Baitul Maqdis yang terletak di bumi barakah al-Quds (bumi suci) mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan para nabi sejak dari Nabi Adam alaihissalam. Menilai kedudukan Baitul Maqdis sedemikian rupa mendorong seorang tokoh intelektual tersohor Prof Dr Abdul Fattah El-Awaisi merujuknya sebagai ’IslamicJerusalem’. Beliau memperkenalkan konsep ’Islamic Jerusalem’ pada tahun 1994 ketika membangunkan ISRA (Islamic Research Academy) di kota London. Beliau menegaskan ’Islamic Jerusalem’ tidak merujuk kepada kota Jerusalem baik pada zaman Muslim, Kristian atau Yahudi seumpama ’Muslim Jerusalem’, ’Jewish Jerusalem’ atau ’Cristian Jerusalem’ yang merujuk kepada era-era tertentu dalam sejarah, tetapi ia adalah satu konsep yang komprehensif yang terkandung dalam tiga elemen penting iaitu: lokasi geografi, penduduknya dan visi untuk mentadbir penduduknya berdasarkan prinsip-prinsip keadilan yang membawa kemanan.
Secara ringkasnya ’IslamicJerusalem’ mewakili satu visi untuk kewujudan bersama (peaceful co-existence) dan satu pendekatan bagi manusia yang dengan pelbagai latar belakang agama dan kebudayaan boleh hidup bersama dalam persekitaran multibudaya (multiculturalism) melalui pemuafakatan (engagement), kepelbagaian (diversity) dan toleransi. Khalifah Umar al-Khatab adalah ’fatih’ (pembuka) kepada ’IslamicJerusalem’ yang pertama dan telah menterjemahkan visi ini baik dalam bentuk dokumentasi (piagam keamanan Umar) dan juga dari sudut pelaksanaannya. Konsep ’IslamicJerusalem’ boleh menjadi landasan dan model untuk kewujudan masyarakat multibudaya dan multietnik yang lestari di mana-mana pun di dunia ini.
Istilah yang terbentuk daripada dua perkataan ’Islamic’ dan ’Jerusalem’ kemudian digabungkan menjadi satu iaitu ’IslamicJerusalem’ kerana pengasas kepada terminologi ini merasakan keduanya tidak boleh dipisahkan. Ini bererti Jerusalem (Baitul Maqdis) adalah identik dengan Islam sehingga tidak mungkin Jerusalem hadir tanpa Islam.
Ini membawa kita kepada persoalan ’barakah’ dan kaitannya dengan Baitul Maqdis. Di dalam al-Quran, Baitul Maqdis dinyatakan sebagai bumi Barakah sebanyak lima kali dalam empat surah iaitu al-Anbiya ayat 71 dan ayat 81, Saba’ ayat 18, al-A’raf ayat 137 dan al-Isra’ ayat 1. Empat ayat yang pertama merujuk kepada IslamicJerusalem sebagai ’al-Ard al-lati barakna fiha’ iaitu bumi yang ’kami telah berkati’. Ayat yang kelima daripada surah al-Isra’ adalah berkait dengan peristiwa Isra’ dan Mi’raj dan merujuk kepada Masjid al-Aqsa Al’ladhi Barakna Hawlahu’ iaitu ’yang kami telah lingkungi dengan Barakah’.
Ada perbezaan dalam pemusatan makna Barakah dalam empat ayat yang pertama dan ayat yang kelima. Empat ayat yang pertama menunjukkan sempadan yang melingkari pusat barakah tersebut sedang ayat yang kelima merujuk kepada pusat barakah itu sendiri. Istilah ’Barakah’ ini telah mendorong Prof Dr Abd Fattah untuk mengulas pusat barakah serta sempadan geografi yang melingkarinya.

Hasil daripada penelitian dan kajian seorang pelajar PhD beliau iaitu Khalid El-Awaisi yang menghasilkan tesis berjudul ’Mapping IslamicJerusalem: The Geographical Extent of the Land of Bayt al-Maqdis, the Holy Land and the Land of Barakah’ (Al-Maktoum Inst. For Arabic and Islamic Studies/Univ. Of Aberdeen – 2006), beliau telah mengemukakan hujah-hujah berdasarkan sumber asas Islam (al-Quran dan hadith) dan rujukan sejarah klasik Islam dalam menentukan ruang lingkup geografi yang meliputi ’IslamicJerusalem’. Beliau merumuskan bahawa apa yang dikatakan sebagai ’IslamicJerusalem’ itu tidaklah sekadar Masjid al-Aqsa atau sempadan kota lama, atau Baitul Maqdis timur dan barat (seperti yang dirujuk pada hari ini) atau Baitul Maqdis besar (greater Baitul Maqdis) bahkan ia adalah satu wilayah yang merangkumi pelbagai bandar, pekan dan penempatan yang mana Masjid al-Aqsa adalah pusatnya.
