Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Adakah kita terlalu sibuk untuk tersenyum?

Terkadang kita merasakan kitalah orang yang paling sibuk. Terkadang kita rasa tidak pernah cukup masa. Terkadang kita rasa jadual kitalah yang paling padat.


Lebih kritikal lagi bila kesibukan kita menjadikan kita ”stress” tidak tentu hala. Kepadatan jadual kita pula membuatkan kita lupa pada hak keluarga dan insan di sekeliling kita. Bertambah teruk andai semua kesibukan dan kepadatan jadual hidup kita menjadikan kita serius memanjang. Senyuman dan gurau senda menjadi asing buat kita.

Kalau tanda-tanda di atas ini sudah ada pada diri kita, maka renungkanlah mutiara kata ini, “Hiasi kehidupan ini dengan gurau senda kerana ia melambangkan kehidupan yang harmoni.”

Dalam persoalan begini, Anjang punya pandangan dan cara sendiri. Bagi Anjang keseimbangan dalam kehidupan wajib dimiliki. Mesti ada masa untuk Tuhan, diri, pelajaran, kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan ahli masyarakat.

Anjang teringat mutiara kata yang Anjang pernah baca dan kongsi dengan rakan-rakan iaitu, ”Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muzik jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu daripada segala ketenangan jiwa.”

Anjang amalkan beberapa tips dalam hidup Anjang. Demi menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat, Anjang ingin kongsi beberapa tips tersebut dengan para remaja dan belia yang dikasihi:

1. Hidup perlukan keseimbangan – Keseimbangan dari segenap sudut. Walaupun keseimbangan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, namun usaha ke arah itu amat penting. Dalam mengisi waktu yang dikurniakan oleh Allah sebanyak 24 jam ini, kita harus bijak memanfaatkan setiap detik dan saat yang dikurniakan. Pembahagian masa kita mestilah mengambil kira segala kepentingan yang ada. Antaranya pelajaran, kerjaya, keluarga, ibu bapa, rakan-rakan, masyarakat dan alam. Jika kita melebihkan satu tanggungjawab dan mengabaikan tanggungjawab yang lain, hidup kita akan haru-biru. Walaupun kita cemerlang dalam satu perkara, kita mengabaikan perkara penting yang lain. Kita tetap akan merasa kekurangan.

2. Masa kita untuk apa dan siapa? – Seperti yang disebutkan sebelum ini, kita semua dikurniakan 24 jam. Tidak ada mana-mana insan dikurniakan masa melebihi atau kurang daripada 24 jam. Kita semua dikurniakan 24 jam sahaja. Cuma bagaimana kita membahagikan masa tersebut? Berapa jam digunakan untuk belajar? Bagi yang sudah berkerjaya, berapa jam diperuntukkan untuk kerjaya dan mencari rezeki, berapa jam untuk keluarga, berapa jam untuk hiburan, berapa jam untuk riadah dan rekreasi, berapa jam untuk berbakti pada masyarakat, berapa jam untuk bersosial dan menyambung silaturahim berapa jam untuk membaca buku untuk menambahkan ilmu, berapa jam untuk bermesra dengan alam, dan berapa jam pula untuk membeli belah atau melancong? Semuanya kita yang menguruskannya sendiri.

3. Hidupku, matiku, ibadahku hanyalah untuk Tuhan pemilik semesta alam – barangkali ada antara kita akan bertanya, berapa jam pula masa kita untuk Alla? Setiap kali bila bersolat, kita pasti berikrar, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan pemilik sekalian alam”. Sebenarnya setiap perkara yang kita lakukan sepanjang hidup kita adalah ibadah selagi kita memenuhi syarat-syaratnya. Adalah kurang tepat jika kita nyatakan bahawa mengenal dan mengingati Allah hanyalah melalui solat lima waktu atau ibadah itu sekadar berpuasa, padahal Islam adalah “the way of life”. Maka jadikanlah setiap perbuatan kita sebagai ibadah dengan melaksanakannya mengikut peraturan dan syarat yang telah digariskan.

4. Menentukan keutamaan – satu lagi tips penting ialah menentukan keutamaan. Kita harus bijak menentukan siapa dan apa keutamaan kita dalam satu-satu waktu tertentu. Contohnya jika sudah hampir dengan peperiksaan, fokus utama kita tentulah kepada pelajaran. Manakala jika ketika khusuk membaca buku atau bekerja, waktu solat lima waktu tiba, yang wajib dan utama ketika itu adalah solat. Dan begitulah keadaannya, seterusnya. Kegagalan menentukan keutamaan merupakan salah satu punca kegagalan kita dalam mencari keseimbangan.

5. Setelah berusaha, bertawakal – Selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membahagikan masa dan menentukan keutamaan, kita bertawakallah kepada Allah. Kadang-kadang ada antara kita yang merasakan telah menguruskan masa yang terbaik untuk setiap perkara, tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Bagi orang-orang yang berusaha dan bertawakkal, mereka tidak akan mudah berputus asa terhadap rahmat Allah. Kejayaan akan dianggap sebagai nikmat dan ujian, sedangkan kegagalan akan diterima sebagai ujian dan cabaran. Kedua-duanya hadiah daripada Allah dalam bentuk yang berbeza.

Last Updated ( Khamis, 09 Julai 2009 17:37 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor