
KAHERAH - Parti-parti besar di Mesir bersepakat memilih Setiausaha Agung Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Mohamed Saad Katatni sebagai Speaker Parlimen Mesir.
Terpilihnya ahli politik Islam sebagai jurucakap parlimen buat pertama kali dalam masa beberapa dekad politik Mesir itu menunjukkan kekuatan Islam mempengaruhi proses pemilihan tersebut.
FJP yang merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin menang besar dalam pilihan raya pertama Mesir sejak tersingkirnya Presiden Hosni Mubarak pada Februari tahun lalu.
Perikatan yang dipimpin FJP memenangi lebih 45 peratus daripada 498 kerusi parlimen yang dipertandingkan dan parti Islam An-Nour memenangi 25 peratus suara.
Pemimpin FJP Mohammed Morsi berkata, FJP memberi jaminan bahawa tidak akan ada pengecualian, pola dan konflik di parlimen. Sebaliknya, beliau menyatakan akan ada perbincangan nasional di parlimen.
Fungsi utama parlimen baru adalah untuk memilih 100 orang bagi menyusun sebuah perlembagaan baru Mesir. Ia adalah sebagai persiapan pemilihan presiden yang dijadualkan pada Jun akan datang.
