirnya pada 20 September, Ramadan kembali mengundur diri. Apa maksudnya?
Sekali pandang, 1 Syawal merupakan hari yang ditunggu-tunggu kerana hari itu memang disediakan untuk umat Islam bergembira. Hari itu hari raya. Rata-rata masyarakat Islam di Malaysia ceria dan megah dengan pakaian beraneka warna. Semuanya serba baharu.
Seperti biasa menjelang hari raya, anak-anak adalah golongan yang paling seronok. Sebelum bulan puasa lagi ada ibu bapa yang telah membelikan anak-anak mereka baju raya. Pembelian awal dikira bijak kerana dapat mengelakkan kesesakan di pusat-pusat jualan apabila hari raya semakin hampir. Namun ada segelintir ibu bapa yang lebih bijak kerana membuat pembelian 'last minute' iaitu pada malam raya pertama. Selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengumumkan esoknya hari raya, ibu bapa (yang tentunya merancang atau terpaksa pulang ke kampung lewat sedikit) membawa anak-anak dan isteri mereka ke pusat-pusat membeli-belah yang sudah dikenal pasti. Rupa-rupanya harga pakaian dan kuih raya pada malam itu mendapat potongan sehingga 50%, bahkan mungkin ada yang sampai 70%! Sesudah mendapat apa yang dihajatkan, barulah mereka pulang ke kampung halaman, barulah lapang dada berhari raya kerana awal-awal lagi perbelanjaan sudah dapat dijimatkan.
Pada hari raya, orang-orang bukan Islam turut kelihatan gembira. Kegembiraan mereka ada dua maksud. Pertama, menumpang gembira disebabkan kawan-kawan mereka yang beragama Islam menyambut aidilfitri dan menjemput mereka bertandang ke rumah. Kedua, para peniaga bukan Islam yang memiliki kedai dan gedung membeli-belah tersenyum lebar kerana setiap hari pekerja mereka bagaikan 'tak menang tangan' melayan pelanggan.
Namun bagi umat Islam, di samping bergembira merayakan aidilfitri, mereka layak dan berharap merayakan satu lagi kemenangan hakiki iaitu ganjaran syurga dan pelepasan daripada api neraka. Itulah munajat hamba-hamba yang beriman sepanjang bulan Ramadan, khususnya pada 10 malam terakhirnya. Sesungguhnya Ramadan menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda bagi Mukmin yang ikhlas dalam ibadatnya. Bahkan Allah menyebut dalam surah al-Qadr bahawa terdapat satu malam yang sungguh istimewa yang dikenali sebagai lailatulqadr. Ganjaran ibadat pada malam itu sahaja lebih baik daripada seribu bulan! Kalau dicongak, tempoh itu menyamai 83 tahun. Bukankah ia lebih daripada purata umur manusia akhir zaman ini iaitu sekitar 60 tahun? Bilakah lagi kita dapat beramal untuk merebut pahala yang berganda-ganda dan melalui satu malam yang ganjaran pahalanya menyamai seribu bulan? Bilakah lagi kalau tidak dalam bulan Ramadan?
Inilah sebenarnya maksud 1 Syawal. Terbitnya anak bulan Syawal bermakna bulan Ramadan yang penuh keberkatan meninggalkan kita. Kita tidak tahu sama ada masih berpeluang untuk bertemu Ramadan pada tahun hadapan. Jadi, kita gembira untuk berhari raya, tetapi sepatunya sedih kerana Ramadan semakin jauh berlalu. Kita cuma berdoa mudah-mudahan Allah memanjangkan usia kita sehingga bertemu lagi Ramadan pada tahun-tahun mendatang. Dan lebih penting kita berdoa agar puasa dan segala amalan kita sepanjang Ramadan yang lalu diterima Allah dan Dia mengembalikan kita kepada fitrah Islam yang sebenarnya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin daripada Malaysia Harmoni.
| < Prev | Next > |
|---|







