
KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengumumkan akan mengusahakan Misi Kemanusiaan ke Arakan secepat mungkin.
“Maklumat yang diperoleh secara langsung dari Arakan mendapati keadaan semakin tidak reda malah terus meruncing,” kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Antaranya penangkapan, pembunuhan warga Rohingya Muslim serta pembakaran perkampungan dan masjid semakin meningkat manakala pelarian Rohingya yang cuba menyeberang ke Bangladesh walaupun dihalau oleh pihak keselamatan Bangladesh, mencecah puluhan ribu.
“Dalam satu angka yang tidak rasmi, warga Rohingya yang terbunuh mencecah anggaran 20,000 orang manakala yang ditahan adalah 5,000 orang sejak 3 Jun lalu,” ujarnya.
Azmi menjelaskan bahawa kebuluran berlaku mengakibatkan ramai yang mati kerana terputus bekalan makanan sama ada kerana terpaksa melarikan diri mahupun yang terperangkap di dalam rumah selama berhari-hari apabila polis dan tentera menembak mereka yang cuba keluar dari rumah.
“Mapim tidak mempunyai pilihan kerana kerajaan Myanmar sehingga kini nampaknya membiarkan keganasan oleh esktremis Rakhine terus menyerang warga Rohingya.”
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata lebih malang, agensi antarabangsa seperti PBB, OIC dan ASEAN tidak mengambil sebarang langkah untuk menyelamatkan warga Rohingya yang menjadi mangsa pembunuhan etnik oleh gabungan esktremis Rakhine, polis dan tentera Myannmar.
“MAPIM amat kecewa terhadap semua pemimpin negara ASEAN yang tidak menunjukkan sebarang keprihatinan terhadap nasib warga Rohingya yang disembelih dengan kejam sehingga kini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, tidak ada seorang pun pemimpin ASEAN setakat ini yang mengambil inisiatif untuk berhubung langsung dengan kerajaan Myanmar agar keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.
“MAPIM telah menulis surat rayuan dan bantahan kepada Presiden Myanmar Thien Sien, Aung San Suu Kyui, Setiausaha Agung ASEAN Dr Surin Pitsawan dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon,” maklumnya.
Manakala di tanah air, katanya MAPIM menghantar surat kepada Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Membiarkan pembunuhan secara extra-judicial (di luar pembicaraan mahkamah) di Arakan oleh tentera dan polis yang membantu esktremis Rakhine, ditambah tidak ada sebarang agensi kemanusiaan dibenarkan masuk ke dalam Arakan, menyebabkan MAPIM bertekad untuk merancang masuk ke Arakan bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan tetapi juga untuk menuntut kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan etnik yang sudah membunuh puluhan ribu nyawa warga Rohingya,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, MAPIM akan mencuba semua laluan sama ada dari laut, darat mahupun udara untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.
“Kami mengambil kira bahawa usaha masuk ke Arakan berkemungkinan akan dihalang oleh kerajaan Myanmar, namun segala saluran rasmi sama ada melalui undang-undang antarabangsa mahupun atas nama agensi serantau akan diguna supaya bantuan dapat disampaikan,” jelasnya.
Beliau berkata, bantuan yang akan dibawa adalah makanan, ubatan dan alat khemah.
“MAPIM belum menganggarkan berapa kuantiti yang akan dibawa kerana ia bergantung kepada berapa banyak sumbangan akan diperoleh daripada penyumbang,” katanya lagi.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan Tabung Bantuan Mustadh'afin Rohingya kepada Akaun SEKRETARIAT HIMPUNAN ULAMA RANTAU ASIA (SHURA) BIMB 12047010-03-7282.



