Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Jadikan tragedi Ambon sebagai pengajaran

a

Puncanya mudah saja. Hampir 11 tahun lalu, atau lebih tepatnya pada 19 Januari 1999, seorang lelaki yang sedang menunggang basikal, telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas. Penunggang basikal itu cedera akibat dari kemalangan tersebut. Bagaimanapun, berita tentang kemalangan tadi begitu cepat merebak kerana kebetulan penunggang basikal itu seorang Muslim, manakala pemandu bas pula seorang Kristian.

Berita itu kemudiannya disebarkan bersama fitnah, adu domba serta dendam kesumat, hingga ke seluruh pulau di Maluku. Akibatnya, mulai hari berlakunya kemalangan tadi, Ambon kemudiannya bermandi darah. Dan pada Februari 2002 – iaitu empat tahun kemudian - apabila perdamaian secara rasmi dimeterai oleh kerajaan Indonesia dan pihak-pihak yang bertelagah, dilaporkan lebih 5,000 nyawa terkorban, puluhan ribu cedera manakala 750,000 orang lagi lari meninggalkan ibu kota kepulauan Maluku itu.

Selain itu, beratus-ratus rumah ibadat, terutamanya masjid dan gereja dimusnahkan dan dibakar. Antaranya, termasuklah yang dibakar bersama-sama penduduk yang berlindung di dalamnya! Carilah fakta-fakta tentang tragedi ini, anda akan menemui pelbagai kejadian mengerikan. Penulis tidak mahu mencatatkannya kerana bukan tujuan tulisan ini untuk membangkitkan kemarahan mana-mana pihak.

Tetapi mengapa Ambon yang dibicarakan?

Begini, al-Quran diturunkan untuk kita mengambil pengajaran. Di dalamnya terkandung cerita-cerita bermula dari Nabi Adam hingga kepada khatamul anbia, junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam. Tidak diturunkan cerita-cerita itu kecuali untuk kita jadikan pengajaran, bukan? Sejarah juga begitu. Ia ibarat guru yang mengajar kisah-kisah zaman lampau untuk menjadi panduan serta pengajaran kepada kita bagi menghadapi masa hadapan.

11 tahun adalah tempoh yang belum lama sebenarnya. Ingatan kita terhadap tragedi Ambon juga masih segar lagi. Malah, tidak sukar untuk kita ingati latar belakangnya. Jadi, bukankah elok kalau tragedi Ambon ini dijadikan pengajaran?

Kini, ada pergolakan agama yang sedang kita depani. Seperti mana di Ambon 11 tahun lalu, punca krisis itu hampir sama; pertikaian antara Muslim dan Kristian. Syukurlah, setakat ini belum ada pertumpahan darah, tetapi awas, bibit-bibit kekerasan berlaku dan disemai oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Juga, memang benar rakyat Malaysia ini bijak, waras, tenang serta rasional, tetapi sekali lagi awas, jika tidak ditangani dengan bijak, cepat dan tegas, kita bimbang tragedi Ambon berulang di negara yang tercinta ini.

aApakah pengajaran yang boleh kita pelajari daripada tragedi Ambon? Banyak. Antaranya:

Pertama, golongan majoriti berasa dirinya terancam. Dianggarkan 80 peratus daripada 1.2 juta penduduk Kepulauan Maluku beragama Kristian. Ini terjadi hasil kempen pengkristianan yang dilakukan oleh penjajah Portugis, Sepanyol dan Belanda. Ambon pula merupakan pulau yang menjadi ibu kota kepada kepulauan Maluku. Letaknya tidak jauh dari Irian Jaya. Penduduknya kira-kira 200,000 orang, juga majoritinya beragama Kristian.

Tetapi dari semasa ke semasa, jumlah imigran Muslim ke pulau itu terus meningkat, khususnya dari kepulauan Jawa. Hinggakan, di sesetengah tempat, masyarakat Muslim menjadi majoriti. Maka perebutan ekonomi tercetus dan penduduk Kristian berasa tidak senang hati. Apabila tercetus konflik, golongan majoriti yang berasa terancam terus melepaskan kegundahan mereka itu.

Begitu jugalah keadaannya di Malaysia. Apabila masyarakat Muslim yang menjadi majoriti berasa kedudukannya terancam, atau diancam baik secara sengaja atau tidak sengaja, maka perasaan tegang dan curiga mula bangkit.

Jadi, awaslah. Jangan kita jadi seperti Ambon. Jadilah golongan majoriti yang tenang, waras, bijak serta bersifat pendamai. Islam adalah agama pendamai, yang menyatukan umat, mencintai keamanan serta mengajar kita supaya mengasihi manusia lain, seperti yang disabdakan oleh Nabi, ”Barang siapa yang tidak mengasihani terhadap makhluk-makhluk di bumi nescaya ia tidak akan dikasihani makhluk di langit.”

Jangan bersikap seperti golongan majoriti di Ambon. Islam tidak mengajar kita begitu.

Kedua, adanya campur tangan pihak luar. Dikatakan, majoriti pasukan keselamatan yang dihantar oleh kerajaan Indonesia ketika itu beragama Kristian. Manakala, pasukan tentera pula majoritinya beragama Islam. Akibatnya, kedua-dua pihak saling memberi ruang kepada penduduk dari agama tertentu melakukan kekerasan kepada penduduk yang berlainan agama. Itu dakwaan sesetengah pihak.

Dikatakan juga, konflik itu diapi-apikan oleh kumpulan-kumpulan militia dari luar untuk membantu penganut agama tertentu. Misalnya, Laskar Jihad dan Laskar Kristian. Biarpun masing-masing berusaha membantu dan mempertahankan penganut agama masing-masing, tetapi campur tangan itu dikatakan secara tidak langsung menyemarakkan lagi pertempuran tersebut. Ertinya, mereka bukan datang untuk mendamaikan, tetapi ada yang datang dengan tujuan untuk menyerang.

Dalam situasi kita di Malaysia ini, awaslah dengan campur tangan pihak-pihak tertentu yang emosional. Islam wajib dipertahankan, tetapi berhati-hatilah kerana banyak pihak yang begitu ghairah untuk menunjukkan kehandalan, menonjolkan diri serta menunjuk berani. Mereka inilah yang berpotensi untuk bersikap lebih sudu dari kuah. Mereka datang bukan membawa air, tetapi membawa minyak untuk dicurah ke atas api.

Begitu juga, tidak mustahil wujud sesetengah pihak dari luar yang memberikan sokongan kepada pihak tertentu agar terus mendesak dan menekan, kerana memang itulah tujuan mereka, iaitu melihat berlakunya ketidakstabilan politik, sosial serta ekonomi di negara ini. Malah, pihak ini juga memang sebenarnya mahukan agar kuasa politik Melayu dan Islam diruntuhkan.

Awas-awaslah kepada pihak yang membawa minyak ini. Ada di antara mereka yang berselindung dalam gelap.

Ketiga, wujudnya pendirian melampau. Ada pengkaji yang mengatakan, konflik ini menjadi teruk kerana wujudnya pendirian melampau dalam kalangan penduduk dan pihak luar yang datang membantu. Laskar Kristian misalnya disokong oleh pihak-pihak luar termasuk laman-laman web untuk mengutip dana bagi membantu penganut agama itu yang didakwa `telah dihukum mati’. Di pihak Muslim pula, dikatakan ia didorong oleh fahaman keras Wahabi yang dipegangi oleh golongan mudanya.

aDikatakan juga, di pihak Muslim, ramai pejuang Afghanistan turun membantu. Manakala di pihak Kristian, sangat mudah dilihat mubaligh-mubaligh dari Belanda di sana-sini. Fenomena ini menambahkan lagi ketegangan di kedua-dua pihak.

Tentu saja kita gembira apabila pejuang-pejuang Muslim turun membantu mempertahankan penduduk Muslim Ambon dan Kepulauan Maluku daripada menjadi mangsa kekerasan, kerana wajib bagi kita mempertahankan saudara seagama. Tetapi bukankah damai itu lebih baik daripada kekerasan? Sikap melampau tidak akan membantu, malah ia hanya akan menjadikan suasana bertambah buruk.

Maka bagi kita di sini, elakkanlah fahaman melampau ini yang telah ditunjukkan baik di Ambon mahupun di negara-negara lain. Simbahlah api dengan air, bukan dengan minyak.

Keempat, kegagalan pemimpin-pemimpin agama memainkan peranan. Di Indonesia, ketua-ketua agama ini memainkan peranan yang penting. Apabila masyarakat menghadapi masalah dan apabila masalah itu gagal ditangani oleh kerajaan serta pemimpin politik, rakyat Indonesia mengadu kepada ketua-ketua agama mereka.

Tetapi ini tidak berlaku di Ambon. Ketua-ketua agama dikatakan gagal memainkan peranan mereka, gagal menjalankan amanah dan bersikap pendamai serta pelindung, menyebabkan masyarakat berasa marah. Perasaan marah itu menjadi dendam, lalu mereka membakar rumah-rumah ibadat tertentu.

Di sinilah letak peri pentingnya peranan ketua-ketua agama di negara ini. Dalam keadaan tegang, ketua-ketua agama ini hendaklah bersifat mendamaikan. Bawalah penganut masing-masing ke arah ketenangan dan menghormati. Pertahankanlah agama, tetapi pertahankan juga keamanan yang kita kecapi selama ini.

Walaupun kita bersyukur ketegangan ini tidak lagi mencetuskan pertumpahan darah dan kekerasan, namun elok kalau diambil pengajaran daripada keamanan yang telah dinikmati di sebuah tempat di Ambon, yang bernama Wayame.

Semasa tragedi berdarah berlaku di seluruh kepulauan Maluku, ketua-ketua agama di Wayame telah membentuk sebuah majlis yang dianggotai oleh 10 orang imam dan 10 orang paderi. Majlis ini kemudiannya membentuk kesepakatan dan perpaduan yang kukuh, mengharamkan senjata serta menghukum atau membuang mana-mana anggota masyarakat yang melanggar hukum dan peraturan yang telah dibuat.

Jika penganut Islam yang melanggar peraturan itu, Imam akan menghukumnya. Begitulah sebaliknya. Langkah ini ternyata berhasil. Ketika kampung dan wilayah-wilayah berhampiran bermandi darah, Wayame kekal aman dan harmoni.

Demikianlah pentingnya peranan ketua-ketua agama. Begitulah juga harapan kita kepada ketua- ketua agama di Malaysia ini dalam keadaan yang agak tegang kini. Pertahankanlah Islam, tetapi pertahankanlah juga nikmat keamanan yang sedang kita kecapi ini. Sekali hilang, ia sukar untuk dimiliki semula.

Mungkin tulisan ini tidak menyenangkan hati sesetengah pihak. Tetapi tujuan artikel ini ditulis tidak lain dan tidak bukan, untuk kita mengambil pengajaran daripada sejarah. Sejarah boleh digunakan untuk mencegah sesuatu malapetaka daripada berlaku. Maka, ambillah tragedi berdarah Maluku dan Ambon ini sebagai sempadan, supaya kita dapat mencegahnya daripada berlaku di negara yang tercinta ini.

Last Updated ( Rabu, 17 Mac 2010 10:25 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor