Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

SPM: SMI Al-Amin capai sasaran

8

GOMBAK, 11 Mac - Warga Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak (SMIAAG) ceria dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana apa yang mereka tetapkan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 mencapai sasaran. Keputusan SPM 2009 diumumkan di seluruh negara hari ini, dengan kebanyakan sekolah mula menyerahkan keputusan kepada calon masing-masing bermula jam 12 tengah hari.

hasni Menurut Pengetua SMIAAG, Hj Mohd Hasni Mohamed (gambar kiri),  sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah ialah 30% calon mencapai keputusan sekurang-kurangnya 8A. "Alhamdulillah, apabila keputusan diumumkan hari ini, daripada jumlah 105 pelajar, 9 orang mendapat 11A manakala 31% mendapat 8A ke atas," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, sasaran untuk memastikan tidak ada calon yang gagal tidak kesampaian kerana ada juga seorang dua yang gagal. Secara umumnya, keputusan SPM kali ini merosot sedikit berbanding tahun sebelumnya.

aHakikat ini turut diakui oleh Pn Wasitah Hasan (gambar kiri), guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. "Untuk subjek BM, tahun lepas semua pelajar mendapat A, yakni semua 1A kecuali dua orang mendapat 2A. Sebagai guru, memang ada juga rasa terkilan kerana pencapaian tersebut tidak dapat diulangi tahun ini, tetapi begitulah adatnya, siapa yang berusaha akan berjaya. Pelajar yang mendapat C tahun ini pun memang dari kelompok yang lemah. Namun saya bersyukur juga sebab dia mampu mendapat C," katanya sambil tersenyum.

Rasa kesyukuran yang tidak terhingga sudah pasti menyelubungi jiwa Norazlina Azizi yang dinobatkan calon SPM 2009 terbaik sekolah tersebut. Dengan keputusan 13A+ dan 1A, beliau pasti menjadi kebanggaan ayahnya, seorang juruukur bahan, ibunya, seorang akauntan dan guru-guru serta kawan-kawannya di SMIAAG.

aDitanya apakah rahsia kejayaannya, Norazlina (gambar kanan) menjawab, "Yang penting, jaga hubungan dengan Allah dan manusia sekeliling terutama emak, ayah, guru-guru dan kawan-kawan. Amalan-amalan wajib mesti dibuat. Kemudian serikan pula dengan amalan sunat, bangun malam dan banyakkan berdoa memohon yang terbaik daripada Allah.

"Kita tak tahu apa yang terbaik buat kita, jadi kita minta kepada Allah. Selain itu banyakkan istighfar dan membaca al-Quran."

Beliau turut bersetuju bahawa belajar dalam kumpulan banyak membantu kerana beliau boleh berkongsi dan menunjuk ajar rakan-rakannya yang kurang faham mengenai sesuatu topik.

"Pada waktu-waktu akhir sebelum SPM, saya banyak belajar bersama kawan baik saya, Rabiatul Adawiyyah. Kami belajar bersama-sama di rumah pada sebelah malam dan kadang-kadang pergi juga ke rumah kawan-kawan lain. Saya tidak mengikuti kelas tuisyen atau klinik belajar selain daripada yang dianjurkan oleh kelab kelas. Mana-mana perkara yang saya tak faham saya akan tanyakan kepada cikgu di sekolah," kata Norazlina yang menetap di Taman Greenwood, Batu Caves.

Seorang lagi pelajar, Amir Fuhaira Mohd Fuad berasa sangat lega dan bersyukur kerana memperoleh keputusan 15A dan 1B. Beliau berpendapat, mengulang kaji sahaja tidak memadai bagi seorang pelajar, sebaliknya menumpukan perhatian dalam kelas adalah kunci kejayaan yang utama.

"Rahsia kejayaan lain yang penting adalah menghormati ibu bapa, guru-guru dan kawan-kawan. Belajar berkumpulan atau 'study group' juga penting kerana ia membolehkan kita berkongsi ilmu dan mengeratkan silaturahim. Kalau kita mengajar kawan kita sesuatu, insya-Allah ilmu itu lebih 'melekat' dalam diri kita," katanya.

Beliau yang juga tinggal di Taman Greenwood bagaimanapun mengakui tidak mempunyai amalan istimewa lain kecuali cuba beristiqamah dalam melakukan solat sunat rawatib.

2

6

1

7

3

4

Last Updated ( Khamis, 11 Mac 2010 16:27 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor