Anda di sini: Berita Zon > Selatan > 80,282 murid diarah cuti kerana jerebu di Muar

80,282 murid diarah cuti kerana jerebu di Muar

Share

JEREBU

MUAR - Sebanyak 80,282 murid dari 170 Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan 34 sekolah menengah di daerah ini diarah bercuti mulai hari ini apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencapai tahap berbahaya semalam akibat jerebu.

Turut diberi cuti sehingga keadaan pulih ialah 6,737 guru yang bertugas di sekolah tersebut tetapi kesemua pejabat pentadbiran sekolah terbabit dibuka seperti biasa.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata tahap IPU mencecah paras 432 mata, iaitu paras tertinggi dan diklasifikasikan sebagai berbahaya pada 11 pagi semalam sejak jerebu melanda daerah ini, Isnin lepas, katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Pejabat Daerah di sini hari ini.

Mislan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jerebu daerah berkata pihaknya telah mengagihkan 10,000 penutup mulut dan hidung kepada sekolah-sekolah berkenaan.

"Pembukaan semula sekolah-sekolah ini bergantung kepada bacaan IPU yang akan dimaklumkan dari bilik gerakan daerah ini," katanya sambil menerangkan orang ramai boleh mendapat maklumat terkini mengenai tahap pencemaran itu dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah.

Mislan berkata, selain daripada alat penutup mulut dan hidung, kerajaan akan membekalkan air mineral kepada pelajar terbabit kerana ia digalakkan untuk kesihatan pada ketika ini.

Katanya, hujan sederhana yang turun di Muar pada 7 pagi tadi dan diikuti pada 10.30 pagi ini sedikit sebanyak membantu menurunkan kadar IPU.

Bacaan IPU pada tengah hari ini ialah 86 mata iaitu tahap pencemaran sederhana yang tidak membahayakan kesihatan.

Menurutnya hujan setiap pagi yang diramalkan sepanjang minggu ini juga diharapkan akan membantu mempercepatkan pemulihan bencana tersebut.

Penduduk dinasihati supaya mengelak daripada membuat pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan, katanya.

Sementara itu, di JOHOR BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri, Hoo Seong Chang berkata jerebu yang melanda negeri ini sehingga kini belum menjejaskan sektor pelancongan Johor.

"Kita belum menerima laporan mengenai jerebu yang melanda negeri ini khususnya di Muar yang dikhuatiri menjejaskan kemasukan pelancong ke negeri ini.

"Ketika ini hanya ada satu acara sukan besar yang sedang berlangsung di negeri ini iaitu Kejohanan Menembak Antarabangsa Australasia 2010 di Ladang REM, dekat Kota Tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar ekopelancongan di Persada, di sini.

(BERNAMA)

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook