
MANEK URAI, 14 Julai – Orang ramai dan para pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Manek Urai berasa kesal dengan keadaan kelam-kabut yang berlaku di beberapa tempat pusat membuang undi di tengah-tengah ramainya anggota polis yang bertugas.
Selain di Sungai Peria yang menyaksikan adegan provokasi dengan kata-mengata dan ejek-mengejek antara penyokong PAS dan Barisan Nasional, keadaan di pusat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Chuchoh Puteri turut menyaksikan suasana yang hampir sama.
Keadaan tercemar dengan insiden cabar-mencabar dan bertikam lidah antara kedua-dua parti di kawasan tersebut. Kehadiran penyokong dari luar menjadikan suasana bertambah tegang.
Apa yang mendukacitakan ialah sejak jam lapan pagi sebahagian kawasan dalam jarak 50 meter menuju pintu masuk ke SK Chuchoh Puteri dari arah Sungai Sok telah dipenuhi para penyokong kedua-dua parti. Kawasan 50 meter tersebut telah ditetapkan sebagai kawasan larangan oleh SPR dan hanya dibenarkan untuk menurunkan pengundi sahaja.
Para penyokong parti dilihat turut membawa bendera atau lambang parti untuk merayu undi atau berkempen di kawasan larangan tersebut yang sekali gus bertentangan dengan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.
Pada jam 9.00 pagi apabila pihak polis meminta para penyokong beredar dari kawasan larangan tersebut, para penyokong tidak berganjak.
Selain suasana provokasi dan serang-menyerang lisan antara penyokong, kelancaran lalu lintas juga terganggu kerana penyokong sudah berada di atas jalan raya. Keadaan ini merencatkan perjalanan kenderaan yang membawa pengundi ke pusat tersebut.
Orang ramai yang keluar masuk untuk urusan harian di Chuchoh Puteri juga menghadapi kesukaran kerana jalan menuju ke pusat mengundi Chuchoh Puteri tidak mempunyai alternatif.
“Saya menaiki motosikal untuk datang melawat pusat mengundi ini kerana kereta sesak dan bergerak perlahan,” kata calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah ketika tiba di pusat mengundi tersebut.
Pada 30 Jun lalu pihak polis mengumumkan penglibatan seramai 3030 orang anggota polis untuk PRK Manek Urai. Seramai 70 orang polis trafik pula terlibat untuk mengawal lalu lintas. Selain anggota polis dari Kelantan, terdapat juga anggota polis yang didatangkan dari negeri lain seperti Wilayah Persekutuan dan Johor.
Kebanyakan para pengundi dan orang ramai menyatakan kekesalan kerana walaupun dengan kehadiran polis yang begitu ramai, keadaan masih kelam-kabut.
“Keadaan seperti tidak terkawal. Saya fikir polis sepatutnya melarang para penyokong parti berkumpul dalam kawasan 50 meter tu... sepatutnya sejak jam tujuh pagi lagi. Pada masa itu keadaan lebih terkawal,” kata seorang pengundi yang tidak mahu dikenali.
Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis agar menguatkuasakan arahan yang sepatutnya mereka lakukan.
“Macam hari ini, polis mahu bertindak selepas mendapat arahan kita sedangkan ia dalam bidang kuasa mereka, yakni untuk memastikan keadaan aman. Kita tidak ada pasukan penguatkuasa. Polislah yang akan membantu kita,” katanya.
SPR juga menurutnya bercadang mengkaji semula undang-undang berkempen berikutan berlakunya beberapa pelanggaran syarat berkempen seperti yang terjadi di Manek Urai.

Kesesakan yang ketara di Chucoh Puteri

Kenderaan canggih polis didatangkan dari seluruh negara

Lagi kenderaan polis yang digunakan dalam PRK Manek Urai. Gambar dirakam di khemah polis Chuchoh Puteri.

Khemah polis terbesar di Laloh ini didirikan bagi menempatkan anggota-anggota polis yang datang dari luar kawasan
| < Prev | Next > |
|---|


