
TUARAN - Kerajaan Negeri Sabah akan memohon status Warisan Dunia kekal bagi tiga kawasan konservasi di negeri ini iaitu Lembangan Maliau, Lembah Danum dan Imbak Canyon.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berkata langkah itu diambil bagi memastikan ekosistem di kawasan itu tidak diganggu.
Beliau berkata adalah penting untuk melindungi hutan dan hidupan liar untuk manfaat generasi akan datang dan menjamin kedudukan ketiga-tiga kawasan sebagai destinasi pelancongan.
"Lambat laun, pelancongan akan menjadi penjana pendapatan nombor satu bagi Sabah dan orang dari seluruh dunia akan datang untuk melihat alam semulajadi Sabah dan dengan itu adalah penting untuk melindungi hutan kita" katanya kepada pemberita pada Simposium Karnivor Borneo (BCS) di sini hari ini.
Selain itu, tegasnya langkah itu juga akan dapat melindungi hutan di negeri ini daripada diambil oleh ahli politik korup di masa depan.
Simposium yang julung kali diadakan itu dianjurkan Jabatan Hidupan Liar, International Union for Conservation of Nature (IUCN) dan Leibniz Institute For Zoo and Wildlife Research Jerman dan dihadiri perwakilan dari 15 negara yang terdiri daripada saintis, aktivis dan wakil pelbagai agensi kerajaan.
Program selama seminggu itu bertujuan memastikan survival 23 spesies karnivor Borneo. Karnivor berkenaan ialah sekumpulan mamalia seperti harimau akar, musang seperti Tangalunga, memerang dan badger seperti Teledu.
(BERNAMA)



