“Tiga perkara yang barang siapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperoleh kemanisan iman, (iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api.”
Hadis di atas adalah sebuah hadis yang masyhur, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang seharusnya menggugah kita. Ia mempunyai makna agung yang menjadi landasan keimanan kita, tentang makna kecintaan kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., kecintaan satu sama lain antara kita, dan keteguhan kita yang sangat kuat untuk tetap di atas jalan keimanan.
Tahap paling utama yang harus tertancap dalam hati kita adalah cinta kepada Allah; kecintaan yang menjadi salah satu unsur tujuan keberadaan kita di muka bumi, iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Pengabdian atau ubudiyah kepada Allah tidak mungkin ada sehingga kita memiliki dua sifat yang saling melengkapi, iaitu sifat adz-dzill atau rendah, hina, kerdil di hadapan Allah dan sifat mahabbah atau cinta kepada-Nya. Itulah yang pernah dinukilkan oleh Imam Ibnu Taimiyah r.a. ketika menjelaskan maksud ibadah,
"Ibadah yang diperintahkan Allah s.w.t. mengandungi makna dzill dan makna mahabbah. Yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. adalah kemuncak sikap dzill dan mahabbah kepadaNya."
(Kitab Al-Ubudiyah, Ibnu Taimiyah)
Lantaran itu Rasulullah menjelaskan dalam hadis di atas, bahawa manisnya iman itu tidak mungkin dirasakan kecuali dengan mencintai Allah dan Rasul-Nya. Itulah asasnya. Huraian Rasulullah yang lanjut dalam hadis ini semuanya kembali kepada kecintaan kepada Allah s.w.t., sebagai landasannya. Cinta kepada Rasulullah adalah buah daripada cinta pada Allah. Mencintai saudara seiman adalah buah daripada cinta pada Allah. Kekuatan kita berpegang teguh pada petunjuk Allah, bertunjang daripada landasan kecintaan pada Allah.
Kecintaan pada seseorang kerana Allah juga berdiri di atas prinsip kedekatan kita kepada Allah. Kedekatan Allah terpancar daripada sikap menyerah dan tunduk kepada-Nya. Ertinya, semakin dekat dan tunduk kepada Allah, semakin memancarlah kecintaannya pada Muslim yang lain.
Kalau kita telusuri apa yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar r.a., mengutip apa yang dikatakan Al-Baidawi,
"Ketiga-tiga hal dalam hadis itu adalah simbol dan tanda yang jelas bagi sempurnanya keimanan seseorang. Sebabnya, apabila seorang Muslim merenungi bahawa yang memberi nikmat hanyalah Allah, bahawa tidak ada yang Maha Mengizinkan dan Melarang selain Allah, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah nabi yang diutus menjelaskan kehendak Allah, maka buah daripada itu semua adalah seorang itu tidak akan lari untuk mencintai yang lain kecuali dicintai Allah. Dia tidak mencintai sesuatu melainkan kerana Allah. Dia juga harus yakin sepenuh hati apa yang dijanjikan Allah. Dia menganggap majlis-majlis zikir itu taman-taman syurga. Dia lalu menganggap kembali kepada kekufuran seperti menjerumuskan diri ke dalam neraka."
(Disarikan daripada kitab Fathul Bari Syarh Sahih Bukhari)
Lalu, yang dimaksudkan dengan "halawatul iman" dalam hadis ini adalah suasana kenikmatan, ketenangan, lapang, kesejukan jiwa yang muncul dalam diri seorang mukmin ketika dia mendakap hal-hal sedemikian.
Perhatikanlah lebih dalam falsafah daripada kata "halawatul iman" itu. Rasa manis, enak dan lazat itu biasanya dikecap oleh lidah daripada sesuatu yang lahir atau nyata, sedangkan dalam hadis ini disebutkan untuk menggambarkan suasana hati dan jiwa kaum beriman terhadap sesuatu yang bersifat batin, tidak nyata. Bayangkanlah betapa dalamnya makna halawatul iman dalam hadis ini.
Dengan latar belakang makna cinta seperti itulah, doa Rabitah menyebutkan, "hati-hati kami berhimpun dalam cinta kepada-Mu". Itu kerana kecintaan kita kepada Allah, berbanding lurus dengan perhimpunan kita dalam jalan ini, sesama saudara dalam keimanan. Selanjutnya, ungkapan "hati-hati kami berpadu dalam ketaatan kepada-Mu," bererti ketaatan kepada Allahlah yang menyebabkan semakin terikat kuatnya perpaduan hati-hati kita. Atau dengan kata lain, jika jauh dengan Allah, maka ikatan itu akan terlerai. "hati-hati kami bersatu dalam menyeru-Mu" bererti perpaduan hati kami ini juga telah terjadi kerana kami mengajak dan berdakwah untuk kembali kepada-Mu. Berdakwah menjadi syarat yang penting diperhitungkan dalam peranannya mempersatukan kita umat Islam. Amaliyah dakwah yang banyak akan semakin mempersatukan hati dan jiwa. Berkurangnya amaliyah dakwah bererti potensi tautan hati dan jiwa akan menjadi semakin besar. Kemudian, "hati-hati kami saling berjanji untuk menolong syariat-Mu", adalah komitmen yang sangat penting untuk menjalin kebersamaan hati dalam saling mencintai, dalam ketaatan, dalam doa dan dalam janji setia demi tegaknya syariat Allah.
Benang merah seluruh teks dalam doa Rabitah ini adalah permohonan dan pinta yang merujuk kepada al-quluub, atau hati-hati mereka yang membacanya. Dengan kata lain, seluruh permintaan yang ada dalam doa Rabitah selanjutnya adalah rangkaian permintaan kepada Allah untuk membina hati-hati para pejuang dakwah, memberi bekal bagi hati para pejuang dakwah, dan meletakkan hati mereka dalam keredhaan Allah, hingga titik akhir kehidupan ini.
Secara tidak langsung, lafaz-lafaz itu menegaskan bahawa raabitatul qulub atau ikatan hati, jalinan jiwa, hubungan batin antara para pejuang dakwah merupakan syarat dan dasar utama yang sangat penting bagi berlangsungnya sebuah misi dakwah itu sendiri. Tanpa itu, dakwah mungkin saja berjalan, tapi akan direntangi fitnah, banyak dicemari konflik, mudah dikotori oleh perasaan mazmumah yang akhirnya menyulitkan tujuan dakwah itu sendiri.
Semoga Allah mempermudah urusan orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya. Allah mendatangkan jalan keluar urusan orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya, dari arah yang tidak diduga-duga. Sebelum melangkah lebih jauh, mari tumbuhkan cinta dan kasih sayang sesama kita, sesama kaum muslimin seluruhnya.
| < Prev | Next > |
|---|







