
Wanita Islam selalu menjadi mangsa prejudis dan pandangan negatif pelbagai pihak termasuk daripada kalangan umat Islam sendiri yang tidak mengerti ajaran Islam yang sebenar.
Terbaharu, tuduhan Presiden Perancis seperti yang dilaporkan dalam news.yahoo.com berbunyi:
PARIS â President Nicolas Sarkozy declared Monday that the Islamic burqa is not welcome in France, branding the face-covering, body-length gown as a symbol of subservience that suppresses women's identities and turns them into "prisoners behind a screen."
Yang pasti, segala tuduhan itu tidak benar sama sekali. Islam tidak pernah meminggirkan wanita. Dan wanita Islam tidak pernah terpinggir dalam melaksanakan tanggungjawab menyebarkan agama dan membangunkan ummah.
Penglibatan wanita, khususnya pada zaman nubuwwah meliputi berbagai-bagai bidang di semua sektor. Mendahului senarai wanita paling tertonjol dalam sejarah Islam, tidak lain dan tidak bukan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid. Teguh peribadinya, matang fikirannya serta bijaksana tindakannya. Terlalu besar jasa dan sumbangannya terhadap kemunculan Islam sehingga Nabi s.a.w. tidak dapat melupakannya.
Aisyah r.a. dengan terus terang menceritakan: âSaya tidak pernah cemburukan seseorang seperti saya cemburukan Khadijah meskipun saya tidak pernah melihatnya. Apa yang menyebabkan saya amat mencemburuinya ialah sikap Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah lekang menyebut namanya. Seandainya baginda menyembelih kambing, baginda akan memotong sebahgiannya kemudian mengirimkannya kepada saudara mara serta kawan-kawan Khadijah. Pernah saya merungut di hadapan baginda: âSeolah-olah tiada orang lain di dunia ini selain Khadijah.ââ
(Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat lain, beliau berkata kepada baginda: âAlangkah kerapnya anda menyebut nama orang tua itu! Bukankah Allah telah menggantikan anda yang lebih baik daripadanya?â Baginda menjawab dengan tegas: âAllah tidak pernah menggantikan untukku orang yang lebih baik daripadanya! Sesungguhnya dia telah beriman denganku ketika orang lain kufur, mempercayaiku ketika orang lain mendustaiku; dia membantuku dengan hartanya ketika orang lain menghalang. Dan Allah telah menganugerahiku anak-anak dengannya, sedangkan dengan isteri lain tidak.â
(Ahmad)
Jubah dan purdah yang menutupi jasad dan wajah tidak pernah menyekat kebebasan wanita untuk berfikir dan memberikan idea yang bernas. Kisah yang diceritakan oleh al-Miswar bin Makhzamah ketika Perjanjian Hudaybiah menjadi bukti kecerdasan wanita Islam dan dalil yang menunjukkan Islam tidak menyekat penglibatan mereka.
Al-Miswar berkata: âSetelah perjanjian dimaterikan, Rasulullah s.a.w. berkata kepada sahabat-sahabatnya: âBangun, lakukan sembelihan kemudian bercukurlah!â Demi Allah tiada seorang pun daripada kalangan mereka yang bangun sehingga baginda mengeluarkan arahan sebanyak tiga kali. Namun tiada seorang pun yang berdiri. Terkilan dengan apa yang berlaku, baginda masuk ke dalam khemah menemui Ummul-Mukminin Ummu Salamah r.a. dan meluahkan perasaannya dengan menceritakan peristiwa yang baru dihadapinya. Lalu Ummu Salamah memberikan suatu saranan bernas yang telah berjaya menyelamatkan para sahabat r.a. daripada kebinasaan kerana mengingkari arahan pemimpin mereka, Rasulullah s.a.w.
Ummu Salamah berkata kepada suaminya: âWahai Nabi Allah. Adakah anda suka arahan anda dipatuhi? Keluar dari khemah ini, jangan bercakap walau sepatah dengan sesiapa pun daripada kalangan mereka sebelum anda menyembelih unta anda dan menyuruh tukang cukur mencukur rambut anda!â
Apabila melihat baginda melakukannya, semua mereka bangun, menyembelih dan mencukur rambut sesama sendiri dalam keadaan bersesak-sesak sehingga pisau cukur masing-masing hampir melukai yang lain.
(Al-Bukhari)
Wanita pada zaman Nabi s.a.w. juga turut terlibat dalam menjaga kemudahan awam seperti masjid dan lain-lain.
Anas bin Malik menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. melihat kahak bersepah di dalam masjid arah kiblat. Baginda begitu marah sehingga merah padam mukanya. Seorang wanita Ansar datang membersihkannya dan menuangkan khaluq (sejenis wangian berwarna kuning) di atas tempat itu. Baginda memujinya dengan bersabda maksudnya: âAlangkah baiknya ini...â
(An-Nasaâi)
Hospital pertama didirikan oleh seorang wanita
Rufaidah al-Aslamiyyah seorang wanita terpelajar dan berharta. Beliau mempunyai kemahiran dalam merawat dan mengubat pesakit. Namanya dikenali umum sebagai seorang yang suka menolong orang yang memerlukan rawatan. Beliau telah mendirikan sebuah khemah di sisi masjid Nabi s.a.w. dengan hartanya sendiri. Khemah itu dilengkapi dengan berbagai-bagai kemudahan perubatan dan rawatan. Ketika Saad bin Muaz tercedera dalam peperangan Khandaq, Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar dia di bawa ke khemah Rufaidah yang terletak di sisi masjid untuk mendapatkan rawatan.
Apabila berlaku peperangan di luar Madinah, beliau akan mengangkut khemah itu dengan segala kelengkapannya ke medan perang dengan dibantu oleh beberapa orang sahabiat.
Sesungguhnya hijab bukan suatu kongkongan. Wanita pada zaman nubuwwah menjalani kehidupan dengan harmoni, dihormati dan dihargai.
Sahl bin Saad r.a. bercerita: âSesungguhnya kami sangat gembira apabila tiba hari Jumaat. Seorang wanita yang telah lanjut usia akan memasak bubur daripada sayur-sayuran yang dicampur dengan biji gandum. Selesai solat, kami akan menziarahinya dan dia akan menjamu kami masakannya. Sebab itu kami sangat gembira apabila tiba hari Jumaatâ.
(Al-Bukhari)
Ummu al-âAlaa berkata: âRasulullah s.a.w. datang menziarahi saya sewaktu saya sakit. Baginda menghiburkan saya dengan sabdanya yang bermaksud: âBergembiralah wahai Ummu al-âAlaa. Sesungguhnya kesakitan yang dialami seseorang Muslim menjadi sebab Allah mengikis dosa-dosanya seperti api mengikis kekotoran daripada emas dan perak.â
(Abu Daud)
| < Prev | Next > |
|---|







