
KAHERAH - Parlimen Mesir yang baru bersidang untuk pertama kalinya pada Isnin lalu, setelah pilihan raya dimenangi sayap politik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).
FJP menang besar dalam pilihan raya bebas pertama negara itu dan ia telah berjanji akan memerintah Mesir dalam masa peralihan pemerintahan awam.
Kebangkitan parti Islam menandakan perubahan sejak era bekas presiden Hosni Mubarak ketika mana parlimen dipenuhi ahli-ahli Parti Demokrat Nasional.
“(Perkembangan) ini akan menjadi saat yang bersejarah dalam masa peralihan Mesir menuju pemerintahan awam dan demokrasi," ujar ahli FJP, Mohamed Beltagy, sebelum sesi pertama.
Salah satu langkah pertama dalam sidang tersebut adalah memilih pemimpin pertemuan, yang mana calonnya ialah Saad el-Katatni dari FJP.
FJP mengatakan mereka akan memberi tumpuan kepada pembaikan ekonomi Mesir.
“Kami tidak boleh bercakap mengenai pengimplementasian undang-undang Syariah Islam ketika negara menghadapi masalah ekonomi,” kata ahli parlimen FJP, Mohammed Gouda.
Warga Mesir ingin melihat perkembangan dalam ekonomi yang telah dirosakkan oleh kesalahan pengurusan selepas tergulingnya Mubarak di samping perubahan dalam sistem yang ada.
