
KUALA LUMPUR, 18 Januari - Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Yahudi dan Nasrani memang telah menggunakan kalimah Allah, malah riwayat Ibnu Ishaq menyatakan ada orang Yahudi yang bernama Abdullah. Penggunaan kalimah Allah juga dapat dilihat dalam kesesatan Yahudi dan Nasrani itu sendiri, iaitu apabila orang Yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah, dan orang Nasrani pula mengatakan Isa adalah anak Allah, demikian pandangan bekas Profesor Madya Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya, Ustaz Alias Othman.
Menurut beliau, maksud ayat ke-30 dalam surah at-Taubah membuktikan perkara ini: "Orang-orang Yahudi berkata: 'Uzair itu putera Allah' dan orang-orang Nasrani berkata: 'Al-Masih itu putera Allah'. Demikianlah ucapan mereka dengan mulut mereka; mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Mereka dilaknati Allah; bagaimana mereka sampai berpaling?"
"Hukum asal orang-orang Yahudi dan Nasrani menggunakan kalimah Allah ini adalah harus. Penulisannya dalam kitab agama Nasrani dan Yahudi juga harus. Di dunia Arab, secara adatnya, pemakaian kalimah Allah dalam kitab kedua-dua agama ini tidak mendatangkan sebarang mudarat. Tiada konflik berlaku antara penganut Islam dengan penganut kedua-dua agama tersebut.
"Di Malaysia, hukum perkara ini juga harus, tetapi budaya di Malaysia menunjukkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian dan Yahudi akan membawa mudarat daripada beberapa aspek:
1. Penganut agama Islam di Malaysia menggunakan kalimah Allah untuk maksud Allah Yang Maha Esa sahaja, bukan untuk tuhan-tuhan lain.
2. Penggunaan kalimah Allah dalam apa-apa penulisan agama Kristian dan Yahudi akan membawa kepada konflik yang akan menjurus kepada pertelingkahan silang agama serta memudaratkan semua pihak, sedangkan kaedah fiqh menjelaskan bahawa sesuatu yang membawa kepada kemudaratan hendaklah dihapuskan," kata beliau.
Ustaz Alias berkata demikian dalam satu sesi forum kepada kira-kira 200 ahli Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) berhampiran ibu pejabat pertubuhan itu dekat sini baru-baru ini. Turut menjadi ahli panel ialah Presiden JIM, Zaid Kamaruddin.
Beliau seterusnya berhujah bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian di Malaysia akan mengelirukan generasi muda tentang konsep ketuhanan. Mereka akan beranggapan ketuhanan dalam Islam, Kristian dan Yahudi adalah sama. Kefahaman seperti ini akan memudaratkan akidah mereka. Selain itu, ia akan mendedahkan kalimah yang mulia ini kepada keadaan yang menghinakan.
"Kita harus mengakui bahawa tiada jaminan penganut Kristian dan Yahudi akan memelihara kalimah Allah daripada keadaan yang menghinakannya. Membiarkan kalimah Allah terdedah kepada kehinaan adalah haram. Kaedah menyatakan bahawa sesuatu yang membawa kepada yang haram adalah haram.
"Mungkin ada orang berpendapat membenarkan kalimah Allah dalam penulisan agama Kristian dan Yahudi akan menjana maslahat, bertujuan menjinak-jinakkan orang Kristian dan Yahudi kepada Islam. Namun, disebabkan ia akan membawa kemudaratan maka ia perlu dihalang. Tanpa menghalalkannya pun sudah ramai orang Islam Malaysia yang murtad, apalagi kalau tidak diharamkan? Kaedah menjelaskan lagi bahawa menolak bencana adalah lebih utama daripada menjana maslahat," jelas Ustaz Alias lagi.
Sementara itu, Zaid (gambar) berpendapat antara sebab timbulnya isu ini adalah kerana sistem yang diamalkan di negara ini.
"Golongan bukan Islam menggunakan ruang dan peluang yang ada dalam sistem untuk kepentingan agama mereka. Adakah ini salah? Tidak. Mereka menggunakan undang-undang, jadi kita juga mesti menanganinya melalui penyelesaian undang-undang (civil contract)," katanya.
"Isu ini isu sensitif. Ia menjadi cabaran kepada Islam dan umat Islam. Ia menyediakan peluang untuk kita menawarkan sistem kita iaitu Islam. Ia juga menuntut kita agar bersikap adil dan sentiasa berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan," tambahnya lagi.
Bagaimana sikap umat Islam dalam menghadapi kemelut ini? Menurut Ustaz Alias, orang Islam mesti faham secara ilmiah hukum syarak mengenai kalimah Allah, berfikir dengan waras, matang, bukan mengamuk atau terikut-ikut dengan golongan yang ada agenda tersendiri.
"Kenapa tiada orang menunjuk perasaan apabila Perlembagaan Negara tidak mendaulatkan hakimiah Allah yang lebih besar daripada kalimah Allah? Kenapa tiada yang berdemo apabila ada orang mencabar syariat dalam isu kebebasan memilih agama?" soalnya.
| < Prev | Next > |
|---|







