Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Ada apa dengan dakwah remaja?

bolapetang

Petang itu dalam keadaan panas terik, Ustaz Firdaus menggagahkan dirinya untuk berjemaah di masjid. "Selain bersolat dapat juga bertemu guru lamaku, Haji Ali," detik hatinya. Tetapi Firdaus agak terlewat. Sesampainya di masjid, jemaah sudah mula solat. "Masbuk aku kali ini," hatinya berdetik lagi.

“Firdaus, bila balik?” sapa Haji Ali seusai solat.

“Ya Allah, rindunya saya pada Haji,” jawab Firdaus sambil memeluk erat guru lamanya. Dialah guru yang sentiasa memberikan tunjuk ajar dan semangat kepada dirinya. “Semalam saya sampai. Hari ini hari pertama bertugas di SMK Sawah Permatang,” jujur kata-katanya.

“Alhamdulillah, akhirnya kamu balik menabur bakti di sini, syukur sekali. Penduduk di sini memang menanti ustaz muda macam Firdaus. Boleh juga jadi imam di masjid kita ni. Boleh juga tarik orang muda ke masjid. Kami ni dah tua sangat dah, tak larat,” berkerut dahi Haji Ali, namun kata-katanya penuh semangat.

“Begitulah harapnya Haji, saya ni pun baru nak rapat-rapat dengan anak muda di sini. Saya tengok jauh beza mereka dengan waktu saya muda-muda dulu.” Serentak mereka ketawa.

“Hah, dengar-dengar Firdaus dah bertunang! Melepaslah saya nak bermenantukan ustaz handsome macam kamu ni,” usik Haji Ali seraya ketawa.

“Baru bertunang Haji, itupun abah yang minta dicepatkan,” balas Firdaus penuh hikmah sambil kedua-duanya duduk di ruang belakang.

“Saya nak bertanya Haji... apa yang Haji dengar tentang kelakuan pelajar-pelajar sekolah saya tu? Pada pandangan Haji, setakat mana yang mampu saya tolong?” tanya Firdaus berlapik.

“Hmm. . . beginilah. Saya pun ada dengar juga, sejak akhir-akhir ni makin menjadi-jadi juga perangai budak-budak tu. Tapi segelintir saja. Ha... tengok di padang tu, sebelum Asar lagi budak-budak tu dah di padang main bola. Entah di mana Asarnya... Maghrib dah nak abis nanti baru ingat nak balik. Bukan kami tak tegur, tapi entahlah, anak muda zaman sekarang, makin ditegur makin menjadi,” panjang dengus Haji Ali.

“Subhanallah, berat juga tanggungjawab saya ni,” Firdaus membalas ikhlas.

“Satu yang saya nak pesan, berdakwah kena dengan hikmah, bagai menarik rambut dari tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak,” berfalsafah pula Haji Ali.”

“Ya Haji, hikmah tu kan prinsip dalam berdakwah. Nampaknya saya kena belajar lagilah ilmu-ilmu hikmah dalam berdakwah dengan Haji Ali ni. Kena cari balik kitab-kitab dakwah lama,” Firdaus memohon ihsan.

“InsyaAllah, kalau kita ada kesungguhan, ditambah dengan keikhlasan, Allah akan memberi pertolongan. Yang penting cuba dampingi anak-anak remaja tu. Ha... Tengok mereka di padang tu! Kalau setakat bermain bola tu tiada salahnya. Ini tidak... sambil bermain sempat pulak dia mengurat anak dara saya tu! Isy budak-budak ni...” lucu pula suara Haji Ali kali ini.

“Betul juga Haji, saya rasa saya perlu dekati golongan ni, pendakwah ni macam doktor juga, ambil tahu dulu apa sakit pesakitnya baru senang nak pilih ubatnya,” Firdaus semakin yakin.

“Tepat tu, Ustaz Firdaus, jangan tunggu lagi. Ustaz kena cepat-cepat cari ubat, bagi pada budak-budak tu,” bersungguh-sungguh kedengaran suara Haji Ali sebelum menutup bicara.

Masih terngiang-ngiang nasihat Haji Ali kepadanya siang tadi. Hikmah... ya hikmah. Aku masih ingat, dua jam kami berbincang hanya membicarakan tentang ‘hikmah’ sewaktu kelas metodologi dakwah kendalian Prof Abdul Aziz Mohd Zin di universiti dulu. Monolog Firdaus panjang kali ini menerobos zaman yang lama ditinggalkannya. Ini agaknya hikmah aku kembali ke sini. Rupanya ada ruang dakwah yang perlu di beri perhatian. Memang minatnya pada bidang dakwah tidak pernah padam.

Setelah kotak-kotak kitab lama dipunggah Firdaus, akhirnya dia berjumpa dengan kitab “Methodologi Dakwah”, hasil buah tangan pensyarahnya Prof Abdul Aziz Md Zin. Matanya tertancap pada muka surat lapan, tepat pada kalimah hikmah. “Secara hikmah ertinya bijaksana,” bacanya antara dengar dengan tidak.

“Bijaksana pula sesuatu yang sesuai. Manakala yang sesuai bergantung kepada keadaan yang munasabah bersesuaian dengan keadaan. Ali al-Murshid pula mengatakan bahawa hikmah itu tidaklah selamanya mengandungi pengertian lembut, rahmat, kasih sayang, perkataan yang baik dan tenang. Ia juga bererti lembut dan kuat, kasih sayang dan perang. Memiliki pelbagai kekuatan yang boleh mempengaruhi sasaran juga termasuk ke dalam hikmah,” baca Firdaus lagi.

