GOMBAK, 18 Januari - Pelik, tapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh umat Islam di negara ini. Ketika penganut agama lain bebas untuk mempraktikkan kehendak-kehendak agama mereka dengan kuasa Perlembagaan Malaysia, umat Islam pula dibataskan daripada mempraktikkan sepenuhnya kehendak-kehendak syariah dengan kuasa Perlembagaan Malaysia juga.
Itulah ironi yang didedahkan oleh Pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr Zulfakar Ramlee (gambar) dalam satu dialog yang dipanggil Wacana Pelaksanaan Syariah di Malaysia Sabtu lalu. Wacana yang diadakan di Dewan Orang Ramai Taman Gombak itu dianjurkan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Gombak dan dipengerusikan oleh Setiausahanya, Ir Rosli Kasim.
"Pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia dibataskan oleh peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia yang mana undang-undang syariah hanya terpakai untuk hal-hal adat istiadat serta kekeluargaan sahaja. Pelaksanaan undang-undang jenayah dalam syariah tidak boleh melebihi peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Jika tidak ia dengan sendirinya akan terbatal," kata Dr Zulfakar.
"Dan situasi ini berlaku walaupun Perlembagaan Malaysia memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia. Rupa-rupanya umat Islam di Malaysia dengan tidak disedari telah menjadi warga kelas dua," tambahnya.
Perlembagaan Malaysia bagaimanapun boleh diubah dengan kuasa undi politik melebihi dua pertiga.
"Undang-undang syariah boleh dilaksanakan mengikut peruntukan yang ada sekarang jika ada kekuatan dan kemantapan berhujah oleh para peguam dan pegawai penyiasat. Malangnya terdapat banyak ruang di mana penyiasatan yang sambil lewa serta penyoalan saksi yang tidak berkesan boleh melemahkan kes pendakwaan dan dengan itu boleh membebaskan tertuduh daripada hukuman," katanya lagi.
Terdahulu, Dr Zulfakar mengalu-alukan kedatangan para hadirin dengan kata-kata bahawa antara begitu ramai umat Islam di Malaysia, tidak semua yang benar-benar beriman. Antara umat Islam yang beriman pula, tidak semua merasa perlu untuk berdakwah. Adanya semangat untuk berdakwah inilah yang membezakan dan memberi kelebihan kepada seorang Muslim daripada Muslim yang lain.
Kesungguhan dan ketegasan penghakiman juga memainkan peranan penting kerana penghakiman yang lemah boleh dibatalkan dengan rayuan.
"Kelemahan penghujahan dan kelemahan penghakiman juga mencerminkan kekurangan ilmu dalam kalangan pengamal undang-undang syariah. Hal ini berlaku kerana terdapat daripada kalangan ini mereka yang hanya mengikuti pengajian syariah setelah gagal diterima masuk ke bidang lain.
"Lebih malang lagi jika ada antara mereka ini yang sebenarnya tidak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada undang-undang syariah."
Menurutnya lagi, cabaran kepada pelaksanaan undang-undang syariah sepenuhnya juga datang daripada NGO-NGO yang dari segi nama berjuang untuk Islam tetapi melandaskan perjuangan mereka atas prinsip hak asasi manusia. Mereka dianggotai oleh golongan terpelajar dan mereka mendapat sokongan meluas daripada pelbagai pihak lain.
Pertembungan pendapat serta percanggahan hujah daripada golongan ini merupakan cabaran yang perlu ditangani dengan bijak dan tegas.
"Alhamdullilah keadaan ini telah mula berubah dengan pembukaan lebih banyak sekolah dan institusi pembelajaran agama yang hanya menerima pelajar yang memenuhi syarat kemasukan yang ketat. Insya-Allah golongan graduan dan pelajar generasi ini akan tampil melaksanakan strategi mantap untuk memperkasa undang-undang syariah di Malaysia," kata Dr Zulfakar.
| < Prev | Next > |
|---|







