
KERTEH, 4 Oktober – Bumbung anjung Masjid Kampung Batu Putih, di sini runtuh awal pagi semalam. Kejadian ini disedari oleh seorang pengusaha kedai makan yang terletak berhadapan dengan masjid tersebut, Mohd Hafiz bin Md Wiyah, 19 tahun.

Menurut Mohd Hafiz (gambar), sejurus sebelum kejadian berlaku, pada sekitar jam 9.15 pagi, beliau sedang berada di kedai makannya sehinggalah dia terdengar satu bunyi letupan. Beliau yang terkejut terus mencari-cari punca bunyi tersebut dan terpandang anjung masjid yang telah pun runtuh menyembah bumi. Beliau bergegas ke tempat kejadian dan mendapati tiga orang pekerja berada di situ. Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan yang agak serius di kepala sementara dua orang lagi mengalami cedera ringan. Mohd Hafiz segera bertindak menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk rawatan lanjut.
Setiausaha JKKK dan Masjid Kampung Batu Putih, En Zainudin Abdul Ghani (gambar) berkata, masjid tersebut mula digunakan pada 22 Februari 2009 iaitu apabila ia telah siap dibina dan diwartakan sebagai masjid kampung berkenaan bagi menggantikan masjid lama yang telah uzur. Lebih kurang tiga bulan selepas penyerahan tersebut, pihak jawatankuasa dan ahli jemaah masjid mengesan beberapa kerosakan dan kebocoran di siling.
Hal tersebut kemudian diadukan kepada pihak jabatan agama, pejabat ADUN dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Susulan daripada perkara itu, satu usaha baik pulih telah diusahakan dan telah bermula pada awal Ramadan yang lalu sehinggalah ke hari ini. Malah, ketika kejadian itu berlaku, tiga orang pekerja sedang melakukan kerja-kerja baik pulih pada bumbung masjid. Bagaimanapun, mungkin disebabkan struktur binaan yang tidak kukuh, pada hari itu ia runtuh.
Tragedi bumbung runtuh ini merupakan rentetan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin beberapa bulan yang lalu di Kuala Terengganu. Namun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian. Pihak polis dan JKR masih membuat siasatan.




Seorang penduduk, Sepie Daud menunjukkan bahagian bumbung yang runtuh dan lokasi di mana pekerja sedang berada ketika kejadian berlaku.
| < Prev | Next > |
|---|


