KUANTAN, 24 Oktober – Orang ramai berpeluang menyaksikan demonstrasi sebatan terhadap pesalah dalam satu seminar syariah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang esok.
Menurut setiausaha seminar yang juga Setiausaha ABIM Pahang, Mahadi Deraman (gambar), selain menunjukkan kepada masyarakat perbandingan pelaksanaan sebatan menurut kaedah sivil dan syariah, program ini diharap akan dapat mencapai tiga objektif penting iaitu memartabatkan institusi perundangan syariah, mendidik serta mencetuskan kesedaran masyarakat berhubung undang-undang syariah dan menangkis fitnah pihak-pihak tertentu terhadap pelaksanaan hukuman syariah.
1. “Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah: Isu dan Cabaran” (Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin dan Pn Fadhlina Siddiq)
2. “Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah: Pengalaman Negeri Pahang” (Prof Madya Dr Hashim Mihat dan Prof Dr Abdul Aziz Bari)
3. “Pelaksanaan Hukuman Sebat dalam Jenayah Syariah, Arak dan Zina ” (Mohamad Isa Abd Ralip dan Dato' Mohd Shafri bin Abdul Aziz).
Majlis penutup akan dirasmikan oleh Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Wan Abdul Wahid Hassan.
Menurut Mahadi lagi, dengan penganjuran seminar seperti ini, ABIM Pahang berharap masyarakat mendapat pendedahan tentang kecantikan dan kemurnian undang-undang Islam. Selain itu, orang- orang Islam yang jahil diharap tidak lagi menuduh hukuman Islam sebagai zalim, manakala orang-orang bukan Islam pula tidak lagi mencampuri urusan agama Islam sesuka hati mereka.
Seminar ini adalah anjuran bersama Sekretariat Gabungan NGO Islam Negeri Pahang yang terdiri daripada ABIM (penganjur utama), NADWAH, JIM, HALUAN, WADAH, PGSM, PERKIM, MKIMP, ISMA, IKATAN, MACMA, PEKIDA, PKPIM dan IIF.
Ia akan diadakan di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini bermula jam 8.00 pagi dan dijadualkan tamat pada jam 4.30 petang. Seramai 500 orang dijangka menyertainya dengan yuran pendaftaran dikenakan sebanyak RM10 untuk orang awam dan RM5 untuk pelajar.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan seminar ini boleh menghubungi Mahadi di talian 013-4897703 atau Nazri 019-9855887.
| < Prev | Next > |
|---|


