Malaysia Harmoni

Friday
Sep 03rd
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

KARISMA promosikan 1Ummah

a

BUKIT DAMANSARA, 26 Disember - Mahasiswa perlu ditanam kefahaman tentang kepentingan penyatuan ummah agar perpecahan yang mendatangkan mudarat tidak berlaku. Atas dasar itu, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) bercita-cita mempromosikan 1Ummah yang berpegang kepada akidah yang satu. Hakikat ini terkandung dalam firman Allah dalam surah al-Anbiyaa' (21), ayat 92 yang bermaksud:

"Sesungguhnya (agama Tauhid) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku."

Presiden KARISMA, Abdullah Omar Muhamad Fuad, menyatakan hal tersebut dalam Ucapan Dasarnya sewaktu Perhimpunan KARISMA Nasional di dewan Masjid Umar Al-Khattab di sini malam semalam. Dengan tema 'Sedekad Mengukuh Tekad', beliau seterusnya berpesan:

"Usia KARISMA yang menjangkau 10 tahun sentiasa digerakkan oleh golongan pemuda yang dipilih oleh Allah. Ambillah peluang ini menjadi golongan pemuda yang terpilih untuk berusaha bersungguh-sungguh membangunkan ummah demi memartabatkan syariat. Teruslah memanfaatkan diri dengan nikmat kesihatan dan kekuatan tubuh badan, kecerdasan akal serta kelapangan waktu yang dikurniakan Allah."

KARISMA adalah sayap mahasiswa Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang ditubuhkan pada 2 Mei 1999.

Mengulas tema yang dipilih, Abdullah Omar menjelaskan bahawa menurut kamus, ‘mengukuh’ bermaksud tidak mudah berubah atau berganjak, manakala ‘tekad’ memberi erti kemahuan yang kuat untuk mencapai sesuatu atau azam yang bersungguh-sungguh.

Kenyataan visi KARISMA iaitu "Menjadi sebuah gerakan mahasiswa kontemporari yang menjana perubahan ke arah tertegaknya syariat Islam di Malaysia” memberi isyarat bahawa selama satu dekad mendatang, KARISMA akan terus berazam untuk membantu menegakkan syariah Islam di Malaysia. Visi ini selari dengan wawasan JIM iaitu membangun sebuah negara Malaysia yang melaksanakan sepenuhnya syariat Islam menjelang 2020.

aKARISMA juga meletakkan sasaran menggembleng tenaga mahasiswa ke arah merealisasikan satu impian yang dinamakan Fikrah Islam Dominan Di Alam Kampus (FIDAK) menjelang 2015.

"Membentuk fikrah bermaksud membentuk corak pemikiran. Apabila yang ingin dibawa itu pula adalah fikrah Islam, ia bermakna kita mencorakkan pemikiran warga kampus dengan pemikiran yang berlandaskan nilai dan prinsip Islam. Ia tidak bermakna kita memaksa semua warga kampus menjadi seorang Muslim, akan tetapi setiap warga kampus meyakini Islam mampu menyediakan penyelesaian kepada segala urusan kehidupan."

Bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berobjektif, fokus rancangan FIDAK dipecahkan kepada tiga bahagian.

Pertama, memberi penekanan kepada tarbiah pembangunan sumber manusia dan dana.

Kedua, memberi fokus kepada jaringan perhubungan dengan seluruh masyarakat kampus termasuk pensyarah, pegawai pentadbiran, pegawai keselamatan dan lain-lain, menjaga kebajikan mereka dan menujukan sasaran kepada individu yang berupaya membantu membawa atau menyokong usaha FIDAK.

Ketiga, memimpin pandangan umum dan pilihan raya kampus. KARISMA sepatutnya sudah bersedia ke hadapan memimpin pandangan umum di dalam dan di luar kampus. KARISMA dalam misinya mencapai FIDAK meletakkan pilihan raya kampus sebagai salah satu relung yang penting untuk mengetengahkan pemimpin mahasiswa yang jelas fikrahnya di kampus.

Namun, cabaran mahasiswa hari ini tentunya tidak sama dengan cabaran yang berlaku 10 atau 20 tahun yang lalu. Para pendakwah harus mendepani mahasiswa yang sibuk dengan arus dunia teknologi. Mereka juga harus sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran ini dengan embiasakan diri menggunakan pendekatan kontemporari berlandaskan syarak.

Menyentuh senario politik tanah air pula, bekas mahasiswa Universiti Teknologi Petronas, Tronoh ini berkata, dengan mandat yang telah diberikan oleh rakyat terhadap Pakatan Rakyat, KARISMA mengharapkan pakatan baru ini akan membuktikan mereka mampu melaksanakan agenda perubahan dalam negeri- negeri yang menjadi amanah kepada mereka.

"Kita mengharapkan juga kemelut politik di Perak akan segera selesai dengan baik," tambahnya.

KARISMA dilancarkan secara rasmi oleh Presiden JIM pertama iaitu Hj Saari Sungib (kini ADUN Hulu Kelang) di Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak, Selangor. Keterlibatan KARISMA yang begitu aktif dalam isu-isu nasional yang dilihat tidak berpihak kepada kerajaan telah mengakibatkan nama KARISMA dilabel sebagai salah satu pertubuhan mahasiswa yang haram walaupun perjuangannya adalah berasaskan prinsip yang jelas.

Usaha meningkatkan perhubungan dengan persatuan-persatuan mahasiswa lain menunjukkan petanda yang positif. KARISMA telah dijemput oleh persatuan-persatuan utama dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) iaitu GAMIS, DEMA dan PKPIM untuk menghadiri perhimpunan agung mereka dan ini merupakan suatu perkembangan yang dirasakan sangat baik.

KARISMA pada tahun ini juga telah kembali aktif menyokong usaha Gerakan Mansuh ISA (GMI) sebagai usaha melibatkan diri dalam isu hak asasi manusia dan membela mangsa-mangsa yang dizalimi. KARISMA juga telah bersama COMPLETE, PACE dan wakil-wakil NGO dan badan mahasiswa lain dalam menyatakan bantahan terhadap rejim zionis Israel.

Namun sesuatu yang tidak diduga berlaku kira-kira dua bulan lalu.

"Pada 21 Oktober yang lepas, satu kejutan telah berlaku. Nama platform yang menjangkau 10 tahun ini telah diguna pakai oleh sebuah kelab lain di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini bahawa biarpun nama kita diambil orang, biarpun kita terpaksa menukar nama, saya yakin bahawa ahli sekalian tentu jelas dan faham bahawa kerja utama atau ‘core business’ kita tetap tidak akan berubah, iaitu menyeru dan mengajak manusia untuk kembali kepada Allah," tegas Abdullah Omar merujuk kepada Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (juga menggunakan akronim KARISMA) yang telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim pada malam 20 Oktober 2009 yang lalu.

10 tahun meniti usia matang, Presiden KARISMA tetap mengetuk hati ahli-ahlinya agar selalu bermuhasabah.

"Adakah dengan usia 10 tahun, kita berupaya memobilisasi ahli untuk turun melihat isu kebajikan masyarakat baik di dalam mahupun di luar kampus?

"Adakah selama ini kita lantang bersuara mempertahankan yang hak dan menentang yang zalim?

"Beranikah kita ke hadapan menyuarakan pandangan berdasarkan pembentukan fikrah yang kita lalui? "Sejauh manakah kita berkongsi tentang FIDAK agar masyarakat kampus juga meyakini dan menyokong usaha menyuburkan persekitaran bercirikan nilai Islam?"

Jawapannya ada pada ahli-ahli KARISMA sendiri.

Last Updated ( Ahad, 27 Disember 2009 01:40 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor