Ahad, 26 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Antarabangsa > Bangladesh > Hujan lebat paling teruk, korban banjir meningkat

Hujan lebat paling teruk, korban banjir meningkat

Share

banjir bangladeshDHAKA - Tanah runtuh dan banjir disebabkan musim hujan di Bangladesh mengorbankan seramai 90 orang di selatan negara itu dan menyebabkan 200,000 lagi terperangkap semalam ketika penyelamat berusaha mencari ramai lagi yang masih hilang, kata pegawai yang melakukan operasi.


“Hujan lebat selama tiga hari turun di negara itu dan tanah runtuh menenggelamkan rumah ketika penduduk tidur kelmarin dan awal pagi semalam,” kata Timbalan Pesuruhjaya Chittagong, Faiz Ahmad.

Beliau berkata, ramai penduduk yang tidak berumah tinggal di kaki bukit atau kawasan berhampiran walaupun berulang kali diberi amaran pihak berkuasa.

“Operasi menyelamat masih diteruskan kerana ramai lagi penduduk dikhuatiri terperangkap dalam rumah di kaki bukit,” ujarnya

Menurutnya, kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita, kanak-kanak dan angka kematian mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat masih mencari penduduk yang masih hilang.

“Sukarelawan menggunakan pembesar suara memberi amaran kepada penduduk mengenai bahaya tanah runtuh ketika musim hujan,” kata Jaynul Bari, pentadbir kerajaan di salah satu kawasan terjejas, daerah Cox’s Bazar.

Beliau memberitahu, banjir menenggelami puluhan kampung dan mengganggu komunikasi di kawasan itu.

“Mayat 32 penduduk dewasa dan kanak-kanak ditemui di daerah Bandarban dan seramai 34 maut yang mana kebanyakannya akibat tanah runtuh di daerah Cox’s,” kata K M Tariqul Islam, ketua pentadbir kerajaan di kawasan yang terletak 248 kilometer ke tenggara Dhaka.

Bari berkata, 23 mayat ditemui dalam timbunan serpihan di Ukhia dan 11 lagi lemas dalam banjir.

“Kira-kira 200 yang kehilangan tempat tinggal ditempatkan di sekolah di tanah tinggi, di Chittagong, yang mana sebuah lagi daerah di wilayah itu, mayat 10 penduduk ditemui tertimbus dalam tanah runtuh.”

Lapangan terbang di Chittagong ditutup beberapa jam kelmarin berikutan banjir yang  menenggelamkan landasan dan ia dibuka semula semalam selepas hujan berhenti.

“Hujan lebat lima hari melanda kawasan berhampiran sempadan Myanmar dan India dengan pejabat cuaca mencatatkan 463 milimeter hujan di Chittagong lebih 24 jam dan kami berdepan hujan paling teruk dalam masa beberapa tahun,” kata Bari.

Menurut jangkaan pegawai kaji cuaca, hujan lebat dijangka akan turun beberapa hari lagi.

“Kira-kira 150,000 penduduk terjejas akibat banjir di tenggara, manakala 50,000 lagi terperangkap di Sylhet,” kata pegawai kawalan bencana.

Musim banjir adalah perkara biasa setiap tahun di Bangladesh yang mempunyai 160 juta penduduk.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook