Malaysia Harmoni

Thursday
Sep 09th
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Kelantan aman untuk semua - Nik Aziz

a

KOTA BHARU, 25 Januari - Isu perkauman, agama, bahasa dan hak istimewa orang Melayu cukup sensitif untuk dibincangkan secara terbuka di negara ini. Hujung tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Katolik, The Herald bagaikan membuktikan perkara ini.

Sejak hari keputusan itu diumumkan, pelbagai pihak daripada pemimpin dan umat Islam lainnya menyatakan pandangan, malahan ada yang sanggup berdemonstrasi mempertikaikan keputusan tersebut. Paling malang, muncul pula pihak bersifat antiharmoni yang telah melancarkan 'serangan' ke bangunan-bangunan gereja.

Fenomena baru inilah yang diperhatikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dicetuskan dalam blognya, bloktokguru.com

Tuan Guru bagamanapun bersyukur kejadian buruk dan malang yang boleh mengeruh keharmonian tersebut tidak berlaku di Kelantan.

"Keadaan di negeri Kelantan terkawal kerana negeri ini sejak zaman-berzaman telah mengamalkan cara hidup berteraskan agama yang berjaya menerapkan persafahaman antara kaum dan agama. Ia sesungguhnya selari dengan ajaran al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah surah az-Zumar, ayat 38 yang bermaksud,

'Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain daripada Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri," kata Tuan Guru.

Menurut beliau lagi, kekalutan seperti cubaan membakar gereja tidak berlaku, malah tidak terfikir akan berlaku di Kelantan kerana rakyat negeri Che Siti Wan Kembang itu menerima keesaan Allah dengan jelas dan mutlak.

"Walaupun Kelantan sekarang memiliki 563 buah masjid, 60 tokong, 22 wat, 19 kuil dan 15 gereja, kesemuanya bebas dan dengan penuh harmoni menjalankan amal ibadat dan upacara keagamaan masing-masing. Sesungguhnya, Kelantan sejak ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam telah berjaya mewujudkan perpaduan yang jitu semua lapisan rakyat di kampung, estet, pekan dan bandar."

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan bersedia berbincang melalui sebarang rundingan demi keharmonian hidup antara kaum.

"Kita telah acap kali berdialog, berunding dan duduk semeja bersama-sama pembesar agama daripada agama Kristian, Buddha, dan Hindu. Ruang selesa kita bentangkan kepada mereka bagi mendirikan rumah ibadat atas tanah milik mereka, dan pihak kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan prasarana. Ia adalah antara keselesaan yang teristimewa dinikmati di Kelantan. Kita tidak pernah terlibat dengan peristiwa meroboh mana-mana tokong, kuil, wat mahupun gereja.

"Apa yang penting, semua agama percaya kewujudan tuhan. Bagi Islam, perkataan Allah adalah nama yang Dia sendiri menamakannya, bukan manusia menamakannya. Ia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang menjadi tumpuan sekalian makhluk, Tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada sesiapa yang setara dengan dengan-Nya.

"Maka bagi agama lain, apa sahaja yang mereka nak sebut mengenai nama tuhan, terserahlah atas hak agama masing-masing. Ia adalah antara nilai-nilai hormat-menghormati mengikut kepercayaan masing-masing. Dan kepercayaan yang suci ialah beriman dengan kekuasaan Allah yang berkuasa atas setiap ciptaan alam ini," jelasnya.

Last Updated ( Isnin, 25 Januari 2010 12:46 )  

Tulis Kepada Kami

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

MalaysiaHarmoni mengalu-alukan sebarang pandangan, artikel atau komentar anda mengenai sesuatu isu. Sila hantarkan pandangan, artikel atau komentar anda tersebut melalui e-mel kepada editorial@malaysiaharmoni.com. Sertakan nama penuh, alamat e-mel dan nombor telefon anda di bahagian atas e-mel (sebelum komentar/artikel) . E-mel tanpa maklumat tersebut tidak akan dilayan.

Anda boleh menggunakan nama samaran tetapi tetap perlu menyertakan nama penuh. Nama samaran anda akan digunakan. Pihak editorial Malaysia Harmoni berhak untuk menerbitkan atau menolak komen atau artikel anda tanpa perlu memberi sebab atau alasan.

Sekian, terima kasih

A Ralim M Yassen
Ketua Editor