Kalau begitu hikmah ini tidak semestinya lembut; tegas juga perlu andainya kena dengan tempat. Memang dakwah begitu. Luas sekali pengertian hikmah. Tambahan pula nak berhikmah dengan anak-anak muda di kampungku, getus hati Firdaus.

Matanya tertancap pula pada buku “Dakwah dan Keunggulan Daie” tulisan Dr Mustafa ar-Rafie. Halaman satu ditelusuri. Benarlah bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu pendakwah yang agung. Baginda kental menghadapi cabaran dan dugaan serta tidak mudah berputus harap. Kata-katanya penuh hikmah. Air mukanya jernih tidak menunjukkan keresahan walau ditentang hebat musuhnya. Benarlah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu contoh dan ikutan bagi pendakwah. Baginda menggunakan pelbagai pendekatan dalam berdakwah dan kesemuanya dilaksanakan dengan penuh bijaksana.

Bacaannya dilanjutkan lagi. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam amat menitik beratkan tarbiah kepada golongan belia. Baginda sallallahu alaihi wasallam mendidik jiwa para belia di zamannya dengan berhikmah. Saidina Ali dididik dan diamanahkan membawa panji-panji Islam dalam peperangan Badar ketika umurnya 20 tahun. Sementara Zaid bin Tsabit diberi mandat membawa panji-panji perang Tabuk pada usia muda remaja, Usamah bin Zaid juga mengetuai bala tentera ketika umurnya baru mencecah 17 tahun.

“17 tahun... Kalau anak muridku, umur 17 tahun hanya tahu bercinta saja. Jauhnya beza pemuda zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dengan anak muda zaman sekarang, namun mereka perlu disedarkan tentang peranan mereka terhadap agama. Jangan terus-menerus hanyut dek arus keseronokan dunia,” Firdaus terus bercakap sendirian sambil termenung.

Matanya belum mengantuk. Diteruskan pembacaannya setelah berjumpa dengan petikan menarik. Antara prinsip dan syarat pendakwah ialah dia seharusnya menguasai ilmu-ilmu semasa. Kemampuan mengetahui isu semasa masyarakat menyebabkan pendakwah merasa tidak terpinggir. Justeru, harus ada usaha untuk mempelajari ilmu insan yang ingin dididik untuk memudahkan usaha dakwah.

“Ya, betul juga. Nampaknya aku kena jadi orang muda, kena ambil tahu apa minat mereka, baru mudah nak membimbing. Lagipun aku ni tidaklah tua sangat kalau setakat nak bermain bola di padang. Bekas penyerang negerilah katakan... Itu tak termasuk lagi kemahiran IT. Kena lebih advance daripada budak-budak tu. Kalau nak jadi pendakwah yang memahami mad’unya kenalah ambil tahu tentang kehidupan anak-anak remaja zaman sekarang”. hatinya terus berkata-kata. Matanya makin galak membaca. Halaman seterusnya ditelusuri. Pendakwah perlu tahu tentang tabiat, tingkah laku, jiwa dan perasaan manusia. Pendakwah perlu mengetahui ilmu psikologi.

“Memang betul, walaupun ramai yang mencebikkan mulut apabila mendengar tentang pendekatan psikologi, tapi itulah sebenarnya rahsia kejayaan dakwah. Tidak semestinya hanya dengan kaedah 'rotanlogi' atau 'penamparlogi'. Itulah kelemahan guru-guru lama, kurang percaya kepada pengaruh psikologi, ” Firdaus berbicara lagi, kepada siapa dia sendiri tidak tahu.

“Apa yang tersenyum saja Firdaus, pening mak tengok!” tiba-tiba ibu sudah terjegat lama di muka pintu.

”Tak ada apalah mak, saja baca buku sambil ingat gelagat kawan lama,” sahut Firdaus.

Hatinya puas, persoalan hikmah sudah dirungkainya. Itulah kekuatan ilmu Allah. Tanpa ilmu, pendakwah bagaikan askar yang bertempur tanpa senjata. Entahkan hidup atau terkorban dengan kealpaan sendiri. Malam itu tidurnya mengharapkan seribu ilham untuk menghadapi hari esok yang penuh dengan cabaran. Alam sekelilingnya menjerit, seolah-olah meminta merungkai sebuah kekalutan... ya, kekalutan sosial, kekalutan moral dan akhlak ciptaan anak didiknya sendiri.

Ya, sudah tiba masanya hikmah dalam berdakwah wajar menjadi praktik. Dakwah harus seiring dengan perkembangan zaman. Remaja bijak dengan internet, pendakwah harus menjadi gurunya. Remaja hebat beraksi di padang, pendakwah perlu menjadi jurulatihnya. Remaja hebat berbahasa Inggeris, pendakwah harus petah mematahkan hujahnya. Remaja hebat di gelanggang silat, pendakwah cekap dengan pukulan sikunya. Remaja sedap suaranya ala Mawi, pendakwah pun tak perlu kurang asyik alunan qasidah dan marhabannya. Remaja leka dengan majalahnya, pendakwah santai gaya bahasanya.

Andai hikmahlah yang menjadi paksi dakwah, bukan salah mereka yang kucari, tetapi menjadi pendengar yang baik sesuatu yang pasti. Manis tutur kata, rancak dengan humor seloka. Bila mesra sudah dijalin, barulah mudah di bawa ke masjid.

Tiada yang rugi berhikmah dalam berdakwah. Tambahan pula menghadapi anak muda yang pelbagai ragamnya. Andai dakwah remaja menjadi taruhan, hikmah dan bijaksana jawapan yang tepat.

Last Updated ( Sabtu, 31 Oktober 2009 00:32 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor