Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

4 juta layak mengundi tetapi belum mendaftar

a

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Terengganu amat perihatin dengan jumlah rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pemilih atau pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Menurut satu kenyataan SPR yang dikeluarkan oleh Bernama, kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berumur 21 tahun ke atas dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka adalah Bumiputera. Jumlah ini adalah besar mengambil kira jumlah pengundi terkini seramai 11.08 juta berbanding dengan mereka yang berusia 21 tahun ke atas berjumlah 15.47 juta.

aJIM Negeri Terengganu juga mengalu-alukan saranan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Hj Wan Ahmad Wan Omar agar pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan belia serta mana-mana pihak agar bekerjasama dengan SPR untuk mengadakan kaunter khas SPR di setiap penganjuran majlis yang melibatkan penyertaan yang ramai.

Sehubungan dengan ini juga, JIM Negeri Terengganu menggesa agar:

1. SPR dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi terus berusaha meningkatkan lagi kesedaran pemilih bermula di peringkat persekolahan menengah dan awal universiti lagi. Di samping itu SPR juga perlu meningkatkan lagi usaha-usaha pendidikan pemilih atau voter’s education bagi memastikan penglibatan rakyat di dalam proses demokrasi terus berkembang.

2. Rakyat negeri Terengganu yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar segera berbuat demikian demi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang perihatin dengan masa depan negara.

3. Badan-badan gabungan NGO seperti Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Negeri Terengganu mengambil inisiatif dalam bersama meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat tentang tanggungjawab ini.

JIM Negeri Terengganu juga ingin menyarankan agar:

a1. Pihak kerajaan mengkaji dan menimbang agar pendaftaran pemilih adalah secara automatik bagi mereka yang telah mencapai usia kelayakan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara demokrasi Barat yang lain. Menerusi kaedah ini, kerajaan juga dapat mengurangkan kos pengurusan SPR dan perbelanjaan boleh dialihkan kepada menjamin proses pemilihan yang adil dan telus.

2. Pihak kerajaan mengkaji dan menimbang agar had usia kelayakan untuk menjadi pemilih diturunkan dari umur 21 tahun ke 18 tahun. Dengan cara ini pendaftaran pemilih boleh dilakukan dengan lebih berkesan dan mampu mengurangkan jumlah mereka yang tidak mendaftar dengan sebahagian besar pemilih boleh didaftarkan selepas selesai sesi persekolahan tingkatan lima.

3. Pihak kerajaan menerusi SPR meningkatkan lagi tahap keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan kredibiliti sistem dan proses pilihan raya di negara ini terutama dalam menangani isu pengundi hantu, penggunaan dakwat dan persempadanan kawasan.

(Kenyataan media JIM Negeri Terengganu. Zameran Jusoh (gambar) adalah Yang Dipertua JIM Negeri Terengganu.)

Last Updated ( Jumaat, 22 Januari 2010 00:20 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor