MANEK URAI, 14 Julai – Gegak gempita suasana di perkarangan Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Kerai sebentar tadi apabila calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah diumumkan pemenang pilihan raya kecil (PRK) N41, DUN Manek Urai, Kelantan. Mohd Fauzi mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Hamid dengan majoriti yang amat tipis, iaitu 65 undi. Mohd Fauzi memperoleh 5,348 undi manakala Tuan Aziz 5,283.
Pertembungan ‘satu lawan satu’ antara dua ‘musuh tradisi’ ini sememangnya berlangsung sengit sejak kaunter-kaunter pengundian mula dibuka pagi tadi. Apabila waktu mengundi berakhir pada jam 5.00 petang, dilaporkan 87.33% pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka, peratus keluar mengundi yang dianggap terbesar dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Angka ini juga melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agak aneh kerana PRK ini dibuat pada hari bekerja. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun telah mengumumkan hari ini sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh negeri Kelantan.
Suasana hari pengundian yang diharapkan tenang bagaimanapun dicemari beberapa kekecohan kecil apabila penyokong kedua-dua parti terlalu teruja untuk memenangkan calon masing-masing. Selain peristiwa ejek-mengejek, terdapat juga insiden penyokong sebuah parti mengangkat joran yang hujungnya diikat dengan wang kertas RM10 dan RM50 sebagai simbol menunjukkan berlakunya rasuah pilihan raya dalam PRK kali ini.
Walaupun BN meminta kertas undi dikira semula, peraturan terbaharu SPR menetapkan pengiraan semula hanya boleh dilakukan di saluran tempat mengundi sahaja, bukannya di tempat penjumlahan undi. Jadi, secara rasminya kemenangan PRK Manek Urai berpihak kepada PAS dan sehingga keputusan rasmi diumumkan kira-kira jam 9.00 malam tadi, tiada peristiwa buruk yang tidak diingini berlaku.

| < Prev | Next > |
|---|


