Dalam sebuah hadis, Nabi sallallahu alaihi wasallam mengatakan bahawa kelak pada masa akan datang umat Islam akan berada dalam keadaan yang sedemikian buruknya sehingga diumpamakan laksana makanan yang menjadi rebutan oleh sekumpulan pemangsanya. Lengkapnya makna hadis tersebut sebagaimana berikut:
“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan makanannya.” Maka seseorang bertanya: ”Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih terapung. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit al-Wahn.” Seseorang bertanya: “Ya Rasulullah, apakah al-Wahn itu?” Nabi sallallahu alaihi wasallam menjawab: “Cinta dunia dan takut akan kematian.”
(HR Abu Dawud 3745)
Ada beberapa pelajaran penting yang dapat kita lihat daripada hadis ini:
Pertama, Nabi sallallahu alaihi wasallam mengatakan akan tiba suatu masa di mana orang-orang beriman akan menjadi kumpulan manusia yang menjadi rebutan umat lainnya. Mereka akan mengalami keadaan yang sedemikian memprihatinkan sehingga diumpamakan seperti suatu bahan makanan yang menjadi rebutan oleh sekumpulan pemangsa. Ertinya, pada masa itu kaum muslimin menjadi keperluan kaum lainnya. Hal ini terjadi kerana mereka tidak memiliki kemuliaan sebagaimana pada masa lalu. Mereka telah diliputi kehinaan.
Kedua, pada masa itu muslimin tertipu dengan banyaknya jumlah mereka padahal tidak bermutu atau berkualiti. Sahabat menyangka bahawa keadaan hina yang mereka alami disebabkan jumlah mereka yang sedikit, lalu Nabi sallallahu alaihi wasallam menyangkal dengan mengatakan bahawa jumlah muslimin pada waktu itu banyak, namun berkualiti rendah.
Hal ini juga dapat diertikan bahawa pada masa itu umat Islam sedemikian peduli dengan kuantiti namun lalai memperhatikan aspek kualiti. Yang penting mempunyai banyak pemimpin tetapi tidak mempedulikan apakah mereka berkualiti atau tidak. Sehingga kaum muslimin menggunakan kayu ukur seperti orang kuffar di mana yang banyak pasti mengalahkan yang sedikit. Mereka menjadi gemar menggunakan prinsip the majority rules (majoritilah yang berkuasa) iaitu prinsip yang menjiwai falsafah demokrasi moden. Padahal Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa kumpulan yang sedikit dapat mengalahkan pasukan musuh yang jumlahnya lebih besar dengan izin Allah. Firman Allah (maksudnya):
"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah breserta orang-orang yang sabar."
(Al-Baqarah 2: 249)
Pada waktu di mana muslimin terhina, maka kuantiti mereka yang besar tidak dapat menutupi kelemahan kualiti mereka. Sedemikian rupa sehingga Nabi sallallahu alaihi wasallam mengumpamakan mereka seperti buih terapung. Cuba perhatikan tabiat buih di tepi pantai. Kita lihat bahawa buih merupakan sesuatu yang tampak, paling indah dan berjumlah sangat banyak ketika ombak sedang menghempas. Namun buih pulalah yang paling pertama menghilang saat angin bertiup lalu menghempaskannya ke udara.
Ketiga, Nabi sallallahu alaihi wasallam mengisyaratkan bahawa jika umat Islam dalam keadaan terhina, maka salah satu indikator utamanya ialah rasa gentar menghilang di dalam dada musuh menghadapi umat Islam. Ertinya, sesungguhnya Nabi sallallahu alaihi wasallam lebih menyukai umat Islam senantiasa berwibawa sehingga disegani dan ditakuti musuh. Dewasa ini malah kita melihat bahwa para pemimpin negeri yang berpenduduk majoriti Muslim tetapi memiliki rasa segan dan rasa takut menghadapi para pemimpin kalangan kaum kuffar dunia barat.
Akhirnya, bersikap sama tinggi dan sama rendah sahaja pun sudah tidak sanggup mereka lakukan, sehingga yang kita lihat di pentas dunia para pemimpin negara kaum muslimin menjadi pelayan hingga menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung kepada pemimpin kaum kuffar. Mereka dengan setia mengikuti keinginan majikannya walau apa pun kehendaknya. Sesungguhnya Allah menggambarkan kaum muslimin sebagai manusia yang paling tinggi darjatnya di tengah manusia lainnya jika mereka bersungguh-sungguh beriman kepada Allah. Perhatikan maksud firman-Nya:
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
(Ali Imran 3: 139)
(Bersambung...)
| < Prev | Next > |
|---|


