KOTA BHARU 13 Mei - Tidak hanya menghasilkan Nik Nur Madihah! Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) Kota Bharu turut mengungguli semua peperiksaan utama tahun 2008 dan menghasilkan ramai pelajar cemerlang peringkat negara.
Seramai 74 pelajar Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun 2008 dari MMP Kota Bharu telah memperoleh 9A. Sementara daripada 401 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu di sekolah tersebut, seramai 51 orang mendapat 10A hingga 20A.
Dalam peperiksaan sijil agama pula, seramai 129 orang pelajar Peperiksaan Menengah Rendah Ugama (PMRU) memperoleh 10A dan seramai 76 pelajar Sijil Menengah Ugama (SMU) mendapat 10A mumtaz. Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula 12 pelajarnya telah mendapat pangkat mumtaz.
Demikian pengumuman statistik pelajar cemerlang oleh sekolah tersebut baru-baru ini sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2008 yang disambut meriah bersama tetamu ibu bapa dan para pelajar. Majlis tersebut turut meraikan Nor Farah Aisyah Nazim yang mencatat 13 1A dan 4 2A serta Ezzatul Akmal Mohamad yang memperoleh 13 1A dalam SPM 2008
MMP adalah antara 17 buah sekolah bantuan kerajaan negeri Kelantan yang mencatat keputusan seratus peratus pelajar lulus dalam SPM 2008. Daripada jumlah tersebut, sembilan adalah sekolah bantuan penuh kerajaan manakala selebihnya adalah sekolah separa bantuan.

Nik Nur Madihah binti Mohd Kamal daripada MMP baru-baru ini muncul sebagai pelajar terbaik negara dalam SPM 2008 dengan mencatat 19 1A dan 1 2A. Sebelum ini, Siti Fatimah Mokhtar dari sekolah yang sama muncul sebagai pelajar cemerlang negara bagi SPM 2006 setelah memperoleh 18A dengan 17 1A dan 1 2A.
”Faktor rohani yang tinggi yang ada pada pelajar kita menjadi faktor utama mengapa kejayaan-kejayaan seperti ini dapat dicapai,” tegas Dato Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Peperiksaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Che Kamarudin Kamil dalam temu bual dengan sebuah akhbar pada 17 Mac yang lalu mengatakan, secara keseluruhannya, sebanyak 97.99 peratus daripada 3,579 pelajar sekolah kelolaan YIK telah lulus dalam peperiksaan SPM 2008 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus.
Menurut beliau lagi, YIK akan terus berusaha supaya sekolah kerajaan negeri di bawah kelolaannya meneruskan tradisi melahirkan pelajar cemerlang di peringkat negeri dan negara.
- MS Ismail
Sumber Gambar
Gambar Atas sumber: Akmanizam @ Flickr
Gambar 1 oleh Zulhanifa Sidek (Jurugambar Utusan), sumber: Media Kelantan
| < Prev |
|---|


