Hati ibu mana yang tidak mahu melihat anak remajanya mendapat tempat di tengah-tengah masyarakat. Hati ayah mana yang tidak bangga apabila anak mudanya disebut-sebut sebagai remaja soleh dan solehah yang cemerlang. Pastinya ada panduan bagi mengangkat martabat diri remaja agar muncul sebagai insan soleh dan solehah serta tampil penuh terampil di tengah-tengah masyarakat.
Penulisan ringkas ini bakal mengungkap sebahagian daripada tips berguna untuk remaja menjadikan mereka insan soleh dan solehah yang cemerlang. Tips utama pastinya golongan remaja harus memastikan ibadah solat dilaksanakan dengan cemerlang. Solat fardu lima waktu harus dilakukan pada awal waktu di samping tidak mengabaikan amalan solat sunat bagi menampung kekurangan. Sementara solat yang khusyuk pula akan mengangkat martabat ibadat agar diterima Allah. Perkara ini selaras denga firman Allah:
”Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. IIaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”
(Al-Mu’minun 23: 1-2)
Penyempurnaan ibadat ulung ini memastikan diri remaja sentiasa rapat dengan Allah di samping melatih diri bijak mengawal masa hasil tarbiah solat pada awal waktu. Disiplin dan keunggulan diri serta peribadi berhemah juga dapat dibina andainya solat berjemaah menjadi amalan. Bagaikan tentera dalam suatu barisan yang lurus, di samping patuh pada ketua (imam), teliti juga dalam setiap gerak geri perlakuan. Begitulah perumpamaan pembinaan jati diri dan disiplin remaja hasil daripada tarbiah solat berjemaah.
Tips seterusnya dalam membina remaja soleh dan solehah ialah mengikuti perintah Allah dan menjauhi larangan Allah. Ia begitu mudah untuk diungkap namun sukar untuk dilaksanakan. Ada dalam kalangan remaja tunduk dan patuh dalam melaksanakan perintah Allah seperti solat dan puasa, namun tidak dapat meninggalkan perbuatan yang ditegah Allah seperti berdusta dan menyalahgunakan anggota badan. Inilah cabaran bagi remaja zaman ini. Imannya belum cukup kuat untuk melawan nafsu yang diasak oleh dorongan syaitan. Ada kalanya solat sudah cukup sempurna, tetapi mudah pula terpengaruh dengan ajakan rakan untuk melakukan kemungkaran.
Justeru, remaja soleh dan solehah serta cemerlang yang kita mahu lahirkan adalah mereka yang kukuh dan kental imannya melawan segala pujukan hawa nafsu di samping hebat amalan kerohaniannya. Malah , tentu lebih hebat lagi seandainya golongan muda ini terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Mereka ini pula betah untuk mengajak rakan sebaya untuk menuju keredhaan Allah dan berani sekali untuk menegah salah laku yang dilakukan rakan-rakan. Hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud:
”Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. merekalah orang-orang yang beruntung.”
(Ali ’Imran 3: 104)
Tips seterusnya ialah menjauhkan diri daripada melakukan perkara sia-sia. Begitu banyak perkara sia-sia yang dilakukan remaja sama ada secara sedar atau pun tidak. Berselindung di atas alasan ingin berehat menjerumuskan mereka kepada amalan lepak. Bukankah membuang masa itu amalan sia-sia? Begitu juga halnya dengan perlakuan suka dan mengagungkan hiburan sehingga terlupa untuk menyahut sahutan azan bilal? Perkara itu juga sia-sia bukan? Terlalu mengagung-agungkan siaran televisyen sehingga bangga melihat aurat orang juga perbuatan sia-sia. Perbuatan sia-sia ini akan meresapi minda serta menggalakkan sikap negatif yang mengakibatkan berlakunya keingkaran terhadap perintah Allah. Akhirnya berlakulah pembaziran masa, wang dan tenaga. Maka untuk menjadi remaja soleh dan solehah, perkara sia-sia ini harus dijauhi sejauh mungkin agar diri sentiasa memanfaatkan setiap saat demi mendapat keredhaan Allah.
Dalam surah al-Mu’minun, disebut bahawa satu daripada kriteria orang Islam yang berjaya ialah mereka yang menjauhi perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
Selain itu, tips yang tidak kurang penting dalam membentuk remaja soleh dan solehah ialah menjaga pergaulan dan aurat. Segalanya bermula daripada menjaga pandangan mata, kerana pandangan mata akan mempengaruhi akal untuk bertindak. Pandangan mata yang tidak disertai iman akan menjurus kepada keburukan dan terdedah kepada mainan nafsu syahwat.
Dalam menjaga pergaulan, elakkan daripada duduk berdua-duaan dan bertemu lelaki dan wanita bukan mahram kecuali untuk perkara yang diperlukan. Batasan pergaulan yang dibatasi iman akan menyelamatkan remaja, manakala pergaulan bebas pasti mengundang seribu satu gejala negatif andai tidak dikawal. Ini ditambah dengan perlunya remaja sentiasa menjaga aurat dan batasannya. Sentiasalah mengingati kepentingan menjaga aurat sebagai simbol kepada maruah diri yang unggul. Kesemua ini akan akan mendorong remaja untuk menjaga maruah dan kehormatan diri selaras dengan tuntutan agama.
Firman Allah (maksudnya):
”Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
(An-Nur 24: 30)
Apa yang dibincangkan merupakan sebahagian daripada tips kecemerlangan anak soleh dan solehah . Banyak lagi panduan berguna buat anak-anak remaja melonjakkan diri ke mercu insan bertaqwa. Di tangan ibu bapa juga terletaknya pena bagi mencorak masa depan iman anak-anak ini.
Kepercayaan yang diberikan kepada anak-anak muda ini seharusnya diberi dengan penuh rasa tanggungjawab kepada Allah, agama dan bangsa. Moga golongan remaja di negara ini betah untuk membentuk peribadi dan jati diri unggul lantas muncul sebagai Muslim dan Muslimah yang dipandang tinggi oleh masyarakat umum.
| < Prev | Next > |
|---|







