
Kejadian membuang bayi, gadis Melayu bersekedudukan, pelajar Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) menjadi Escort Girl, remaja perempuan berkeliaran di pub menjual tubuh, si gadis menghisap dadah dan segala maksiat yang berlaku sekarang ini, mengingatkan penulis kepada pengalaman mengembara ke beberapa buah negara suatu ketika dahulu.
Pertama, Iran. Penulis mengunjungi negara itu pada awal 2001. Di Iran, hati penulis berasa sejuk apabila melihat gadis-gadisnya menutup aurat dengan jubah dan tudung. Baik di Teheran, Esfahan mahu pun Shiraz, pemandangannya hampir sama. Jubah dan jilbab hitam ibarat pakaian wajib.
Jika tidak, anak-anak gadis ini berjubah warna hijau, coklat atau biru, dengan belahan panjang di tepi, depan dan belakang. Ada yang labuh hingga ke buku lali, ada yang sehingga ke bawah lutut. Jubah ini dipasangkan dengan seluar yang longgar, dari warna yang sama.
Pun demikian, gadis-gadis Iran ini bijak berfesyen, menyebabkan wajah mereka yang cantik menjadi bertambah cantik. Jika tidak mengenakan jubah longgar di atas tadi, mereka akan mengenakan jubah yang lebih ketat (tetapi bukan macam sarung nangka) diperbuat daripada kain yang agak tebal, dan dipasangkan dengan seluar jean serta kasut sukan. Kepala mereka ditutup dengan sehelai tudung, sebahagiannya menampakkan jambul. Sangat menarik.
Pergaulan antara gadis dan peria amat jarang dilihat. Jika ada yang duduk berdua-duaan pun, mereka kelihatan begitu sopan. Sepanjang berada lebih seminggu di sana, penulis tidak melihat ada pasangan yang bercengkerama dan bergumpal seperti belut, seperti yang biasa dilihat di negara kita. Yang ada hanyalah duduk berbual sambil ketawa dalam keadaan yang langsung tidak mencurigakan.
Bagaimanapun, dalam pada hati menjadi sejuk, penulis terkejut apabila seorang kawan yang bernama Shahram Almasi memberitahu, jangan terperanjat, ada antara gadis-gadis bertudung serta berjubah ini adalah perempuan jalang! Dan jangan terkejut juga, perempuan-perempuan murahan ini ada yang disimpan oleh imam-imam yang berserban tebal!
Lebih terkejut lagi, Shahram memberitahu, mereka tidak suka dengan imam-imam. Sebahagian daripada imam-imam itu, dakwa Shahram, adalah hipokrit kerana menggunakan agama dan serban yang tebal demi kepentingan peribadi. Malah ada kawan perempuan Shahram yang terus terang mengatakan, dia benci pada Islam!
Pemandangan di Syria, yang penulis kunjungi pada 2004,lebih menyejukkan hati. Gadis-gadis di sini, terutama di Homs dan Hama, juga Damsyik, sangat bersopan. Jubah dan tudung adalah pakaian harian mereka. Wajah yang cantik, pipi yang merah dan raut muka yang jernih bertambah serinya dengan tutur kata mereka yang lembut.
Penulis tidak melihat langsung pasangan kekasih berjalan berpegang-pegangan, apatah lagi bergomol serta berasmara di tempat awam seperti yang biasa kita lihat di Malaysia.
Mohamad Latif, kawan penulis yang sudah tinggal di Syria selama tujuh tahun memberitahu, Syria adalah tanah para anbia dan ulama. Di situlah tempat bermakamnya para nabi, antaranya Nabi Zulkifli, Yahya, Ayub dan Zakaria, juga tempat para sahabat dan tabiin, seperti Ubaidullah bin Umar, Husin bin Ali, Muawiyah bin Abu Sufiyan, Umar Abdul Aziz dan sebagainya.
Di sinilah letaknya makam Habil, anak Nabi Adam yang dibunuh oleh saudaranya, Qabil, juga Imam Nawawi, Salahuddin Ayubi dan sebagainya. Oleh kerana itulah, akhlak gadis-gadis dan pria di Syria begitu sopan. Mereka adalah cucu-cicit nabi, sahabat, tabiin, zahidin (orang-orang yang zuhud) dan alim ulama.
