SRI MANJUNG, 26 Februari - Bekas pembaca berita terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM) era 80-an, Dato Chek Hashim Embi, 65, meninggal dunia di rumah anaknya di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi akibat kanser prostat.
Allahyarham yang mula berkhidmat dengan RTM sejak tahun 1965 ditugaskan sebagai penyampai berita televisyen pada tahun 1982. Beliau menumpukan kerjayanya selama 20 tahun di situ sebelum dilantik sebagai Pengarah Penyiaran RTM Negeri Pahang pada 1999.
Kanser prostat yang dihidapinya dipercayai merebak ke tulang sejak setahun lalu dan menyebabkan kedua-dua belah kakinya lumpuh. B eliau pernah dirawat di Hospital Sri Manjung, Perak sebelum dibawa balik ke rumah anaknya di Sri Manjung.
Bekas Menteri Besar Perak yang juga wakil rakyat Pasir Panjang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin pernah menziarahi Hashim sewaktu beliau terlantar sakit di rumah anaknya itu. Allahyarham serta anggota keluarganya sangat terkejut dengan kehadiran Nizar walaupun sebelum itu mereka belum pernah bersua muka.
Hari ini, bersempena sambutan maulidur rasul, 12 Rabiulawal 1431 Hijriah, Hashim pergi buat selama-lamanya, meninggalkan seorang balu, Datin Che Mahani Haji Abdul Rahim, 64, dan empat orang anaknya iaitu Rizal, 39, Suhaila, 36, Razif, 32, dan Syuhada, 25.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Madah, Manjung dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Teluk Pencalang, Pasir Panjang, Perak selepas solat Asar hari ini. Mudah-mudahan roh Allahyarham ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.
| < Prev | Next > |
|---|


