Malaysia Harmoni

Friday
Mar 12th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Mampukah PAS raih emas kelapan?

calon

Pusat pengundian baru sahaja dibuka. Pelbagai telahan dibuat oleh penyokong mahupun dari jawatan tertinggi kedua-dua parti yang bertanding antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Apa yang pasti, kemeriahan perang poster juga kata-kata menghiasi sepanjang pantai Port Dickson sejak hari penamaan calon 3 Oktober lalu.

Pilihan raya kecil kali kesembilan selepas pilihan raya umum ke-12 lalu menjadi medan seterusnya untuk Pakatan Rakyat (PR) meneruskan azamnya menuju ke Putrajaya. Daripada lapan pilihan raya kecil yang telah dijalankan sebelum ini, tujuh daripadanya berpihak kepada PR. Dari situ dapat dilihat bahawa rakyat inginkan perubahan berlaku kepada negara Malaysia, bak kata orang PR, setelah sekian lama negara kita diperintah oleh BN-UMNO dengan berencam penindasan apalagi kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat.

Perkara itu telah lama dipendam dan dalam diam oleh rakyat yang setia walaupun dalam lingkungan masing-masing mereka banyak juga bercakap mengenainya. Justeru, melalui pilihan rayalah mereka melaungkan segala yang ‘terdiam bisu’ dalam diri mereka itu.

Lain pula provokasi yang dilontarkan puak UMNO-BN dalam PRK kali ini. Mereka mengatakan rakyat harus menolak PAS kerana tiada pembangunan. Betulkah sedemikian? Butakah mata mereka? Lihat negeri yang lama diperintah oleh PAS, yang diterajui oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Haji Nik Mat, tiada bezanya dengan negeri yang diperintah oleh UMNO-BN, malahan lebih indah dan senantiasa ramai menerima pengunjung sama ada daripada kalangan rakyat Malaysia sendiri mahupun rakyat negara lain. Ini jelas membuktikan kepesatan pembangunan pencakar langit bukanlah menjadi ‘kegilaan’ jelata. Rakyat hanya inginkan keadaan yang tidak berpura-pura apalagi palsu sebagaimana setiap kali pengumuman pilihan raya dipalu, maka waktu itulah UMNO-BN menyerlahkan muka dua mereka.

Apa yang memeranjatkan dalam kenyataan calon BN itu ialah beliau mengatakan bahawa politik wang bukanlah rasuah. Sudah tentu yang akan mengatakan sedemikian adalah orang yang terpalit atau pernah terbabit dengan politik wang. Mungkin pada pandangan dan amalan pelaku politik wang ia bermakna 'sedekah'. Kamus Dewan mendefinisikan sedekah sebagai kenduri, sumbangan, derma, bantuan, fitrah, hadiah atau kebajikan. Sungguh jauh panggang dari api politik wang dengan kata yang baik tersebut.

Selain itu, pada saat-saat genting dan kritikal itu dapat dilihat pelbagai talian hayat digunakan oleh pihak BN untuk ’memenangkan’ parti mereka. Mampukah pawang itu memainkan wayangnya agar BN berjaya mencapai kemenangan dalam PRK yang kesembilan ini?

Di pihak PR, matlamat kemenangan itu adalah simbolik kepada mereka atas kejayaan merangkul tujuh emas dalam setiap kali acara. Namun ahli-ahli PAS, pendukung dan peyokong mereka sering kali diberi peringatan agar tidak lalai dan lupa atas `nikmat ujian` yang Allah berikan seketika cuma ini. Dan sesungguhnya dengan kuasa dan bantuan Allah, kebanyakan mereka meyakini PRK kali ini akan lebih berpihak kepada PAS walaupun terdapat segelintir daripada mereka tidak menanamkan tanggapan begitu memandangkan Bagan Pinang adalah kubu kuat BN.

Selain itu, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, keADILan dan juga DAP, mempunya strategi tersendiri memenangi hati rakyat yang mengundi yang tidak didedahkan bagi memastikan kelancaran strategi tersebut.

Pilihan raya kali kesembilan selepas pilihan raya umum lalu, menggambarkan perubahan besar dalam gejolak ’siasah’ tanah air. Uniknya PRK yang menemukan wakil BN, Tan Sri Isa Samad dan wakil PAS, Zulkefly Mohamad Omar ini banyak bergandingan dengan angka sembilan:

1. PRK ke-9

2. Berlakunya di N-9 (Negeri Sembilan)

3. Kekosongannya dalam bulan 9

4. Bulan Ramadan, bulan ke- 9 tahun hijrah

5 . Pada tahun 2009

6. NS ada 9 Luak

7. Bagan Pinang ada 9 UPU (termasuk 1 peti undi Pos)

8. Tan Sri Isa Samad – Menteri Besar NS yang ke-9

9. Tan Sri Isa Samad lahir tahun 1949

Betapa menjelang hari mengundi seperti menantikan kelahiran seorang ibu yang mengandung membawa budak ke sana ke mari selama sembilan bulan sepuluh hari. Namun apa yang dinanti ini tidaklah selama itu. Tempoh berkempen selepas penamaan calon bakal melabuhkan tirainya. Belum sempat tirai itu dikatupkan, telah banyak poster-poster calon PAS `dikosongkan` terutama yang jelas di jalan susur simpang masuk ke sebelah kanan (dari tol Seremban–Port Dickson) Jalan Telok Kemang sebelum Kem Tentera. Yang tampak hanya poster calon BN dan tali yang masih terikat di pohon pokok yang pada awal pagi tadi masih tergantung poster calon di situ. Siapa punya angkara, sedangkan poster-poster BN masih seperti biasa?

Perang saraf pada saat-saat akhir ini, menampakkan sokongan yang positif terhadap calon PAS dalam kalangan masyarakat yang didekati. Penjelajahan yang dilakukan dari satu kawasan ke kawasan lain untuk meraih sokongan, dengan disertai para pimpinan tertinggi PAS dan kalangan NGO seperti GMI itu, sangat disenangi para pengundi di kawasan tersebut.

11 Oktober penentu bagi segala usaha yang dilakukan. Hanya yang mampu ditambah pada saat genting ini adalah memperbanyak doa dan tidak putus-putus berharap pada Yang Maha Esa, kerana itulah perisai utama bagi seorang Muslim. Telus atau tidak pihak yang bertanding satu lawan satu itu, sama ada bersih, jujur dan amanah, akan dapat kita saksikan apabila pentas pemilihan dibuka dan berlangsung hingga tamat waktunya menjelang pengiraan undi.

 

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor

Banner
Banner
Banner
Banner
Banner