Bukan saja tiada pemandangan pasangan kekasih berasmara, malah perbuatan mengurat juga tidak kelihatan langsung. Keadaannya menjadi demikian kerana, kata Mohammad, di Syria perbuatan mengurat dianggap kelakuan yang mengaibkan.
Memang benar kata Mohammad, sepanjang seminggu mengembara di Syria, penulis tidak melihat pemandangan remaja lelaki mengusik gadis. Pemandangan gadis mengusik remaja atau anak muda lelaki, lagi tidak ada.
Cuma penulis terkejut, sewaktu bersiar-siar di Damsyik pada suatu malam, kami diekori oleh seorang gadis montel berpakaian seksi. Gadis itu diiringi oleh seorang lelaki. Apabila ditanya, rupa-rupanya gadis ini adalah perempuan murahan. Gadis itu cuba menawarkan khidmatnya dengan sejumlah bayaran, di sebuah tempat yang ditentukannya.
Di Bosnia, yang penulis kunjungi pada awal 2005, gadis-gadisnya memang cantik. Ada yang berpakaian sopan dan bertudung seperti anak-anak gadis kita, manakala sebahagian lagi berpakaian moden dan berfesyen dengan aurat terdedah. Pemandangan di Sarajevo misalnya, seperti tiada beza dengan di Malaysia. Bandar itu kelihatan mundur, seperti Kuala Lumpur pada era 80-an, tetapi anak-anak gadisnya tetap mengikut peredaran zaman.
Begitulah juga halnya dengan kaum lelaki. Mereka juga berfesyen dengan jean, T-shirt, rambut disisir kemas dan trendy. Jangan lupa, Bosnia adalah bekas wilayah empayar Uthmaniah bermula pada tahun 1482, sebelum jatuh ke tangan tentera salibiyah barat satu abad kemudian. Mereka masih mengekalkan agama Islam, tetapi pengaruh Barat adalah sebahagian daripada kehidupan mereka, kerana mereka sememangnya orang Eropah.
Gejala maksiat yang sedang berlaku di Malaysia seterusnya mengingatkan penulis kepada kenangan sewaktu berkunjung ke Turki pada 2006. Istanbul lebih bercirikan Barat berbanding Timur. Bilangan yang bertudung jauh ketinggalan berbanding yang seksi.
Disko, pub dan pusat-pusat hiburan boleh dilihat di merata-rata tempat. Pacaran berpeluk-pelukan, meminum minuman keras dan bersiar-siaran hingga dinihari adalah perkara biasa.
Lantas penulis tanyakan hal ini kepada seorang tokoh ekonomi terkenal di Turki, Dr Nusret Arsel. Begini jawab Dr Nusret, “Jangan bimbang. Itu adalah naluri muda-mudi. Ketika muda, mereka memang berada di sebelah kiri. Apabila usia meningkat, mereka akan beransur-ansur beranjak ke sebelah kanan.”
Mungkin ada benarnya kata Dr Nusret itu. Sewaktu berkereta dari Galibolu ke Pamukkale, Canakkale, Troy, Cappadocia, Ankara dan Istanbul, sering penulis melihat warga-warga tua duduk memegang tasbih. Kemudian, mereka berjalan bersama-sama ke masjid dan surau berhampiran.
Jangan terperanjat, jumlah masjid dan surau di Turki sebenarnya jauh lebih banyak berbanding di Malaysia. Dalam sesebuah kawasan, jarak masjid atau suraunya hanya lebih kurang 100 meter sahaja. Ertinya, dalam satu kilometer persegi, mungkin terdapat tujuh atau lapan buah masjid.
Pemandangannya memang cantik kerana setiap masjid dan surau ini ditandai dengan sebuah menara, seperti jari telunjuk yang menuding ke langit. Pemandangan pada waktu malam lebih mengasyikkan kerana pada puncak menara itu terdapat kalimah Allah yang dinyalakan lampu.
Cuma jawapan Dr Nusret tadi mencetuskan satu soalan lain di kepala penulis secara spontan. Bagaimana kalau umur muda-mudi yang ‘hanyut’ itu tidak panjang, atau dengan kata lain, tidak sempat tua dan tidak sempat melangkah ke kanan (bertaubat)?
Mustaffa adalah salah seorang kawan penulis yang membawa kami bersiaran ke merata-rata tempat di Turki. Mustaffa ini kaki minum. Tetapi kata Mustaffa, kalau ada orang tua melihatnya minum minuman keras, terutama yang warak, habislah. Memang dia akan dimaki hamun.
Gejala maksiat yang sedang meracuni negara dan anak-anak muda Melayu/Islam kita dewasa ini juga membangkitkan kenangan penulis kepada kunjungan Shahram, kawan dari Iran tadi, ke Kuala Lumpur pada 2002. Lantas kami membawanya bersiar-siar pada waktu malam.
Shahram betul-betul terkejut. Dia tidak menyangka, di Kuala Lumpur - yang juga ibu negara Malaysia yang dibayangkannya begitu ‘Islam’ - terdapat bersepah pusat-pusat hiburan. Matanya terbuntang ketika memerhatikan anak-anak gadis Melayu yang berpakaian seksi berkepit dengan pasangan masing-masing, kemudian masuk ke pub dan meneguk arak.
Namun itu tidak dapat menandingi keterkejutannya apabila melihat pondan-pondan menjual tubuh di lorong gelap. Dia tidak menyangka semua itu adalah pemandangan biasa di Kuala Lumpur!
Fenomena hilang maruah dalam kalangan anak-anak gadis dan pria Melayu/Islam kita dewasa ini turut mengembalikan memori penulis kepada Suleyman, kawan dari Turki yang pernah mengiringi penulis melawat negaranya dulu. Suleyman adalah pegawai pemasaran sebuah agensi pelancongan Turki di Kuala Lumpur.
Penulis pernah bertanya kepada Suleyman tentang sikap muda-mudi Turki yang begitu kebaratan. Maksud penulis, ramai orang mengatakan Turki adalah negara sekular, lebih Barat dari Barat, sudah lupa pada asal-usul dan agama, terutamanya muda-mudi. Jadi, apa pandangan Suleyman?
Begini jawab Suleyman, “Zulkarnain… sudah dua tahun saya tinggal di Malaysia. Awak fikir saya tidak tahu apa yang ada di Kuala Lumpur? Apa awak fikir saya tidak tahu perangai muda-mudi Islam di negara awak?”
Sejak itu saya tidak berani lagi bertanya soalan yang sama kepada kawan-kawan yang saya kunjungi negara mereka. Soalan itu bagi saya akan menyebabkan air yang saya tepuk, terpercik ke muka semula.
Sekarang, jika diminta meletakkan kedudukan moral muda-mudi kita berbanding dengan muda-mudi di negara-negara tadi, di posisi manakah yang akan anda letak? Di atas sekali? Di tengah? Di bawah sekali selepas Turki?
Atau, lebih bawah daripada itu, kerana kita juga adalah juara rempit, dadah, bersekedudukan dengan bukan Islam, sumbang mahram, pornografi dan murtad, yang sebahagiannya tidak berlaku di negara-negara berkenaan?
Terus terang penulis katakan, melihat daripada gejala maksiat yang sedang melanda anak-anak muda kita, kemudian membandingkannya dengan anak-anak muda di negara-negara yang pernah dikunjungi tadi, penulis sebenarnya berasa malu.
Tetapi, itulah hikmahnya mengembara ke luar negara. Ia akan membuka mata dan fikiran, seterusnya dapat membantu kita menilai kekurangan dan kekuatan diri kita.
Anak-anak muda, khususnya yang berpendidikan tinggi, wajar sekali mencari peluang untuk mengembara melihat dunia luar. Kemudian, apabila pulang, gunakanlah pengalaman dan ilmu yang diperoleh itu untuk memajukan bangsa dan negara.
| < Prev | Next > |
|---|


