Malaysia Harmoni

Wednesday
Sep 08th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Kes Anwar ditangguh lagi

a

KUALA LUMPUR, 3 Februari - Prosiding perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang semalam ditangguhkan lagi ke pukul 2.30 petang hari ini, namun penangguhan lanjut ditolak.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membenarkan penangguhan sehari tersebut bagi membolehkan peguam Anwar bertemu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Mohd Sherif pagi ini bagi menetapkan satu tarikh untuk semakan rayuan keputusan Mahkamah Persekutuan. Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan bahan-bahan penting termasuk sampel spesimen DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan yang akan membantu peguam-peguamnya dalam hujah pembelaan.

aPagi semalam, peguam Anwar, Sakaran Nair bergegas ke pejabat Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi di Putrajaya untuk membincangkan tarikh semakan tersebut tetapi Tun Zaki tiada di pejabatnya. Beliau bagaimanapun mengeluarkan arahan kepada Tan Sri Alaudin untuk satu pertemuan dengan pihak pembela hari ini.

Sakaran dalam satu kenyataannya berkata, “Kami perlu memfailkan permohonan semakan semula kerana tanpa dokumen-dokumen tersebut, tangan kami terikat dalam membuat persiapan menghadapi kes ini.”

Anwar pula berhujah bahawa beliau tidak diberi keadilan oleh Mahkamah Persekutuan yang didakwanya tidak memberi pertimbangan secukupnya terhadap rayuannya itu. Dokumen dan bahan-bahan tersebut, menurut Anwar, amat penting untuk pihaknya menyediakan pembelaan.

Sebaik sahaja Anwar keluar dari lif di lobi Kompleks Mahkamah, para wartawan mengerumuninya membuatkan pergerakan beliau untuk ke kereta terhenti beberapa kali. Kes beliau, yang disifatkan oleh penyokong Pakatan Rakyat sebagai gelombang fitnah kedua selepas koinspirasi 1998 dahulu, mendapat liputan luas media termasuk dari luar negara.

aPara penyokong Anwar yang dilihat lebih ramai pada sebelah petang melaungkan kata-kata keramat 'Reformasi', 'Hidup Anwar' dan bertakbir dengan penuh semangat. Tokoh muda PKR, Badrul Hisham Shaharin atau 'Cikgu Bad' mengetuai laungan semangat tersebut sambil membuat ucapan ringkas.

Sementara itu, anak sulung Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah berkata, penyerahan dokumen adalah wajib di bawah prosedur Kanun Keseksaan, tetapi pihak pendakwa hanya menghantar sebahagian dokumen saja. Walaupun pihak pembela telah menulis beberapa kali kepada pihak pendakwa supaya menyerahkan kesemua dokumen yang perlu, namun mereka enggan berbuat demikian.

Oleh hal yang demikian, katanya, adalah amat wajar Anwar menggunakan saluran mahkamah untuk mendapatkan dokumen tersebut sebelum perbicaraan penuh dimulakan. Beliau berasa sungguh kesal kerana dalam usaha mendapatkan keadilan ini, Anwar pula dituduh cuba untuk melengah-lengahkan kes.

Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu dituduh meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008 mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Last Updated ( Rabu, 03 Februari 2010 23:17 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor