Prof Abd Fattah kemudian mengulas tentang ayat yang sering dibaca dan dihayati setiap tibanya 27 Rejab iaitu ayat 1 dari surah al-Isra' atau Bani Israel yang bermaksud:
“Maha suci Dia (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad sallallahu alaihi wasallam) pada malam hari dari (min) Masjid al-Haram ke (ila) masjid al-Aqsa yang diberkati di sekelilingnya (hawlahu) untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaranNya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Pertama, apa yang dimaksudkan dengan 'hawlahu'. Terminologi ini sering ditafsirkan sebagai 'sekitaran' (vicinity or surrounding area) atau 'kejiranan' (precincts) seperti yang diketengahkan oleh beberapa tokoh termasuk Abdullah Yusuf Ali dalam terjemahan al-Quran (dalam Bahasa Inggeris). Prof Abdul Fattah tidak bersetuju dengan pemahaman seperti ini dan berpandangan 'sekeliling' lebih tepat. Ada perbezaan antara sekitaran dengan sekeliling. Sekitaran merujuk kepada kawasan yang di sekitarnya sahaja. Sedang sekeliling membawa maksud apa yang mengelilinginya. Terdapat batasan pada makna yang pertama sedang pada makna kedua tidak ada batasan. Dalam erti kata yang lain istilah 'hawlahu' merujuk kepada siri-siri bulatan yang semakin membesar (concentric circles) dengan Masjid al-Aqsa sebagai pusat bulatan tersebut. 'Concentric circles' ini menunjukkan bahawa keberkatan yang terpancar dari Masjid al-Aqsa menyinari (radiates) ke seluruh dunia tetapi dengan keamatan (intensity) yang semakin berkurangan. Bererti semakin hampir seseorang itu kepada Masjid al-Aqsa semakin hampirlah ia kepada pusat keberkatan tersebut dan begitu juga sebaliknya. (gambar rajah disertakan)
Dalam peristiwa Isra' dan Mikraj Rasulullah sallallahu alaihi wasallam melalui satu perjalanan dari Makkah ke Baitul Maqdis dan dari sebuah batu terapung (di mana letaknya kubah batu - kubah sakhrah pada hari ini) Nabi naik ke langit tertinggi bertemu dengan Allah. Ini satu isyarat bahawa di sinilah letaknya pusat keberkatan dan titik yang paling hampir dengan syurga Allah subhanahu watala.
Kerana itu Prof Abd Fattah menekankan peri pentingnya umat Islam mengambil berat tentang al-Aqsa dan kemelut yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin. Apakah kita tidak mahu berada hampir dengan pusat keberkatan itu? Tidak kepinginkah kita untuk berada di bumi penuh barakah, bahkan tempat yang dikira paling hampir dengan syurga Allah di bumi yang fana ini? Oleh kerana barakah itu sifatnya ghaib dan tidak boleh diukur dengan materi (kebendaaan) serta bersifat kerohanian, sesiapa pun di atas muka bumi ini - meskipun dia berada pada kedudukan yang paling jauh dari pusat keberkatan itu, dia tetap akan mendapat manfaat yang cukup besar daripada keberkatan yang memancar ke seluruh pelosok alam jika hatinya tertambat ke sana, sentiasa memikirkannya sehingga rindu bertapak di jiwa untuk membebaskan masjid al-Aqsa dan bersolat di dalamnya.
Prof Abd Fattah mengakui bahawa beliau dapat merasakan keberkatan itu apabila jiwa raganya dibasahkan dengan perjuangan untuk membela dan mempertahankan masjid al-Aqsa. Belaiu merasakan keberkatan itu dalam kehidupan peribadinya, keluarganya dan anak-anaknya. Dengan hanya 75 pound sterling untuk memulakan akademi penyelidikan Islam di Kota London untuk mewujudkan program pengajian IslamicJerusalem, kini Prof Abd Fattah berjaya mengumpul dana yang begitu besar sehingga 1 juta pound setahun untuk membangunkan golongan cerdik pandai yang akan memperjuangkan isu Baitul Maqdis melalui pendekatan akademia. Sehingga kini tidak kurang daripada 50 sarjana dan lebih daripada 10 disertasi Phd telah dihasilkan dalam pengajian IslamicJerusalem. Kini pengajian ini ditawarkan oleh Universiti Aberdeen, Scotland, satu institusi berprestij dan antara yang tertua di UK, satu pengiktirafan daripada komuniti akademia barat tentang kedudukan Baitul Maqdis dalam warisan Islam.
Jika kita melihat kedudukan ayat pertama daripada surah al-Isra' itu, ia menunjukkan isyarat yang tertentu. Surah al-Isra’ adalah surah yang ke-17 dan permulaan kepada juzu' 15. Ini bererti ayat 1 surah al-Isra' berada betul-betul di tengah al-Quran (30 juzu'). Kedudukan ayat ini sendiri menunjukkan bahwa al-Aqsa dan Baitul Maqdis adalah pusat tumpuan umat Islam, bukan sahaja dari sudut kedudukan geografinya bahkan dari sudut agenda kehidupan seorang Muslim.
Prof Abd Fattah kemudiannya mengulas tentang 'min' dan 'ila'. Perjalanan Isra’ Nabi sallallahu alaihi wasallam mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua masjid ini dalam konteks misi para anbiya'. Kaabah dibina oleh Nabi Adam alaihissalam. Begitu juga Masjid al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Adam alaihissalam. Menurut sebuah hadis sahih berdasarkan pertanyaan Abu Dzar al-Ghifari kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, jarak masa pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun. Kemudian Nabi Ibrahim alaihissalam dan puteranya Nabi Ismail alaihissalam membina Kaabah di atas tapaknya yang asal dan bersama puteranya Ishaq alaihissalam membina Masjid al-Aqsa di atas tapaknya yang asal.
Hubungan kedua-dua masjid ini bukan sahaja dari sudut proses pembinaannya bahkan paling menakjubkan apabila seorang pelajar PhD menghasilkan tesisnya yang membuktikan kesamaan yang amat ketara terhadap struktur binaan kedua masjid. Hasil kajiannya ditulis dalam tesisnya yang berjudul 'The Architectural Development of Al-Aqsa mosque in Islamic Jerusalem in the Early Islamic Period: Sacred Architecture in the Shape of 'The Holy', Strathclyde University (2002)' oleh Haithem Fathi Al-Ratrout.
Beliau mendapati kedua-dua tapak Kaabah dan kawasan masjid al-Aqsa yang disempadani oleh tembok mempunyai dimensi yang sama. Kedua-duanya adalah berbentuk segi empat tempat yang tidak sekata (irregular rectangle) Keempat-empat segi empat ini bukan bersudut tepat (atau lebih sedikit dari 90 darjah). Kaabah yang asal menganjur sehingga ke Hijir Ismail (bermakna bangunan kaabah yang asal lebih panjang daripada yang ada pada hari ini). Apabila kedua-dua tapak masjid ini ditindan (superimposed) dimensi keduanya adalah sama (pada ke empat-empat sudut tersebut). Ertinya, Masjid al-Aqsa adalah dimodelkan pada Kaabah tetapi pada nisbah ukuran panjang dan lebar yang lebih besar (greater proportion). Lebih menakjubkan lagi orientasi tapak masjiid al-Aqsa mengadap kepada Kaabah (line of vision).
Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mematerikan hubungan risalah tauhid yang dibawa oleh para nabi sejak Nabi Adam alaihissalam dan Ibrahim Khalilullah alaihissalam dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Apabila Nabi bersolat di al-Aqsa setengah riwayat mengatakan 124,000 para Nabi menjadi makmum. Tapak masjid al-Aqsa boleh memuatkan sekitar setengah juta orang. Ini bererti separuh daripada perkarangan Masjid al-Aqsa pada malam Israk dan Mikraj dipenuhi oleh para Nabi yang bersolat di situ. Dengan ini terbatallah perdebatan yang mengatakan bahawa kubah sakhrah atau Masjid Umar sebagai Masjid al-Aqsa sebenarnya. Keseluruhan kawasan yang dikelilingi oleh tembok itulah Masjid al-Aqsa, dan kedua-dua kubah hanyalah binaan-binaan yang terdapat pada Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Kedua-dua bangunan ini tidak wujud pada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bahkan dibina pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan - Bani Ummayah (Kubah Sakhrah - 688M) dan Sultan Afdhal ibn Salahuddin (Masjid Umar 1193M).
Implikasi Baitul Maqdis sebagai pusat barakah sangat besar. Apabila Baitul Maqdis dikuasai oleh British dalam Perang Dunia I pada tahun 1917, ia membuka jalan kepada tamatnya kekuasaan politik umat Islam. Pada tahun 1924, runtuhlah Khilafah Uthmaniyah yang menaungi seluruh dunia Islam. Hal ini bererti jika umat Islam hendak disatukan kembali, kekuasaan politik Islam hendak diperkasa kembali atau ‘Islamic world order’ hendaklah dibangunkan kembali (Khilafah Uthmaniah), maka tidak syak lagi Baitul Maqdis wajib dibebaskan daripada cengkaman Zionis, sebagaimana pembukaan Baitul Maqdis (637M) oleh Umar al-Khattab memadamkan empayar Rum Timur (bizantium), begitu juga Salahuddin al-Ayubi menamatkan kekuatan Salibiyah dengan merebut kembali Baitul Maqdis (1190M). Begitu juga halnya al-Malik Zahir Baybers menamatkan ancaman tentera Monggol ke atas dunia Islam apabila mereka dikalahkan di Ain Jalut di luar Baitul Maqdis pada tahun 1258M.
(Bersambung)
| < Prev | Next > |
|---|


