Malaysia Harmoni

Friday
Mar 12th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Hentian Sebelah Bukit Gantang ‘cool’ dan selesa

#

Cuti sekolah datang lagi... Saat ini, antara aktiviti berkeluarga paling popular yang sering dinantikan anak-anak adalah melancong. Sama ada ia bermakna balik kampung menziarahi atuk dan opah, berkelah di pantai atau mendaki tanah tinggi, yang pastinya ia aktiviti menyeronokkan dan melibatkan perjalanan... yang sudah pasti juga meletihkan.

Bagi anda yang secara kebetulan berjalan-jalan menghala ke utara, melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan melewati pula perjalanan Ipoh-Taiping, tidak rugi rasanya kalau membelok sebentar ke Hentian Sebelah Bukit Gantang untuk menyegarkan kembali tangan, kaki dan seluruh minda yang telah penat memandu. Anak-anak yang sepanjang waktu perjalanan asyik tidur juga boleh keluar sebentar untuk ke tandas, minum-minum dan melakukan sedikit regangan.

#

Hentian Sebelah Bukit Gantang arah utara tampak sungguh nyaman, selesa dan ‘cool’. Keadaan ini mungkin lebih benar jika persinggahan itu dilakukan pada waktu larut malam, atau lebih tepat lagi awal pagi. Sekitar jam 2 hingga 3 pagi, jumlah kenderaan yang berhenti bukan semakin berkurangan, bahkan bertambah banyak. Yang lebih ketara adalah kelibat lori-lori besar dan bas ekspres. Sudah tentu para pemandu dan penumpangnya mengharungi perjalanan yang sangat jauh dan memenatkan. Memang patutlah mereka berhenti berehat sebentar sambil menghirup kesegaran udara malam.

Suasana di hentian ini kelihatan jauh berbeza dengan sewaktu ia dibina oleh pengendali lebuh raya, PLUS kira-kira lapan tahun dahulu. Waktu itu, penjaja hanya menggunakan motosikal roda tiga berpayung sendiri atau lori yang telah diubahsuai. Namun menjelang 2005, kawasan rehat ini mengalami perubahan mendadak. Ia dinaiktaraf menjadi sebuah tempat yang menarik dan menyegarkan. Kawasan ini tidaklah sebesar Hentian Rehat & Rawat (R&R) Tapah, namun landskapnya anggun dan pencahayaannya pada waktu malam menyejukkan mata memandang. Lebih sejuk lagi apabila tempat-tempat duduk seumpama di wakaf-wakaf disulami aneka tumbuhan dan pancutan air yang lembut gemalai.

#

Seorang pengusaha gerai, Hamizah (Amy) memberitahu, kawasan ini memang menjadi tumpuan pengguna lebuh raya khususnya pada hari-hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Pada hari-hari biasa, pengunjung tidaklah begitu ramai.Tapi menjelang hujung minggu, kawasan ini menjadi agak sibuk. Gerai kami dibuka 24 jam, tetapi dengan jumlah pekerja seramai lima orang, kami dapat mengatur giliran bekerja,” jelas Amy,32.

Beliau yang mengusahakan gerai tersebut bersama kakaknya, Hadiyana menjual buah-buahan, kacang rebus, jagung corn-in-cup dan lain-lain. Menurutnya lagi, antara daya tarikan di kawasan rehat ini adalah pesta ‘Jom Makan Durian’ yang diadakan pada akhir bulan Ogos setiap tahun.

“Alhamdulillah, jualan di sini memuaskan serta dapat menampung sewa dan gaji pekerja. Terdapat 11 gerai buah-buahan, dua gerai makanan dan dua gerai minuman di sini. Mudah-mudahan dengan perancangan PLUS untuk menambah sebuah lagi stesen minyak selain sebuah yang sedia ada sekarang, ditambah dengan beberapa buah kedai lagi, jumlah pengunjung akan berganda,” tambahnya.

Kemudahan asas lain seperti tandas dan surau agak memuaskan dan mencukupi buat masa ini. Namun jika benar PLUS ingin melihat Hentian Sebelah Bukit Gantang ini berada di kelasnya yang tersendiri, dua kemudahan ini harus diberi perhatian serius untuk dipertingkatkan lagi kualitinya. Kebersihan dan kedudukan kedua-duanya harus ‘mesra pengguna’. Apa yang sering diperhatikan, apabila sebuah hentian rehat itu diperbesar, lokasi tandas dan suraunya menjadi terlalu jauh ke belakang, menimbulkan kesukaran kepada pengunjung khususnya orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

 

 

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor

Banner
Banner
Banner
Banner
Banner