Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Kelahiran yang penuh barakah

a

12 Rabiulawal disambut setiap tahun sebagai tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Menurut Syeikh Sofiy ar-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya ‘Ar-Raheeq al-Makhtum’ berdasarkan kajian dan analisis yang dilakukan oleh seorang alim besar, Muhammad Sulaiman al- Mansurfuri dan seorang penganalisis falak, Mahmud Basha, baginda dilahirkan pada pagi Isnin 9 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 20 atau 22 April 571 tahun Masihi.

Ibn Hisham menyatakan bahawa terdapat riwayat bahawa semasa hamil, bonda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bermimpi dikunjungi seseorang yang berkata kepadanya, “Sesungguhnya engkau sedang mengandungkan penghulu bagi umat ini. Apabila dia lahir bacalah doa ini (aku melindunginya dengan yang Satu daripada kejahatan setiap orang yang dengki) kemudian namakan dia Muhammad.” Dan ketika dia melahirkannya, dia melihat satu cahaya keluar dari kemaluannya menerangi mahligai-mahligai di negeri Syam.

Beberapa petanda kelahiran seorang Rasul turut berlaku pada saat kelahirannya. Antaranya runtuh 14 anjung dewan Kisra Parsi, terpadam api yang disembah penganut agama Majusi, tasik Sawah di Iraq surut airnya dan gereja-gereja di sekitarnya runtuh. Fatimah binti Abdullah, ibu kepada Uthman bin Abi al-‘As menceritakan, “Saya hadir ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dilahirkan. Saya lihat rumah itu dipenuhi cahaya yang terang-benderang dan sebiji bintang menghampiri sehingga saya rasa seolah-olah bintang itu akan jatuh menimpa saya.”

Ibn Ishaq meriwayatkan bahawa Hassan bin Thabit yang menceritakan, “Demi Allah ketika saya masih kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun dan saya faham serta ingat apa yang saya dengar, saya mendengar seorang Yahudi melaung dengan suara yang kuat dari tempat yang paling tinggi di Yathrib: ‘Wahai kaum Yahudi!’ Sebentar kemudian berhimpunlah orang-orang Yahudi di sekelilingnya. Mereka menyumpah-nyumpahnya: ‘Celaka engkau! Apa kena dengan engkau?’ Dia berkata: ‘Semalam telah muncul bintang Ahmad yang mengiringi kelahirannya!’”

Sebaik sahaja baginda dilahirkan, Aminah segera mengirim khabar kepada bapa mertuanya Abdul Muttalib.

Abdul Muttalib segera datang dan membawa cucundanya ke dalam Kaabah. Beliau berdoa dan bersyukur kepada Allah serta menamakannya Muhammad. Nama itu tidak dikenali dalam kalangan orang Arab sebelumnya.

Abdul Muttalib ditanya kenapa nama itu yang dipilihnya sedangkan ia bukan daripada nama datuk- datuknya dan bukan juga nama kaum kerabatnya? Beliau menjawab: “Sesungguhnya aku berharap dia akan dipuji oleh seluruh ahli bumi!”

Terdapat riwayat mengatakan bahawa Abdul Muttalib telah bermimpi melihat rantai perak keluar daripada belakangnya, satu daripada hujung rantai itu di langit, satu lagi di bumi, satu di timur dan satu lagi di barat. Kemudian rantai itu membentuk seperti sebatang pokok. Di atas setiap helai daunnya ada cahaya. Tiba-tiba seluruh ahli bumi di timur dan barat seolah-seolah bergantung kepada daun-daun itu lalu memetiknya.

Mimpi itu ditakbirkan bahawa akan lahir daripada keturunannya seorang yang akan diikuti oleh penduduk timur dan barat dan dipuji oleh penduduk langit dan bumi. Maka dia menamakannya Muhammad. Ini bersesuaian dengan mimpi Aminah ketika beliau sedang hamil.

Menurut Ibn Hisyam, terdapat tiga orang daripada kalangan bangsa Arab yang diberi nama Muhammad sebelum baginda sallallahu alaihi wasallam Mereka adalah Muhammad bin Sufyan bin Mujasyik, Muhammad bin Uhaihah bin al-Jallah dan Muhammad bin Humran bin Rabi’ah. Bapa kepada ketiga-tiga Muhammad tersebut telah mengunjungi beberapa orang raja yang memiliki kitab-kitab samawi yang terdahulu. Mereka mendapat tahu tentang kelahiran nabi terakhir yang bernama Muhammad. Kebetulan sebelum berangkat, masing-masing meninggalkan isteri yang sedang hamil. Maka setiap orang bernazar sekiranya isteri mereka melahirkan anak lelaki, akan diberikan nama Muhammad kerana mengharapkan anak mereka menjadi nabi yang disebutkan itu.

Muhammad adalah satu nama yang diambil daripada sifat yang membawa maksud orang yang dipuji berulang kali atau yang menerima pujian demi pujian.

Dalam al-Quran surah as-Saff ayat 6, Allah berfirman maksudnya:

“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad.”

Jadi Ahmad juga adalah nama baginda sallallahu alaihi wasallam yang dikenali dalam kalangan pengikut Nabi Musa dan Isa ‘alaihimas-salam. Ahmad bermaksud orang paling banyak memuji Tuhannya.

Maka kedua-dua nama yang indah itu sangat menepati dirinya yang mulia. Dia dikenali sebagai orang yang paling banyak memuji Tuhannya kerana anugerah-Nya yang tidak terhingga, dan dia dipuji berulang kali oleh manusia di atas muka bumi ini kerana hidayah yang disampaikannya kepada mereka. Dia juga dipuji oleh makhluk di akhirat nanti kerana syafaatnya. Lantaran itu pada hari kiamat nanti dia diberikan bendera al-hamd (pujian). Dia sujud di bawah ‘Arasy sambil memuji Tuhannya dengan pujian yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain sebelumnya. Justeru selayaknya khatam al-anbiaa’ ini membawa nama yang mengandungi makna pujian.

Last Updated ( Jumaat, 26 Februari 2010 18:55 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor