Malaysia Harmoni

Friday
Mar 12th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Pendakwah juga manusia

a

Dalam sejarah, Islam mengukir memorabilia manis dan pahit dalam rentas dakwahnya kerana dakwah Islam itu dalam perkembangannya tidaklah semudah yang dibayangkan. Islam adalah ad-din, pedoman hidup yang diredhai Allah subhanahu wa taala, namun dalam perjalanan mengendalikannya, terdapat banyak masa sukar yang hampir menokhtahkan.

Terlalu banyak untuk diingat dan dikenang para insan dakwah yang telah menorehkan tinta emasnya demi memuliakan Islam. Tidak dihitung kesengsaraan batin, kehabisan material dan hilangnya nyawa. Itu semua adalah risiko perjuangan.

Mari kita telusuri tulisan Syeikh Fathi Yakan dalam salah satu kitabnya, ‘Qawaribun Najah fi Hayatid Du’ati’ (Kunci Kejayaan Petugas Dakwah). Buku ini penting untuk dibaca para pendakwah, sebagai telaga pada kala musafir kehabisan air, sehingga bertambahlah energi semangat juang amar makruf nahi mungkar tanpa mengenal erti putus asa.

Buku seperti ini merupakan tuntunan yang sekarang ini diperlukan. Apalagi di tengah para penulis membahas Islam dengan bahasa yang sukar. Jangankan orang awam, yang elit juga tidak memahami. Tambahan lagi buku-buku seperti itu banyak ditulis secara berat sebelah dan sarat kepentingan. Pendek kata, buku yang ditulis Syeikh Fathi Yakan ini mengingatkan kepada diri sendiri.

Begitulah realitinya, di tengah kerasnya perjuangan dan membaranya semangat, wujud juga jalan yang menyimpang. Pendakwah juga manusia yang kalau tidak diingatkan akan kehilangan arah. Sebaik-baik orang tersesat adalah yang kembali ke pangkal jalan (jalan yang benar).

Bab pertama membahaskan Ancaman, Gangguan Hambatan dan Tentangan yang terdiri daripada sifat kedengkian orang mukmin, kebencian orang munafik, permusuhan orang kafir, penyesatan syaitan dan tarikan nafsu. Penulis tertarik dengan salah satu topik yang dibahaskan iaitu 'Kedengkian Orang Mukmin.'

Tulisan itu jelas membuat diri berasa hairan dan tertanya-tanya. Mungkinkah ada orang yang mengaku beriman dan mengaku aktivis dakwah tetapi dijangkiti sifat dengki ini?

“Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

(Al-Ankabut 29: 1-3).

Dengki termasuk antara penyakit hati yang secara mendadak dapat membinasakan. Dengki dapat menghilangkan keimanan seseorang jika tidak bersegera kembali kepada ampunan Allah.

“Dua ekor serigala lapar yang dilepas di kandang kambing, tidak lebih fatal (malang) akibatnya berbanding bahaya kerakusan harta dan dengki terhadap seorang Muslim. Sungguh dengki itu benar-benar menelan kebaikan seperti halnya api mengarangkan kayu bakar.”

(Maksud hadis riwayat Tarmizi)

Berdasarkan jangkaan, setiap sistem memiliki kelemahan dan setiap perjuangan akan ada pengkhianat. Para pendakwah, apalagi yang sudah memiliki nama baik kerana pengalaman dan keluasan ilmunya akan menghadapi fitnah dan tipu daya orang-orang yang dengki terhadapnya kerana kita tidak mungkin mampu menyenangkan semua orang.

Ibnu Mu’taz berkata, “Pendengki itu marah kepada orang yang tidak berdosa, bakhil dengan apa yang dimilikinya dan mencari sesuatu yang tidak didapatinya.”

Dengki adalah dosa pertama Bani Adam. Bahaya kedengkian itu terdapat pada kisah kehidupan dua insan bersaudara, Qabil dan Habil. Kerana dengki dan marah yang tidak terkawal oleh nafsunya Qabil membunuh Habil. Maka mencurahlah darah pertama dari umat manusia.

Dakwah Islam dalam sejarahnya dari dulu hingga kini mengalami peristiwa yang menyedihkan. Asbab yang utama adalah kedengkian orang dalam itu sendiri. Bukan orang luar, seperti kata penyair.

Penganiayaan yang ditimpakan kepada seseorang oleh orang yang masih mempunyai hubungan kerabat adalah lebih pedih berbanding libasan pedang buatan India.

Para pendakwah yang diuji dengan kedengkian dan berhujung fitnah terhadapnya harus memiliki stok kesabaran yang banyak. Sudah selayaknya mereka bersabar dan mengerjakan solat, sambil tidak berhenti memohon perlindungan Allah subhanahu wa taala.

Janganlah pendakwah sampai ikut terdorong oleh kemarahan untuk membalas. Kalau menempuh cara yang sama dengan si pendengki bererti mereka akan sama dengan mereka. Sesungguhnya yang utama hendaklah mengamalkan kebaikan dan mengharapkan pahala daripada Allah subhanahu wa taala atas segala yang menimpa.

Allahu a’lam.

 

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor

Banner
Banner
Banner
Banner
Banner