Prof Dr Abd al-Fattah juga menjelaskan ’barakah’ mempunyai makna pada sisi ’spiritual’ dan ’fizikal’. Manifestasi dari sudut fizikalnya ialah lingkungan lokasi geografinya (ini termasuklah bentuk muka buminya, topografinya, iklim, hasil-hasil pertanian (tin, zaitun dan citrus) yang tinggi kualitinya sedang sisi ’spiritual’ adalah bersifat abstrak yang meskipun tidak dapat diungkapkan namun ia dapat dirasakan dalam bentuk-bentuk keberkatan yang meliputi kehidupan seseorang. (Sebab itu Prof Dr Abd al-Fattah menekankan mereka yang berkerja dan membela Baitul Maqdis akan mendapat keberkatan yang melimpah daripada bumi penuh barakah itu di sepanjang zaman). Bahkan manifestasi barakah dari sisi ’spiritual’ ini dapat dirasai dengan hakikat bahawa bumi ini menjadi tempat pertemuan tiga agama Samawi (meskipun Yahudi dan Kristian sudah melakukan penyelewengan) dan juga nabi-nabi diutus di lahirkan di sana (Nabi Ismail, Nabi Ishaq, Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Isa, Nabi Sulaiman, Nabi Daud alaihimussalatu wassalam),berhijrah ke sana (Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Lut alaihimussalatu wassalam) dan wafat di sana.
Makkah juga adalah bumi barakah tetapi perbezaan antara barakah Makkah dan barakah Baitul Maqdis ialah ’barakah’ di Makkah adalah eksklusif untuk Muslim sedang ’barakah’ Baitul Maqdis adalah untuk semua tanpa kecuali. Ini adalah berdasarkan kepada surah al-Anbiya ayat 71 di mana al-Quran merujuk kepada Baitul Maqdis sebagai ’tanah yang kami telah anugerahkan Barakah pada semua makhluk di seluruh alam.’ Ayat ini merujuk kepada Nabi Ibrahim alaihissalam. Ini bermakna konsep barakah untuk seisi alam (konsep IslamicJerusalem) ini telah dipaterikan sejak awal lagi bahkan sejak sebelum Nabi Ibrahim alaihissalam berhijrah ke sana.
Setelah menggariskan hakikat barakah yang meliputi Baitul Maqdis, Prof Dr Abd Fattah kemudian menjelaskan sempadan bumi barakah itu berdasarkan bukti sejarah. Al-Waqidi, sejarawan muslim awal merujuk kepada satu laporan di mana Abu Baqr as-Sidq menyatakan kepada Amr al-As yang beliau telah dilantik bagi wilayah ’Palestin dan Aelia (Alaika bi Filistin wa Illia). Kalimah ’wa’ di sini membawa dua maksud iaitu pertama, ia terpisah dan berbeza (yakni Palestin dan Aelia (nama asal Baitul Maqdis) adalah dua wilayah yang dibezakan. Kedua, kalimah ’wa’ juga boleh membawa maksud lebih penting atau lebih utama. Hal ini bermakna Aelia (Baitul Maqdis) adalah lebih signifikan daripada Palestin secara umum. Nama Aelia terus kekal dirujuk oleh Umar al-Khattab bahkan sehingga zaman Bani Ummayah. Berdasarkan kepada rujukan sarjana Muslim silam Dr Khalid El-Awaisi, Aelia atau ’IslamicJerusalem’ dari segi sempadan geografinya meliputi kawasan seluas 40 batu X 40 batu (64 km X 64 km) dengan Masjid al-Aqsa sebagai pusatnya. Sempadan ini jugalah yang dijadikan wilayah pentadbiran Baitul Maqdis pada zaman Sultan Abdul Hamid II (Khalifah Uthmaniyah yang terakhir). Ia dirujuk sebagai ’Rantau Jerusalem Merdeka yang Gemilang’ (Liwa al-Quds al-Mustaqil al-Mumtaz). Wilayah yang termasuk di dalamnya ialah Jerusalem, Jaffa (sebutan ’Yaffa’), Hebron (Ibrahimi), Gaza (Ghazza) dan Beersheba.
(Bersambung)
| < Prev | Next > |
|---|


