Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Semangat harimau warnai Tahun Baharu Cina

a

KUALA LUMPUR, 14 Februari - Jutaan warga Malaysia menyambut Tahun Baharu Cina hari ini dengan semangat menjadikan hidup masing-masing lebih baik dan bermakna. Tahun ini yang bersamaan dengan Tahun Harimau mengikut kalendar Cina diharap akan menyuntik keberanian dan ketangkasan pahlawan rimba itu dalam kehidupan sebenar manusia.

aPara pemimpin baik daripada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat mengambil kesempatan sempena hari bahagia masyarakat kedua terbesar di Malaysia ini dengan meraikan dan mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai' kepada mereka.

Di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri majlis Rumah Terbuka di Wisma MCA di sini berkata, harimau adalah simbol kepada ciri-ciri seperti keberanian yang boleh dianggap sebagai antara cerminan imej Malaysia.

"Saya berharap ciri-ciri seperti keberanian dan kesungguhan dianggap sebagai cerminan pada imej Malaysia juga. Jadi semangat 1Malaysian Harimau ini akan menjadi asas untuk kita meneruskan usaha memupuk perpaduan nasional dan untuk terus memajukan negara Malaysia," katanya.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuan Guru Dato Hj Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan pula berkata, PAS percaya bahawa masyarakat Tionghoa di Malaysia akan terus- menerus mempunyai keazaman dan semangat baru ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

a"Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara," katanya.

PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Malaysia adalah semestinya berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 50 tahun ini.

"Semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik daripada yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya."

aSementara itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tahun Baharu Cina kali ini melambangkan keberanian, kejujuran, ketangkasan, sedia bersaing dan siaga mempertahankan maruah. Kebiasaannya masyarakat Cina akan mengambil pedoman daripada kitaran tahun-tahun tersebut untuk mencipta dan merencana masa depan yang lebih cemerlang. Namun bagi semua rakyat Malaysia ciri-ciri baik seperti berani, jujur, bersedia untuk bersaing dan berani mempertahankan maruah ternyata bukanlah asing bagi kita yang mempunyai asas kepercayaan dan tradisi masing-masing.

"Kita semua mahukan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita berhasrat Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, bebas daripada rasuah dan jenayah. Yakinilah, kita rakyat pasti dapat mengharungi segala rintangan demi mengembalikan Malaysia kepada maksud asal penubuhannya. Harapan kita agar negara ini adil serta saksama menjamin hak semua rakyatnya tanpa mengira kepercayaan dan ras.

"Dengan kesempatan ini izinkan saya mengucapkan Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tionghoa," kata Anwar dalam satu perutusannya.

* Malaysia Harmoni turut mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh rakyat Malaysia berbangsa Cina. Mudah-mudahan kehidupan kita semua disinari cahaya dan petunjuk bagi memudahkan kita melahirkan Malaysia yang lebih aman, ceria, sihat, harmoni lagi diberkati.

Last Updated ( Isnin, 15 Februari 2010 14:42 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor