Di Gereja Kristus Cahaya, Kepong, menurut salah seorang ahli jawatankuasa yang tidak mahu dikenali berkata, mereka menyambut baik apabila mendengar berita bahawa sukarelawan daripada RELA dan beberapa persatuan NGO lain ingin membantu menjaga keselamatan gereja. Buat masa ini belum ada bantuan daripada mana-mana pihak dan pihak AJK gereja membuat kawalan secara bergilir-gilir.
Di Gereja Katolik Assumption, Assunta, Petaling Jaya, seorang pengawal warga Nepal, Harkal, 22, berkata kejadian serangan bom molotof berlaku pada malam beliau sedang meronda. Ketika beliau berada di bahagian belakang gereja, terdengar letupan di bahagian hadapan di kawasan letak kereta.
Serpihan kaca daripada bom molotof.
Di Gereja Xavier Francais, Jalan Gasing, Petaling Jaya, keadaan terkawal. Pihak gereja sedang membuat pengubahsuaian di bahagian hadapan.
Di Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, menurut Calvin, seorang AJK gereja, suspek yang menaiki motosikal memecahkan pintu kaca utama dahulu sebelum melontar bom. Apabila ditanya tentang motif kejadian, beliau hanya menyerahkan semuanya pada pihak polis untuk siasatan. Kerugian belum dianggarkan dan mereka menunggu laporan daripada pihak insurans. Seorang wartawan Jerman kelihatan sedang mencatatkan sesuatu yang diceritakan oleh Calvin.
Komputer, mesin fotostat, pendingin hawa dan barangan audio adalah antara yang musnah.










