
Masih segar dalam ingatan, ketika belajar di Nilam Puri dahulu, salah seorang pensyarah saya, Allahyarham al-Ustaz Abu Bakar Hamzah berkata: “Orang lelaki pantang kalau dikata bodoh, tetapi
tak akan marah kalau dikata hodoh. Sebaliknya orang perempuan pantang dikata hodoh, tetapi tak akan marah kalau dikata bodoh.”
Saya cuba mengintai-intai dalam diri, mencari jawapan yang mungkin terselit di kamar hati sendiri. Sebagai seorang perempuan, adakah ungkapan itu betul mengenai diri saya atau sebaliknya?
Apa pun jawapan yang saya temui dalam diri, tulisan ini tidak bertujuan untuk mengajak anda semua berpolemik mengenai ungkapan itu.
Cuba kita pandang keliling-kelalang, perhatikan apa yang terpampang di hadapan mata. Persoalan mengenai wanita dan kecantikan, wanita dan perhiasan tidak henti-henti dipersoal dan diperdebatkan. Ini memberi gambaran seolah-olah wanita, kecantikan dan perhiasan tidak dapat dipisahkan, laksana aur dengan tebing, bagaikan isi dengan kuku.
Meneliti nas-nas syarak, sama ada al-Quran atau al-Hadis, didapati secara tidak langsung memberi gambaran bahawa wanita, kecantikan dan perhiasan memang ada kaitan. Sebagai contoh, renungilah firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Dalam ayat di atas, Allah tidak melarang wanita berhias. Allah tidak berkata ‘jangan berhias’. Sebaliknya Allah berkata ‘janganlah mereka memperlihatkan perhiasan’.
Di tempat yang lain, Allah menyebut dengan lebih jelas tentang keadaan anak perempuan yang pada kebiasaannya dibesarkan dengan dikelilingi perhiasan. Allah berfirman (maksudnya):
“Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?”
(Az-Zukhruf:18)
Nabi s.a.w. pernah menyatakan bahawa apabila seseorang lelaki ingin berkahwin, mereka akan memilih wanita yang memiliki kriteria tertentu, iaitu cantik, berharta, daripada keturunan yang baik dan berpegang kepada agama. Walaupun Nabi memerintahkan agar memberi keutamaan kepada pegangan agama, baginda tidak menafikan atau melarang kecenderungan mereka untuk mengambil kira kecantikan paras rupa.
Ayat-ayat serta hadis yang disebut di atas menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf naluri wanita yang suka berhias, suka kelihatan cantik dan menarik. Tidak terdapat satu nas pun yang membawa maksud berhias itu haram dan dilarang. Sebaliknya banyak ayat dan hadis yang memerintahkan umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan supaya memberi perhatian terhadap perhiasan dan penampilan diri agar kelihatan elok dan kemas.
Aisyah r.a. menceritakan pada suatu hari dia dikunjungi isteri Uthman bin Maz’un r.a. dalam keadaan tidak memakai inai dan bauan. Beliau menegur:
“Adakah suamimu sedang musafir atau ada di rumah?”
Pertanyaan Sayidatuna Aisyah r.a. memberi gambaran bahawa wanita yang bersuami sepatutnya berhias dan menjaga kebersihan serta penampilan diri agar cantik dan menarik, khususnya di mata suami.
Namun perlu diingat, kecantikan lahiriah bukanlah segala-galannya. Dalam berhias dan bergaya dengan perhiasan pada badan, pakaian dan sebagainya, jangan lupa pada perhiasan dan kecantikan hakiki yang dilihat dan dinilai oleh Allah s.w.t.
Sesetengah wanita sanggup berbelanja ratusan ringgit dan menghabiskan masa berpuluh-puluh minit di hadapan cermin untuk melindungi titik-titik hitam di muka daripada penglihatan manusia, tetapi tidak sanggup untuk duduk beberapa minit sahaja di atas sejadah beristighfar untuk membersihkan titik-titik hitam di hati akibat dosa, sedangkan hati adalah tempat Allah melihat dan menilai diri kita, hambaNya.
| < Prev | Next > |
|---|







