
KAHERAH - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Presiden Mesir menunda pengumuman hasil pungutan suara yang sepatutnya akan dilakukan semalam (Khamis) waktu tempatan.
Penangguhan itu dilakukan berikutan ratusan aduan yang dilayangkan dari kem kedua-dua calon presiden terhadap satu sama lain.
Menurut laporan, penangguhan diperlukan untuk memberikan SPR lebih masa menerima keluhan dan perbezaan yang diajukan kedua-dua calon, Mohamed Mursi dari Ikhwanul Muslimin dan Ahmed Shafiq, mantan perdana menteri era Hosni Mubarak.
Kedua-dua calon sebelum ini mendakwa mereka memenangi pilihan raya dengan perolehan suara lebih daripada 50 peratus. Tuduh-menuduh berlaku dengan dakwaan pihak lawan melakukan pemalsuan data dan kecurangan.
Ketua undang-undang Mursi, Omar Salama, mengemukakan150 protes kepada SPR terhadap penipuan dan pembohongan yang dilakukan Shafiq. Sebagai tindak balas, Shafiq mengajukan 221 protes atas tuduhan yang sama terhadap lawannya.
SPR mengatakan penangguhan pengumuman keputusan pilihan raya perlu dilakukan semasa proses penyiasatan berlangsung.
"Suruhanjaya memutuskan untuk meneruskan siasatan bagi menyemak rekod dan data berkaitan proses pilihan raya, dan ia memerlukan waktu sehingga keputusan pilihan raya diumumkan,” kata SPR Mesir dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, ia tidak menyatakan sehingga bila penangguhan itu berlangsung. Hal ini menambah ketidaktentuan yang semakin meresahkan rakyat Mesir.
Ribuan penyokong Morsi dan Shafiq ‘berpesta’ sebaik sahaja kem mereka mengumumkan ‘kemenangan’ calon masing-masing. Keputusan rasmi hanya akan diketahui hari ini.
Keadaan di Mesir ketika ini belum stabil pasca bubarnya parlimen oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu.
Tentera yang mengambil alih kekuasaan secara paksa terus membentuk pasukan untuk melaksanakan agenda mereka sehingga ahli-ahli parlimen baru dipilih.



