
Esok, Sabtu 3 Oktober 2009 mungkin masih merupakan hari raya (keempat belas!) bagi sesetengah orang. Namun bagi penduduk Bagan Pinang, Port Dickson, ia bukan lagi hari raya aidilfitri, tetapi hari bermulanya demam pilihan raya yang dinanti-nanti!
Esok adalah hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil N31 Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang. Hari pengundian pula telah ditetapkan pada 11 Oktober ini. Dua seteru utama, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) telah mengumumkan nama calon masing-masing. BN menyandarkan harapan kepada ‘local hero’ mereka, Tan Sri Mohd Isa Samad yang merupakan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, manakala PR melaungkan keyakinan mereka menerusi pencalonan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar. Tidak diketahui lagi pertandingan ini akan berbentuk dua penjuru, tiga penjuru atau berapa penjuru. Semuanya akan terjawab selepas proses penamaan calon selesai.