Malaysia Harmoni

Friday
Mar 12th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Masih adakah teman yang setia?

sahabat

Antara pesanan Luqmanul Hakim kepada anakandanya berkaitan dengan teman ialah, "Puteraku, janganlah kamu meninggalkan temanmu yang pertama. Sekiranya itu kamu lakukan maka temanmu yang kedua tidak tenang berteman denganmu. Puteraku, carilah seribu teman, kerana seribu teman itu terasa sedikit. Janganlah kamu mencari seorang musuh sahaja, kerana seorang musuh itu sudah terasa banyak.”

Daripada pesanan ini mengertilah kita betapa pentingnya hidup berteman. Memiliki teman adalah lebih baik berbanding dengan mereka yang hidup berseorangan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh pula menafikan bahawa terdapat kawan yang menyusahkan kawan.

Dalam bab kawan menyusahkan kawan ini, Luqmanul Hakim memberikan pesanan ini kepada anakandanya, “Puteraku, jauhilah teman yang jahat kerana teman yang jahat ibarat pedang yang terhunus. Bentuknya membuatmu kagum namun bekas (luka yang disebabkannya) sangatlah buruk.”

Memang berbeza sekali bandingan antara teman yang baik dengan teman yang jahat. Teman yang baik tidak akan mengkhianati dan menyakiti kita. Sebaliknya teman yang jahat atau tidak baik memang mampu menghancurkan kita. Sebab itulah kita memerlukan serba sedikit panduan untuk mencari teman yang baik.

Dalam bukunya, Ihya’ Ulumuddin atau Bimbingan Mukminin, Imam al-Ghazali menulis pesanan berikut sebagai panduan untuk kita memilih kawan atau sahabat.

Menurut al-Ghazali, Alqamah berpesan kepada puteranya, katanya: “Wahai anakku! Kiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

1. Jika engkau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, dia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, dia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu untuk meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Manakala Abu Sulaiman ad-Darani pula berpesan: Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang daripada dua orang berikut:

1. Orang yang engkau berasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaan.

2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratan.

Semoga panduan yang sedikit ini dapat membantu remajaku meneruskan kehidupan seperti remaja yang lain. Teruslah memiliki teman tetapi dengan berhati-hati serta menjadikan mereka mampu membahagiakan kita di dunia dan akhirat sebagai kawan. Insya-Allah akan kita temui kawan atau teman yang setia jika asas persahabatan adalah kerana Allah.

 

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor

Banner
Banner
Banner
Banner
Banner