Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Ketua Pengarah DBP turun padang

Kolokium Penulis Johor

JOHOR BAHRU, 18 Julai – Buat julung kalinya Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menemui penulis Johor secara khusus di DBP Wilayah Selatan di Larkin Perdana. Beliau hadir di Kolokium Penulis Johor selama hampir dua jam.

Kolokium ini merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Kira-kira 40 penulis Johor lama dan baru hadir, termasuk penulis veteran, Mohammad @ Mokhtar Talib, 72 atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob (lihat gambar).

Ketua Pengarah DBP, Dato’ Hj Termuzi Abdul Aziz ternyata begitu tegas dalam memartabatkan dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu. Beliau juga mahukan agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Beliau menyasarkan penerbitan lebih 400 buah judul dalam setahun di samping berasa bangga dengan pencapaian penulis Johor yang komited dalam penentangan PPSMI sejak awal lagi. Selain itu, hampir 80 peratus penulis DBP terdiri daripada anak Johor.

Sesi soal jawab berjalan dengan cukup hangat. Pelbagai persoalan dan pertanyaan ditimbulkan daripada isu kelewatan dalam penerbitan buku hinggalah kepada isu dasar bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi.

Sebelum itu, Dr. Gunawan Mahmood yang diwakili secara rasmi oleh Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), En Amiruddin Md. Hanafiah antara lain mengumumkan mengenai penerbitan kumpulan puisi berkenaan pembangunan di Iskandar Malaysia.

Dr. Gunawan Mahmood adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, manakala PPJ dinaungi oleh MB Johor. Dr. Gunawan sebelum ini merupakan antara penulis sastera prolifik Johor.

Peserta kolokium yang juga guru agama, Mohd. Soufi Hj. Kadirin, 26 berpendapat bahawa guru mesti menanamkan rasa cinta kepada bahasa dan penulisan jika mahu bahasa Melayu terus dimartabatkan. “Membaca mesti dibudayakan,” kata guru yang menyambung pengajian di Kolej Islam Johor itu lagi.

Kolokium Penulis Johor dianjurkan bersempana majlis Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ke-7 pada malam sebelumnya. Ia merupakan anjuran Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ).

Dalam majlis tersebut, Pak Matlob dianugerahkan Hadiah Karyawan Sastera Johor. Hadiah disampaikan oleh MB Johor, YAB Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Kolokium Penulis Johor
Pak Matlob, penulis merangkap pejuang jawi.
Last Updated ( Rabu, 28 Oktober 2009 13:34 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor