
KAHERAH - Anak-anak Presiden Mesir, Mohamed Mursi menolak untuk berpindah dan tinggal di istana presiden.
“Kami akan terus menjalani kehidupan sebagaimana adanya setelah ayah kami menduduki kerusi Presiden,” ujar Usamah, salah seorang anak Mursi kepada harian Al-Misri Al-Youm.
Usamah berkata, mereka tidak akan tinggal di istana presiden kerana itu merupakan tempat kerja.
“Tetapi, mungkin kami akan membeli rumah kerana pangsapuri yang didiami sebelum ini di Tajammu berstatus sewa.”
Usamah yang mempunyai pejabat peguam di bandar Zagazig menjelaskan bahawa beliau akan terus meneruskan kehidupannya seperti biasa di pejabatnya di Zagaziq walaupun ayahnya telah menjadi Presiden.
“Namun sesekali kami akan menetap di Kaherah bersama keluarga sebagaimana yang kami biasa lakukan sebelum ini,” ujarnya.
Menurutnya, istana presiden adalah tempat kerja, bukan tempat tinggal, apalagi beliau terikat dengan pekerjaan sendiri di Zagazig.
“Penduduk di sini melayan saya seperti biasa, walau mereka sangat gembira sekali dengan kemenangan ayah saya dan saya sebagai rakyat biasa juga bergembira bersama mereka,” jelasnya.
Berlainan pula Ahmad, anak lelaki sulung yang kini menjadi doktor di Wilayah Ahsa, Arab Saudi, ketika diwawancara harian Al-Hayat, menyatakan bahawa beliau tidak terfikir untuk meninggalkan pekerjaannya di Saudi.
“Saya akan meneruskan pekerjaan bersama rakan-rakan daripada kalangan perubatan dan pentadbiran yang selama ini dilalui dengan hari-hari yang menyenangkan,” tegasnya.
Menurut Ahmad, beliau sempat melalui masa-masa sukar ketika tempoh kempen pilihan raya Presiden, juga saat pengumuman keputusannya.
“Ramai yang menghubungi saya melalui telefon bertanyakan tentang ayah saya, walhal saya mendapat arahan agar tidak membuat kenyataan apa pun.”
Anak-anak Presiden baru itu mula menanggung akibat daripada populariti dan kekuasaan ayahnya selain kurang waktu untuk menemani ayahnya.
Syaima, salah seorang puterinya yang berkelulusan Sarjana Ilmu Sosial lulusan Universiti Zagazig dan berkahwin dengan seorang doktor serta pensyarah di sebuah universiti berkata kepada harian Al-Misri Al-Youm:
“Saya tidak berjumpa ayah saya sejak lebih daripada 3 minggu. Tetapi beliau selalu menelefon saya untuk bertanyakan khabar saya, anak-anak dan suami.”



