KOTA KINABALU – Kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia, tiga termasuk dua orang warga asing ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Lahad Datu pada 24 Mei lepas.
“Ketiga-tiga individu itu dikesan aktif dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin melalui jalan laut dan darat,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin mengesahkan penahanan itu namun tidak memberi butiran lanjut mengenai identiti yang terbabit.
“Tindakan itu selaras dengan pendirian kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat pelantikan kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Penjara Negeri, Suria Idris, kedua-dua mereka anak jati tempatan.
“Penangkapan mereka akan membolehkan satu siasatan lanjut dan terperinci dijalankan seterusnya mampu membongkar dan mengekang tindak-tanduk kegiatan penyeludupan warga asing di Sabah.”
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa tangkapan itu merupakan sebahagian daripada langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah.



